ARKIB : 24/06/2005
AZIZ JAAFAR.
KUALA LUMPUR 23 Jun - Hero
filem Melayu tahun 50-an dan awal 60-an, Abdul Aziz Jaafar atau Aziz Jaafar
meninggal dunia di rumahnya dekat sini hari ini kerana demam.
Beliau yang berusia 69 tahun
menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di SS14 kira-kira pukul 6 pagi ini.
Jenazah Allahyarham akan
dikebumikan di tanah perkuburan yang sama dengan Allahyarham isterinya,
Normadiah di Bukit Kiara, Damansara selepas solat Asar.
Menurut anak bongsunya, Liza,
dia hanya menyedari ayahnya meninggal dunia sebaik sahaja memasuki kamar tidur
pelakon tersebut pada pukul 10 pagi.
Liza memberitahu, dia melihat
ayahnya tersandar di tepi katil.
``Saya sendiri tidak pasti
pukul berapa abah menghembus nafas terakhir sebab dia seorang diri di dalam
bilik.
``Menurut doktor, abah disahkan
meninggal dunia empat jam awal sebelum saya temui dia di dalam bilik,'' kata
Liza.
Selain Liza, Allahyarham
mempunyai seorang lagi anak hasil perkahwinan dengan Normadiah iaitu penyanyi
Azlina Aziz, 43.
Liza, 42, memberitahu, ayahnya
tidak menunjukkan sebarang perubahan tetapi mengadu yang dia demam malam
semalam.
Biarpun kesihatannya kurang
baik, kata Liza, Allahyarham rancak bercerita tentang persembahannya di
Kuching, Sarawak yang turut disertai oleh beberapa artis veteran lain pada 15
Jun hingga 20 Jun lalu.
Allahyarham yang turut
menghidap penyakit kencing manis itu menetap bersama Liza dan Sharifah Hasnor
Hassan sejak kematian isterinya kira-kira lima tahun lalu.
Sharifah Hasnor Hassan, 43,
merupakan anak tirinya dan Allahyarham juga amat rapat dengan dua orang lagi
anak tirinya iaitu Syed Ekhzan, 47, dan Martina Hatim Hassan, 49, yang menetap
di Singapura.
Antara filem lakonan
Allahyarham ialah Hantu Jerangkung, Batu Belah Batu Bertangkup, Sumpah Wanita,
Singapura Dilanggar Todak dan Anak Buluh Betong.
Turut hadir menziarahi
jenazahnya ialah Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin, Datuk
Jins Shamsudin, Datuk Sarimah Ahmad, Mariani, Nash, Juliana Banos, Salimah
Mahmod, Yusni Jaafar dan Ogy Ahmad Daud.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm#ixzz4ifUtMzXV
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment