GABRIEL GUERRA (kanan)
menjaringkan gol tunggal JDT dalam perlawanan Piala AFC menentang Ceres Negros
di Stadium Panaad, Bolocod City, sebentar tadi.
Nor Azan Fitri Ahmad Hidzir
31 Mei 2017 9:32 PM
KUALA LUMPUR 31 Mei - Harapan
juara 2015, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk melangkah ke aski final peringkat
Zon ASEAN Piala AFC tidak kesampaian selepas tewas 1-2 kepada Ceres Negros
menerusi jaringan penalti masa kecederaan dalam aksi timbal balas yang
berlangsung di Stadium Panaad, Bolocod City, sebentar tadi.
Meskipun agregat jaringan
terikat 4-4, namun kelebihan dua jaringan Ceres Negros ketika aksi pertama di
Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin yang menyaksikan mereka tewas 2-3 kepada
Harimau Selatan sudah memadai untuk mereka menempah aksi final menentang Home
United dari Singapura di pentas akhir.
Dalam perlawanan tersebut, JDT
juga terpaksa menamatkan saingan dengan 10 pemain selepas penjaga gol mereka,
Mohd. Farizal Marlias dilayangkan kad merah pada waktu kecederaan kerana
bertindak menolak pengadil.
Ketika pasukan Benjamin Mora
sedang bersemangat memburu kemenangan di bumi Filipina, mereka dikejutkan
dengan jaringan awal Kota Kawase pada minit ke-26 sekali gus meletakkan skuad
Harimau Selatan dalam keadaan bahaya.
Seandainya jaringan itu kekal
sehingga tamat permainan, Ceres Negros akan mara menerusi kelebihan jaringan di
tempat lawan.
Bagaimanapun, sejurus babak
kedua bermula, JDT menampilkan aksi bertenaga menerusi gerakan-gerakan menarik
bagi mencari gol penting dalam perlawanan itu.
Hasil kerja keras mereka
akhirnya membuahkan hasil apabila Gabriel Guerra meledak jaringan penyamaan
buat pasukan pelawat pada minit ke-66.
Ketika perlawanan hampir pasti
berkesudahan seri 1-1, pasukan tuan rumah diberikan sepakan penalti selepas
Aidil Zafuan Abd. Radzak mengasari pemain tuan rumah ketika mereka sedang
mengambil sepakan penjuru.
Kesempatan yang diberikan itu
tidak dipersia-siakan tuan rumah apabila penyerang mereka, Fernando Rodriguez
mudah mengelirukan Farizal untuk meraih gol kemenangan Ceres Negros.
Seolah-olah tidak berpuas hati
dengan keputusan pengadil, Farizal kemudian bertindak menolak pengadil
perlawanan menyebabkan dia dibuang padang pada waktu kecederaan yang sekali gus
memaksa JDT beraksi dengan hanya 10 pemain. - UTUSAN ONLINE
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jdt-gagal-ke-final-zon-asean-piala-afc-1.488067#ixzz4ig2coC8Y
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment