Ad

Saturday, 6 May 2017

Kehilangan Norizman amat dirasai




Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
  
ZAQHWAN amat terasa kehilangan rakan karib, Norizman yang meninggal dunia di Hospital Kemaman kelmarin.

PELUMBA negara, Mohd. Zaqhwan Zaidi mengakui, kehilangan rakan seperjuangan, Norizman Ismail yang maut selepas terjatuh ketika sesi ujian masa kelas CP150 pada pusingan ketiga kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia 2017 di Bandar Baru Kijal, Kemaman kelmarin memberi kesan sangat mendalam.

Jelasnya, Norizman merupakan antara pelumba senior yang tidak kedekut dengan ilmu dan sering memberi tunjuk ajar ketika dia berjinak-jinak melangkah ke arena Cub Prix beberapa tahun lalu hingga hubungan mereka menjadi akrab.

“Secara jujur, saya masih tidak boleh menerima berita kehilangan Norizman kerana insiden tersebut berlaku terlalu pantas. Saya telah lama bersahabat dengannya sejak lima tahun lepas dan menganggapnya sebagai abang sendiri. Banyak kenangan manis dan pahit yang kami lalui bersama.

“Pada saya, kami kehilangan seorang pelumba yang memiliki sikap dan semangat positif. Ia wajar dicontohi pelumba-pelumba muda dan kehilangannya sangat dirasai khususnya dalam arena permotoran negara.

“Perasaan saya ketika ini seperti baru semalam berkonvoi dengan Norizman yang ketika itu kelihatan menunjukkan kelainan daripada segi perwatakan. Dia nampak lebih tenang daripada biasa,” kata Zaqhwan ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, bekas pelumba Cub Prix, Azlan Shah Kamaruzaman mengakui, dia masih mengingati Norizman sebagai bekas rakan sepasukannya ketika mewakili pasukan Y-TEQ SCK Honda Racing selama dua musim bermula pada edisi 2012.

“Memang saya masih terkejut ketika ini dan berharap agar seluruh keluarganya tabah menghadapi dugaan. Secara peribadi, dia (Norizman) merupakan pelumba berpengalaman dan sering mengajar saya bagaimana untuk memperbaiki jentera daripada aspek teknikal,” kata bekas pelumba Moto2 itu.

Sebagai rekod, Norizman yang mewakili pasukan ONEXOX TKKR Racing dalam kelas CP150 disahkan meninggal dunia di Hospital Kemaman kelmarin selepas terjatuh di selekoh satu litar terbabit.

Ekoran tragedi tersebut, pihak penganjur memutuskan untuk membatalkan perlumbaan yang dijadualkan berlangsung semalam bagi memberi penghormatan kepada Allahyarham.

Ini merupakan kali kedua insiden maut menimpa pelumba negara pada saingan Cub Prix selepas Abdullah Abdul Rahman meninggal dunia akibat kemalangan pada tahun 1999.

Saingan Cub Prix akan diteruskan semula pada pusingan keempat yang dijadualkan berlangsung di Teluk Intan pada 20 hingga 21 Mei depan.

Selepas dua pusingan, Norizman menduduki tangga ketiga keseluruhan dengan mengutip 26 mata, ketinggalan 3 mata di belakang pelumba Yamaha YY Pang Racing, Mohd. Adib Rosley, manakala jaguh Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin mengungguli carta dengan 50 mata

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0507&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4gLi2szUu
Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment