Ad

Saturday 30 November 2013

SELANGOR, 27 KALI JUARA PIALA MALAYSIA:

SEHINGGA 1997 SELANGOR, 27 KALI JUARA PIALA MALAYSIA:


       Pasukan Bolasepak Selangor Darul Ehsan mencatatkan rekod sebagai pasukan yang paling banyak menjuarai piala Malaya (Malaysia) semenjak dipertandingkan pada tahun 1921 hingga 1995, Selangor telah menjadi juara sebanyak 27 kari dan 15 kali menjadi Naib Johan.Tahun 1960 sehingga 1980 merupakan zaman kegemilangan kepada pasukan Selangor apabila mereka menjadi juara sebanyak 14 kali dan juara tiga tahun berturut-turut pada tahun 1961, 1962 dan 1963.

       Pada masa yang sama iaitu tahun 1971, l972 dan 1973, mereka mengulangi kejayaan menjadi juara tiga tahun berturut-turut.Bagaimanapun, pada kempen piala Malaysia tahun 1987 , Selangor Darul Ehsan juga mencatatkan sejarah buat pertama kalinya gagal untuk mara ke
pusingan separuh akhir.
RUJUKAN: Ghulam Jie M Khan, Buku Rekod Malaysia, Edisi Khas, Ainna’s Publication, Tampin, 1997, hlm.521

Selangor sambar 'Messi'

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN -dayne.ghazali@utusan.com.my
 
 Andik Vermansyah (tengah) menerima jersi Selangor daripada Rosman Mohd. Ibrahim (kanan) dalam satu majlis ringkas di Jakarta, semalam.
KUALA LUMPUR - Bintang negara jiran yang terkenal dengan gelaran 'Messi' Indonesia, Andik Vermansyah bakal memperkuatkan cabaran Selangor bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim 2014.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Rosman Mohd. Ibrahim berkata, pemilihan Andik untuk mengisi kuota import benua Asia dibuat setelah melihat potensi besar yang ada pada pemain yang berasal dari Jawa Timur itu.

Bintang tengah Indonesia itu dipercayai mampu membantu Selangor kembali berada dalam kelompok pasukan yang disegani.

Walaupun bertubuh kecil, kepantasan yang dimiliki pemain berusia 22 tahun itu akan menjadi aset berharga kepada jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic.

''Andik adalah pemain yang kental dan pantas, malah dia ada teknik kawalan bola yang begitu baik kerana mampu menjaringkan gol dari bahagian sayap.

''Saya yakin Andik mampu menyinar bersama Selangor dan dijangka menjadi salah seorang pemain utama Red Giants musim depan, " katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Andik yang dianggap ikon bola sepak di negaranya, beraksi bersama Persebaya. Dia mempunyai pengalaman menjalani latihan di luar negara bersama kelab Liga Utama Kebangsaan (MLS) Amerika Syarikat, D.C United dan kelab Liga Jepun (Liga-J), Ventforet Kofu tetapi gagal meraih tempat.

Salah satu fakta menarik mengenai Andik, dia diletak sebagai antara 10 pemain terbaik Asia yang diramal mempunyai potensi besar untuk meningkat.Rosman dalam masa sama mengingatkan peminat Selangor agar jangan meletak beban berlebihan kepada Andik kerana pemain ini masih muda.''Andik seorang yang cukup merendah diri dan mohon semua pihak agar melihat prestasi dia terlebih dahulu serta jangan terlalu mengagung-agungkan dia.''Saya mohon dia dilayan seperti pemain lain dan tidak perlu diberi layanan terlalu istimewa atau bertaraf bintang, " katanya.Selain Andik, Selangor sudah menyambar dua bintang Brazil, Paolo Rangel dan Junior Aparecido.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131201/su_03/Selangor-sambar-Messi#ixzz2mAqwH6lf © Utusan Melayu (M) Bhd


Norfarhan puas akhirnya dakap trofi

SHAH ALAM - Setelah sekian lama mempamer aksi yang cemerlang pada saban tahun, akhirnya Mohd. Norfarhan Muhammad merangkul anugerah Penyerang Terbaik pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2013 100 Plus-Astro Arena-FAM buat kali pertama.

Tiada perkara lain yang dilafazkan oleh bakal pemain Terengganu itu pada musim depan, selain rasa bersyukur dengan kemenangan berkenaan selain melabelkan kemenangan itu sebagai hadiah perpisahan kepada Kelantan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2014.

''Trofi ini saya dedikasi kepada seluruh ahli keluarga saya dan paling utama kepada seluruh warga The Red Warriors yang tidak pernah putus-putus sama ada dalam atau luar padang memberikan sokongan padu.

''Kemenangan ini adalah pelengkap saya menamatkan kerjaya saya bersama Kelantan sebelum berhijrah ke pasukan baru saya, Terengganu bagi menghadapi saingan musim depan, " katanya.

Norfarhan berjaya mengetepikan saingan yang kuat daripada beberapa pemain kebangsaan seperti pemenang tiga kali Anugerah Pemain Paling Bernilai, Norshahrul Idlan Talaha, Mohd. Amri Yahyah selain pemain veteran, Hairuddin Omar, bintang Pahang, Azamuddin Akil dan pemain Lions XII, Shahril Ishak.

Sementara itu, Baihakki Khaizan yang dinobat sebagai Pertahanan Terbaik mengakui, nasib mungkin memihak dirinya apabila mengetahui namanya diangkat sebagai pemenang memandangkan persaingan yang cukup sengit, selain turut mengumumkan dia akan bersama Johor Darul Takzim (JDT) dan bukannya Johor DT II seperti mana diketahui sebelum ini.

''Dalam setiap perlawanan saya sentiasa berikan yang termampu dan kebetulan saya berjaya membantu pasukan dalam setiap perlawanan, itu mungkin menjadikan saya diangkat sebagai pemenang.

''Untuk musim depan, saya akan bersama JDT, perkhabaran ini baru saya terima beberapa hari lalu dan kejayaan ini pasti akan menjadi loncatan semangat saya bagi meraih tempat dalam kesebelasan utama, " katanya.

RUJUKAN:http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131201/su_02/Norfarhan-puas-akhirnya-dakap-trofi. © Utusan Melayu (M) Bhd

'Panggillah saya beraksi'

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN  -dayne.ghazali@utusan.com.my

(dari kiri) Pertahanan Terbaik, Baihakki Khaizan; Penyerang Terbaik, Mohd. Norfarhan Muhammad; Pemain Tengah Terbaik dan Pemain Paling Bernilai, Mohd. Badhri Radzi; Penjaga Gol Terbaik, Khairul Fahmi Che Mat dan Pemain Harapan, Junior Eldstal bersama trofi masing-masing pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2013 di Kuala Lumpur, semalam.
SHAH ALAM - Bintang tengah Kelantan, Mohd. Badhri Radzi tidak menyembunyikan impian untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan sejurus selepas dinobat sebagai Pemain Paling Bernilai 2013 pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100 Plus- Astro Arena-FAM, semalam.
Malah seperti diduga, ketua pasukan The Red Warriors itu turut diumumkan sebagai Pemain Tengah Terbaik.
Badhri, yang lebih dikenali dengan jolokan Piya mengetepikan dominasi penyerang Johor Darul Takzim, Norshahrul Idlan Talaha yang mengungguli anugerah Pemain Paling Bernilai sejak tiga tahun lalu.
Pemain berusia 31 tahun itu berkata, dia amat berharap, kemenangannya mampu membuka mata banyak pihak dan melayakkannya kembali menganggotai skuad Harimau Malaya.
Piya sebelum ini sering disisihkan daripada skuad kebangsaan, biarpun diakui sebagai antara pemain tengah terbaik dalam Liga Malaysia.
“Itu saya tidak boleh cakap apa-apa (mengapa tidak dipanggil sebelum ini). Mungkin saya tiada rezeki untuk diserap walaupun sudah memberikan yang terbaik bersama Kelantan.
‘‘Sebagai pemain, sudah tentu saya begitu teringin untuk menyarung jersi kebangsaan dan harap saya akan dipanggil pada masa akan datang, " katanya.
Piya mengetepikan cabaran kuat daripada Amirulhadi Zainal, Christie Jayaseelan, Joseph Kallang Tie, R. Gopinathan dan Nurul Azwan Roya untuk membawa pulang anugerah Pemain Tengah Terbaik.
Pemilihan Piya bukan sesuatu yang mengejutkan kerana dia mempamer aksi konsisten sepanjang musim, termasuk pada saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Kejayaan pemain lincah itu kemudian turut disusuli dengan kemenangan dua rakan sepasukannya, Khairul Fahmi Che Mat yang dijulang sebagai Penjaga Gol Terbaik buat kali keempat berturut-turut, selain Mohd. Norfarhan Muhammad yang muncul Penyerang Terbaik.
Kelantan turut menambah koleksi kemenangan selepas peminat mereka dipilih sebagai Kelab Penyokong Terbaik.
Pemain LionsXII, Baihakki Khaizan pula dinobat sebagai Pertahanan Terbaik, diikuti Junior Eldstal sebagai Pemain Harapan.
Kejayaan Dollah Salleh membawa Pahang muncul juara Piala Malaysia selepas 21 tahun mengangkatnya sebagai Jurulatih Terbaik.
Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) pula dipilih sebagai Persatuan Bola Sepak Negeri Terbaik dan PDRM mendapat anugerah Fair Play, manakala Sime Darby mempertahankan gelaran Kelab Bola Sepak Terbaik.
Anugerah Pengadil Terbaik yang diperkenalkan buat kali pertama pada tahun ini menjadi milik Nago Amir Nor Mohamed dan Mohd. Sabri Mat Daud dipilih Pembantu Pengadil Terbaik.
Piya yang sedikit terkejut dengan kemenangan itu berkata, dia tidak mungkin akan menerima trofi tanpa bantuan rakan-rakan sepasukan dan penyokong Kelantan yang sentiasa berada di belakangnya.
‘‘Dalam karier saya sebagai pemain, ini adalah kejayaan paling manis.
“Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa gembiranya saya menerima gelaran ini.
‘‘Rasa macam masih tidak percaya, namun saya anggap ini adalah hadiah terbaik kepada kedua-dua ibu bapa saya yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi.
“Kemenangan ini juga pasti akan memberi motivasi tambahan kepada saya untuk menghadapi musim depan, " kata Piya.
Sementara itu, Khairul Fahmi tidak menganggap kejayaannya memegang trofi Penjaga Gol Terbaik semenjak tahun 2010 sebagai satu petanda yang membuktikan dia tidak mempunyai pesaing setanding dalam saingan Liga Malaysia.
‘‘Bagi saya semua penjaga gol di Malaysia adalah yang terbaik dan saya tidak fikir sampai begitu sekali (tiada pesaing setanding) cuma rezeki mungkin lebih memihak kepada saya.
‘‘Diharapkan anugerah ini memberikan saya semangat untuk bekerja keras pada musim baharu nanti dan cuba mengekalkan lagi gelaran ini jika boleh, " katanya.
Penyerang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Marlon Alex James muncul Pemain Import Terbaik 2014.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131201/su_01/Panggillah-saya-beraksi#ixzz2mAlnXy00 © Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday 27 November 2013

Nazri Ahmad sah milik The Red Warriors

 Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
 
Kevin Ramalingam (kiri) bersama Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa (tengah) ketika memperkenalkan barisan pemain baharu The Red Warriors pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, kelmarin.
KOTA BHARU - Ketua Pegawai Eksekutif The Red Warriors Sdn. Bhd, Kevin Ramalingam semalam menegaskan, pemain pertahanan, Muhamad Nazri Ahmad yang dibawa masuk bagi memperkuatkan skuad Kelantan musim depan sah milik The Red Warriors.

Bekas tonggak Johor Darul Takzim (Johor DT) itu telah menandatangani kontrak bersama Kelantan untuk tempoh tiga tahun bermula musim 2014 nanti.

Kevin berkata, pemain itu memberitahu pihaknya bahawa kontrak bersama Johor DT sebelum ini sudah tamat dan dia bebas untuk membuat pilihan.

"Nazri telah memberitahu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dia tidak terikat dengan mana-mana pasukan, jadi, kita telah mengemukakan tawaran kepada pemain tersebut dan dia bersetuju dengan syarat-syarat yang terkandung dalam kontrak tersebut.

"KAFA berpegang kepada kata-kata Nazri yang memberitahu dia tidak terikat dengan mana-mana pasukan, jadi sebab itulah kita kemukakan tawaran.

"Jika Nazri telah mempunyai kontrak dengan pasukan lain, KAFA sama sekali tidak akan mengemukakan tawaran kepadanya kerana ia bercanggah dengan peraturan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu perpindahan Nazri yang menimbulkan persoalan apabila Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mendakwa pemain itu sudah mengandatangi kontrak untuk bersama Red Giants .

Tambahnya, Kelantan sebelum ini pernah berdepan masalah yang sama apabila beberapa pemainnya berhijrah ke pasukan lain biarpun pada asalnya telah menyatakan persetujuan dengan menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU).

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad memberitahu, tindakan pemain berkenaan jelas tidak profesional memandangkan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) telah membayar pampasan kepada Nazri kerana kontraknya hanya akan berakhir pada 30 November ini.

Kevin berkata, Nazri mengakui, ada bertemu dengan pihak FAS namun dia tidak menandatangani kontrak untuk beraksi bersama Selangor musim hadapan.

Katanya, pihaknya tidak mempunyai niat untuk mengambil pemain pasukan lain jika mereka masih ada kontark.

"Kita terkejut dengan perkara ini, namun KAFA menyalahkan Nazri mungkin dia kurang arif. Saya cadangkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya mewujudkan ejen berdaftar dalam menguruskan hal berkaitan dengan perpindahan pemain.

"Langkah ini bagi mengelakkan isu sebegini kembali berulang pada masa hadapan," ujarnya lagi.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131128/su_02/Nazri-Ahmad-sah-milik-The-Red-Warriors#ixzz2ltILV900

© Utusan Melayu (M) Bhd

'Dia tidak akan terlepas'

 Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
BORANG Sijil Perpindahan Negeri yang telah ditandatangani oleh Muhamad Nazri Ahmad untuk membuktikan dia sudah bersetuju menyertai Selangor dari Johor Darul Takzim.
KUALA LUMPUR - Biar apa pun yang akan berlaku Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) akan meneruskan perjuangan untuk memberi pengajaran kepada pemain yang sesuka hati mempermainkan kontrak mereka, termasuk yang terbaru bekas pemain Johor Darul Takzim (Johor DT), Muhamad Nazri Ahmad.

Ini bermakna, FAS tidak bercadang untuk menyelesaikan masalah tersebut di luar FAM, sebaliknya akan membawanya ke muka pengadilan.

Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad berkata, mereka tidak mahu dilabel sebagai persatuan yang mudah tunduk mengalah selepas berlaku perkara yang sama ketika ingin membawa pulang Safee Sali.

Biarpun sudah memberi persetujuan lisan, Safee akhirnya memilih untuk kekal di pangkuan Johor DT.

"Saya ada bukti di tangan, yang mana kontrak perjanjian yang ditandatangani oleh pemain Nazri.

" Kita boleh tahu siapa yang tipu siapa. Saya tidak tahu jika ada sesetengah pihak mendakwa Nazri hanya bersetuju secara lisan untuk menyertai Selangor tetapi secara realitinya, dia telah mengikat kontrak dengan FAS," katanya.

Pemain pertahanan itu mencetus kontroversi apabila didakwa melanggar kontrak FAS sebagaimana dia telah menandatangani perjanjian dengan pasukan Selangor tetapi membuat 'pusingan U' menyertai Kelantan untuk Liga Super musim depan.

Semuanya terjawab sebaik pemain berusia 23 tahun itu berada dalam senarai pemain Kelantan bagi musim 2014 dalam majlis memperkenalkan Pasukan The Red Warriors, kelmarin.

"Kita tidak mahu lagi imej dan kredibiliti persatuan negeri ini tercalar sebagaimana FAS pernah berdepan situasi yang sama ketika cubaan mendapatkan khidmat Safee.

"Bezanya dengan kes Nazri, Safee sekadar bersetuju menerusi perjanjian lisan untuk menyertai Selangor dan kes itu selesai sejurus pihak Johor DT bersetuju membayar semula pampasan kepada FAS.

"Namun, untuk kes terbaru ini kami memiliki bukti iaitu perjanjian kontrak itu telah pun ditandatangani Nazri," katanya.

Mokhtar berkata, ia adalah satu perbuatan tidak bermoral apabila seorang pemain yang sudah menandatangani kontrak tetapi membuat pusingan U dengan menyertai pasukan lain.

"Saya menghormati pandangan (Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM) Datuk Takiyuddin Hassan yang memberi saranan supaya menyelesaikan kes ini dengan cara berhemah tetapi pemain seperti ini perlu diberi pengajaran agar tidak sesekali memandang ringan berhubung isu kontrak

"FAS tetap akan bawa kes ini ke FAM demi keadilan untuk pihak kami, saya menyeru FAM agar melaksanakan atau menggubal peraturan perpindahan lebih ketat bagi mengelakkan perkara ini tidak berulang pada masa akan datang.

"Kalau begini sikap pemain, mudah buat mana-mana pasukan beli pemain. Sikap inilah harus kita kikis dan saya berharap FAM dapat melakukan sesuatu untuk menghalang pemain-pemain yang telah menandatangani kontrak, berhijrah ke pasukan lain," katanya.

Takiyuddin sebelum ini mengesahkan mana-mana pemain yang didapati bersalah melanggar kontrak boleh menerima hukuman paling maksimum iaitu digantung perlawanan untuk satu musim musim.




Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131128/su_01/Dia-tidak-akan-terlepas#ixzz2ltGnoaKW 

KUBU PERTAHANAN BRITISH DI TELUK CEMPEDAK, KUANTAN.

KUBU PERTAHANAN BRITISH -MAT SMKJ2


Hari selasa 26 November 2013 saya ke MRSM Kuantan kerana menghantar anak saya yang menduduki ujian kelayakan ke MRSM 2014 bagi pelajar Tingkatan 4. Oleh kerana masa peperiksaan jam 2.00-5.30 petang, maka saya mengambil kesempatan membuat penyelidikan sejarah di Pantai Teluk Cempedak.

Gambar 1: Bergambar di Kubu Pertahanan British

Gambar 2: Pandangan Kubu British dari sisi.

Gambar 3: Kedudukan Kubu berhampiran pantai Teluk Cempedak.
       Sebagai persiapan awal menentang Jepun, kerajaan British di Tanah Melayu telah membina kubu pertahanan di Pantai Teluk Cempedak. British telah menempatkan Briged ke-22 India di Kuantan kerana mejangka Jepun akan melakukan pendaratan dari laut, di pesisiran pantai negeri Pahang. kawasan yang dikenalpasti  termasuklah Pantai Teluk Cempedak. 

JEJAK MAT KILAU

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Blogger menulis kisah pahlawan Mat Kilau untuk menjadikan semangat cintakan negara yang tidak bebelah bagi menjadi iktibar kepada pelajar SMK Jengka 2 sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat sekolah ahun 2012.  
Dalam usaha mempertahankan agama dan tanah air, bukan sedikit pengorbanan dituntut, usahkan keringat, malah rembesan darah juga ada kalanya seakan-akan lumrah bagi mereka yang sanggup mati demi kedaulatan negara tercinta. Tokoh tersebut ialah Mat Kilau. Kemunculan semula legenda itu pada 26 Disember 1969 menggemparkan tanah air selepas beberapa kali dikatakan meninggal dunia ketika menentang penjajah.[1]
Semasa kebangkitan Datuk Bahaman, Mat Kilau turut melibatkan diri dengan akan menyerang pasukan British di Kuala Lipis. Pada  1892, Lt. Kolonel Walker dan Hugh Clifford telah memasuki dan membakar daerah Budu, iaitu Kubu Mat Kilau. Mat Kilau dapat menyelamatkan diri dan menyertai kumpulan Datuk Bahaman di kawasan Ceka. Dari situ Mat Kilau bergerak terus menentang penjajahan British di Pahang.[2]



                                           Mat Kilau selepas muncul kembali  26 Disember 1969.

[1] Jejak Pahlawan Mat Kilau, Utusan Malaysia 10 November 2012, hlm.19.

[2] Mohd Amin Hassan Perluasan Sistem Residen ke Negeri Sembilan Dan Pahang, dlm.Zainal Abidin Wahid, Malaysia Warisan dan Perkembangan Edisi Kedua, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996, hlm.146.

SEJARAH HIDUP NABI MUHAMMAD SAW



1.IBU BAPA NABI MUHAMMAD SAW
       Ketika tentera Abrahah menceroboh Kota Mekah umur Abdullah bapa Nabi Muhammad SAW sudah 24 tahun dan sudah tiba masa untuk dikahwinkan. Pilihan Abdul Mutalib jatuh kepada Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf bin Zuhra, pemimpin suku Zuhra ketika itu. Abdul Mutalib dan anaknya menemui Wahab untuk melamar puterinya. Pada hari perkahwinan Abdullah dengan Aminah, Abdul Mutalib juga berkahwin dengan Hala, anak bapa saudaranya. Dari perkahwinan itu lahirlah  Hamzah, bapa saudara Nabi dan seusia dengan Nabi Muhammad SAW.

       Selepas berkahwin Abdullah tinggal selama tiga hari di rumah Aminah, sesuai dengan adat kebiasaan Arab bila perkahwinan dilangsungkan di rumah keluarga pengantin perempuan. Selepas itu mereka berpindah ke rumah keluarga Abdul Mutalib. Abdullah kemudiannya berdagang ke Syria dengan meninggalkan isteri yang dalam keadaan hamil.

       Abdullah ke Syam, dalam perjalanan Abdullah singgah di Gaza. Kemudian Abdullah singgah di Madinah tempat tinggal saudara-saudara ibunya. Abdullah kemudiannya jatuh sakit di Madinah. Kawan-kawan Abdullah yang pulang ke Mekah menyampaikan berita sakitnya itu kepada ayahnya setelah mereka sampai di Mekah. Setelah mendapat berita tersebut Abdul Mutalib menghantar anak sulungnya Harith ke Madinah supaya membawa Abdullah pulang ke Mekah apabila sudah sembuh. Tetapi sesampainya di Madinah Abdullah sudah meninggal dunia.  peninggalan Abdullah ialah lima ekor unta, sekelompok ternakan kambing dan seorang budak perempuan Umm Ayman yang kemudiannya menjadi pengasuh Nabi.[1]




[1]Muhammad Husain Haekal, Sejarah Hidup Nabi Muhammad, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1981, hlm.53.

Tuesday 26 November 2013

Jangan Bandingkan Mereka


Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

FADHLI Shas percaya, skuad Harimau Malaya telah memberi aksi terbaik pada kelayakan Piala Asia tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.
KUALA LUMPUR - Sedih dan terkejut, namun sebagai pemain bola sepak profesional, dua permata muda yang semakin meningkat naik dalam pasukan Harimau Malaya, K. Reuben dan Mohd. Fadhli Shas akur dengan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tidak menyambung kontrak Datuk K. Rajagobal sebagai ketua jurulatih selepas berakhir 31 Disember ini.

Namun, untuk membandingkan antara Rajagobal dengan Datuk Ong Kim Swee yang diberi peranan sebagai pemangku ketua jurulatih Harimau Malaya, Reuben yang beraksi di posisi bek kanan melihat perkara itu masih terlalu awal sambil mengakui mereka berdua ada perbezaan tersendiri.

Tambah pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini lagi, Rajagobal telah melakukan yang termampu sebagai jurulatih ketika bersama Harimau Malaya cuma nasib tidak bersama mereka terutama pada kelayakan Piala Asia 2015.

‘‘Bagi saya setiap jurulatih ada kekuatan masing-masing dan sebagai pemain, saya sedia menerima sesiapa sahaja serta akur dengan keputusan FAM lakukan.

‘‘Memang ada perbezaan antara mereka berdua, Kim Swee yang saya kenali adalah seorang jurulatih begitu taktikal, sementara Rajagobal mempunyai kekuatan dari segi psikologi ke atas pemain.

‘‘Selepas ini suasana di latihan pasukan kebangsaan pasti sedikit berlainan bagi sebahagian besar pemain dengan kehadiran Kim Swee sebagai jurulatih, namun bagi saya, bukan satu masalah kerana sudah bersamanya dalam pasukan bawah 23 tahun, " katanya ketika ditemui selepas latihan skuad Sukan SEA di Wisma FAM, semalam.

Reuben bagaimanapun berkata, dia amat menghargai segala tunjuk ajar Rajagobal yang sentiasa menyenaraikan namanya dalam skuad kebangsaan.

‘‘Terima kasih dengan peluang dan kepercayaan yang diberikan, biarpun ramai tidak yakin di atas kemampuan saya untuk berada dalam skuad kebangsaan.

‘‘Namun, banyak pengalaman yang telah saya dapat ketika dibimbing Rajagobal, walaupun ada kalanya ada melakukan kesilapan semasa perlawanan tetapi saya belajar daripada kesilapan untuk menjadi pemain yang matang, " katanya.

Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal kelmarin mengumumkan keputusan yang sudah dijangka apabila tidak melanjutkan kontrak Rajagobal selepas peluang untuk beraksi di Piala Asia 2015 semakin malap apabila sekadar memungut empat mata daripada lima perlawanan peringkat kumpulan.

Sepanjang 2013, Malaysia hanya menang satu daripada 20 perlawanan iaitu semasa menewaskan Yemen 2-1 pada perlawanan kedua kelayakan Piala Asia 2015.

Sementara itu, Fadhli Shas yang pernah bersama Rajagobal semenjak memenangi Piala Suzuki AFF 2010 tidak mahu menjadikan ketiadaan jurulatih itu sebagai isu besar kerana sebagai pemain, dia sedia bekerja dengan sesiapa sahaja.

‘‘Sebagai pemain, tugas kami adalah mengikut apa yang direncanakan jurulatih dan bagi saya tiada perbezaan ketara kerana sebelum ini saya bekerja dengan Kim Swee.

‘‘Cuma saya akui memang ada banyak memori pahit dan manis bersama Rajagobal sepanjang bersama skuad kebangsaan, dia memang seorang jurulatih yang banyak membantu.

‘‘Walaupun saya tidak beraksi dalam dua perlawanan terakhir (kelayakan Piala Asia), pemain saya lihat telah memberikan yang terbaik untuk mencatat kemenangan cuma nasib tidak begitu menyebelahi kami, " katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131126/su_01/Jangan-bandingkan-mereka#ixzz2liHsItCN © Utusan Melayu (M) Bhd

Sunday 24 November 2013

Harimau Malaya tagih 'aura' Kim Swee

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA dan AHMAD FAZLI MOHD. YADI.sukan@kosmo.com.my

 RAJAGOBAL (kanan) sedang melatih pemain-pemain Harimau Malaya di Padang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, Selangor.‘EPISOD’ Datuk K. Rajagobal bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya menemui noktah sebaik badan induk persatuan itu telah mengesahkan bahawa mereka tidak akan melanjutkan kontraknya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.Biarpun FAM enggan mendedahkan perkara sebenar mengapa mereka tidak melanjutkan perjanjian Rajagobal, keputusan itu difahamkan gara-gara beliau gagal memenuhi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan.

 Ini kerana bekas jurulatih Selangor dan Kelantan itu diamanahkan untuk membawa skuad Harimau Malaya ke pentas Piala Asia 2015 di Australia.Begitupun, Rajagobal yang bakal menyaksikan kontraknya tamat pada 31 Disember depan, gagal mengemudi skuad kebangsaan apabila sekadar menduduki tangga ketiga Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015 termasuk kekalahan 0-1 ketika menentang Qatar di Stadium Shah Alam, 19 November lalu.Justeru, FAM mengumumkan jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee bakal mengambil alih sementara kerusi panas tersebut sebelum menamakan calon sebenar dalam tempoh terdekat.

Dalam masa yang sama, FAM turut mengesahkan telah melanjutkan kontrak pengendali kelahiran Melaka itu namun mengambil pendekatan kunci mulut ketika ditanya tempoh perjanjian berkenaan.Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal (gambar kecil) memberitahu, pihaknya tetap memberikan perhargaan kepada Rajagobal meskipun tidak berniat untuk menyambung kontraknya.Sebagai rekod, Rajagobal muncul sebagai jurulatih tempatan pertama berjaya menjulang kejuaraan Piala AFF Suzuki 2010.

 “FAM ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Rajagobal. Sepanjang lima tahun bersama kami, Rajagobal telah berjaya menjulang kejuaraan Piala AFF Suzuki 2010.“Saya percaya Rajagobal akan terus terlibat dalam dunia bola sepak berdasarkan pengalaman yang sedia ada.“Berhubung pengganti Rajagobal, Kim Swee bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh beliau secara sementara,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Tambah Subahan, FAM bakal mengambil masa sekurang-kurang dua bulan untuk menamakan jurulatih baharu skuad kebangsaan.Jelasnya lagi, Kim Swee bakal mengambil alih skuad Harimau Malaya jika FAM masih gagal untuk mencari pengendali baharu sebelum aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen pada 5 Mac tahun depan.

 “Kami akan mencari pengganti baharu dalam tempoh dua bulan dari sekarang. Jika masih tiada lagi calon yang sesuai, Kim Swee bakal mengemudi skuad kebangsaan untuk aksi menentang Yemen nanti,” katanya.Ketika ditanya adakah Kim Swee bakal dikekalkan jawatan tersebut jika berjaya membimbing skuad Harimau Malaya, Subahan memberitahu: “Kami tidak bincangkan perkara itu dalam Mesyuarat Exco FAM tadi tetapi kita tunggu dan lihat.”

 Dalam perkembangan sama, Kim Swee kekal tenang dan mengakui bersedia untuk menggalas amanah yang diberikan oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tuanku selaku Presiden FAM (Sultan Ahmad Shah) kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk mengetuai skuad Harimau Malaya.“Biarpun jawatan ini sementara, saya cukup serius dengan tugasan ini dan sudah tentu, saya mahu membantu skuad negara memburu kemenangan menjelang aksi pertemuan menentang Yemen pada Mac depan.

 “Saya akui tugasan selaku jurulatih Harimau Malaya amat mencabar tetapi saya tetap teruja untuk membantu pasukan kebangsaan kita menikmati kejayaan di pentas antarabangsa,” katanya.Sementara itu, Rajagobal yang enggan mengulas lebih lanjut mengenai kontraknya tidak disambung FAM berkata: “Saya tengah bincang sesuatu. Boleh hubungi saya balik selepas ini.”Begitupun, cubaan Kosmo! mendapatkan komen lanjut dari Rajagobal gagal.


RUJUKAN:http://www.kosmo.com.my/kosmo.25.11.2013

Saturday 23 November 2013

Tidak boleh salahkan Rajagobal seratus peratus - Rahim

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
 
 RAHIM Abdullah (barisan depan, dua dari kiri) bersama skuad Malaysia menentang Maghribi di Jerman Barat. Skuad inilah yang layak ke Sukan Olimpik Munich 1972.
KUALA LUMPUR - Masalah ketumpulan penyudah dan ketandusan penyerang tempatan gara-gara kebanjiran pemain import Liga Malaysia, jelas terbukti dalam kekalahan 0-1 Malaysia pada Kelayakan Piala Asia 2015 kepada Bahrain dan Qatar, baru-baru ini.

Masalah itu cuba disuarakan Datuk K. Rajagobal selepas kalah persahabatan 1-4 kepada Arab Saudi, Mac lalu itu, namun hampir disalah tafsir Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai 'mengecam majikan' sebelum jurulatih negara itu dibebaskan daripada tuduhannya.

Isu limpahan penyerang import sejak bola sepak kita bertukar separuh profesional 1989, turut mendorong peletakan jawatan Rahim Abdullah sebagai jurulatih negara selepas Malaysia dikejutkan Filipina 1-0 dan kempunan sebarang pingat Sukan SEA Manila 1991.

"Kita tidak boleh salahkan jurulatih (Rajagobal) semata-mata (atas kekalahan berturut-turut dalam Kumpulan D kelayakan). Jika itu sahaja 'bahan' (penyerang tempatan) yang dia ada, inilah hasilnya yang kita peroleh.

"Saya pun pernah bentangkan laporan selepas pulang daripada Sukan SEA Manila 1991 tentang bagaimana pasukan negeri dalam liga kita gemar mengambil semua penyerang import sampai tidak mahu mengasuh penyerang tempatan dan mereka langsung tidak berpeluang bermain," kata Rahim, sayap kanan skuad Sukan Olimpik Munich 1972, kepada Utusan Malaysia, semalam.

Beliau mengulas kedudukan Rajagobal sebagai jurulatih selepas Harimau Malaya cuma tinggal 'nyawa-nyawa ikan' untuk ke pusingan akhir Piala Asia di Australia ekoran deretan kekalahan itu yang meletakkan mereka di tempat ketiga Kumpulan D.

Rahim turut pelik dengan corak permainan Safee Sali yang pernah gah bergelar jutawan di kelab Indonesia, Pelita Jaya tetapi disifatkan seperti budak yang baru bermain bola sepak ketika menentang Bahrain dan Qatar.

"Gayanya terdesak dan hanya merempuh untuk merampas bola. Pasukan kita pun tiada pemain tengah yang bijak membuka ruang atau menukar rentak permainan. Safiq Rahim? Kalau dengan harapkan sepakan bebas sahaja (jaringkan gol), tiada gunanya.

"Sepatutnya menentang Qatar (Selasa lalu), kita letakkan lima pemain tengah tetapi pemain kita pun tiada kaliber dan 'perit'. Percaturan taktikal kita silap apabila berdepan pasukan Arab yang mahir dan tinggi.

Norshahrul Idlan Talaha banyak bekerja keras untuk merampas bola dari bawah tetapi sampai bila dia hendak buat semua itu. Lama-lama dia pun pancit (hilang stamina)," katanya.

Tegas Rahim, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak juga tidak bersesuaian bermain sebagai bek tengah mahupun benteng terakhir Malaysia dengan rempuhan liar dan terlalu terdesak.

"Sepatutnya Mahalli Jasuli dan Amiridzwan Taj Tajudin berganding di situ. Kita perlukan benteng terakhir yang tenang dalam mengutip bola yang terlepas kepada lawan dalam kotak penalti," kata bekas pemain berjersi nombor 18 ini.

Mengenai kecenderungan FAM untuk mengambil jurulatih import sebagai pengganti Rajagobal malah memiliki reputasi tinggi melatih pasukan Piala Dunia, kata Rahim: "Ambillah Alex Ferguson sekalipun, sudah tidak boleh buat apa untuk lawan Yemen (5 Mac nanti).''

RAHIM Abdullah (barisan depan, dua dari kiri) bersama skuad Malaysia menentang Maghribi di Jerman Barat. Skuad inilah yang layak ke Sukan Olimpik Munich 1972.
RUJUKAN:Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131123/su_02/Tidak-boleh-salahkan-Rajagobal-seratus-peratus---Rahim#ixzz2lX9O2Lc4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday 22 November 2013

FAM jangan lupa Kim Swee

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Ong Kim Swee
 


KUALA LUMPUR - Belum pun reda tentang masa depan jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal, kini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka berdepan satu lagi ujian apabila pengendali Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee dikatakan sudah mula dirisik beberapa negara Asia Tenggara.

Bekas pemain kebangsaan itu mempunyai tempoh kontrak yang sama seperti Rajagobal akan berakhir 31 Disember ini, jika tidak ada apa-apa maklum balas daripada FAM dikhuatiri akan ada negara lain yang menyambar Kim Swee.

Antara negara Asia Tenggara yang menunjukkan minat untuk mendapatkan bekas jurulatih Melaka dan pasukan kebangsaan bawah 19 tahun itu ialah Persatuan Bola Sepak Myanmar (MFF) yang mahu mengembalikan kegemilangan era 60-an dan 70-an yang mana mereka menjadi kuasa besar di rantau ini.

Rajagobal akan mengetahui nasibnya pada Mesyuarat Exco FAM esok, namun sekarang ini Kim Swee juga perlu menyedari adakah badan bola sepak negara itu masih lagi mahu menggunakan khidmatnya ataupun dinaikkan pangkat mengendalikan skuad senior yang kini nyawa-nyawa ikan dalam kelayakan Piala Asia 2015 Australia.

Myanmar dilihat begitu serius untuk mendapatkan sentuhan Kim Swee yang telah membuktikan kehebatannya sebagai jurulatih.

Mereka juga mahu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama kuasa Asia Tenggara lain seperti Malaysia, Thailand, Singapura serta Vietnam.

Jika jurulatih Myanmar sekarang, Park Sung-Hwa menerima bayaran bulanan $AS70,000 (RM224,280), MFF pula dikatakan sanggup meletakkan jumlah gaji yang lebih tinggi buat Kim Swee.

Nama Kim Swee mula meniti di bibir peminat bola sepak tempatan selepas berjaya mengekalkan pingat emas Sukan SEA di Jakarta dua tahun lalu, kejayaan itu membuka mata banyak pihak termasuk Singapura yang dilaporkan turut menunjukkan minat untuk menggunakan khidmatnya.

Menurut bekas pemain legenda kebangsaan, Khalid Ali, tawaran daripada negara luar kepada Kim Swee adalah sesuatu yang positif kerana membolehkannya menimba ilmu di negara orang sebelum pulang semula ke negara asal berbekalkan pengalaman berharga.

"Dia akan memperoleh ilmu yang tinggi dan mewakili Malaysia untuk memberikan yang terbaik demi negara. Ini adalah salah satu penghargaan buat bola sepak negara.

"Sedikit sebanyak negara luar masih lagi menghormati Malaysia dan khidmat jurulatih kita diperlukan oleh negara lain. Saya rasa untuk meraih pengalaman tidak salah beliau berkelana ke tempat orang," katanya

Jelas Khalid, jika Kim Swee berhijrah sudah tentu beliau akan membawa pulang sesuatu ilmu yang berharga, berbeza dengan hanya berada dalam Malaysia sahaja.

Sentuhan emas Kim Swee mula menarik perhatian sebaik sahaja beliau mula membimbing Harimau Muda pada 2009 selepas Rajagobal dinaikkan pangkat mengendalikan skuad senior, pada tahun yang sama itu juga beliau meraih kejuaraan Liga Perdana bersama skuad tersebut.

RUJUKAN:http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131123/su_01/FAM-jangan-lupa-Kim-Swee#ixzz2lQ0MCmfq© Utusan Melayu (M) Bhd

Thursday 21 November 2013

'Safee mungkir janji

AIZAWATI AHMAD sukan@utusan.com.my
SAFEE Sali meraikan kemenangan Selangor ketika menyarung jersi pasukan Merah Kuning dalam saingan Liga Super pada Februari, 2011.
KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kecewa dengan tindakan Safee Sali membuat pusingan U apabila membatalkan keputusan untuk kembali ke pangkuan pasukan Red Giants, sebaliknya memilih untuk kekal bersama Johor Darul Takzim (Johor DT).

Timbalan Presiden FAS, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad berkata, penyerang kebangsaan itu telah menyatakan persetujuan untuk menyarung jersi Selangor dalam pertemuan dengannya dua minggu lalu, sebelum menukar fikiran pada saat akhir.

Walaupun mengakui kecewa dengan tindakan pemain berusia 29 tahun itu, namun FAS secara 'gentleman' menerima keputusan Safee dan mengucapkan selamat maju jaya kepadanya.

"Dalam pertemuan saya dengan Safee, dia bersetuju kembali ke Selangor dengan gaji bulanan yang dipersetujui kedua-dua pihak. Semasa Safee bertemu saya pertama kali, dia telah menyatakan kekecewaan kerana harus bermain dalam Liga Perdana jika kekal bersama Johor untuk musim baru.

"Atas faktor tersebut, Safee hendak kembali ke pangkuan Selangor dan kami dengan hati terbuka menerimanya," kata Mokhtar dalam satu kenyataan, semalam.

Mokhtar enggan mendedahkan berapakah gaji yang ditawarkan Selangor kepada Safee, namun menjelaskan jumlah yang mampu diberi mereka tidak dapat menandingi apa yang ditawarkan oleh Johor DT.

Beliau turut menambah, selepas Safee bersetuju dengan tawaran Selangor, FAS telah membuat bayaran pendahuluan.

Utusan Malaysia difahamkan Johor DT telah menawarkan gaji yang cukup lumayan RM110,000 sebulan kepada bekas penyerang Red Giants itu, sedangkan Selangor hanya mampu membayar RM65,000.

Mokhtar berkata, pengumumannya ini adalah untuk memastikan semua pihak, khususnya penyokong Selangor dapat memahami situasi tersebut dan tidak mencetus sebarang polemik mahu pun spekulasi kepada pengurusan FAS atas keputusan Safee itu.

Menurutnya, sikap profesional harus digambarkan menerusi rundingan dan perjanjian sebelum mengikat kontrak.

"Kalau mengikut undang-undang kontrak, perjanjian lisan juga dianggap memeterai kontrak. Perancangan FAS ialah membawa Safee ke pejabat FAS untuk satu majlis ringkas bagi menandatangani kontrak sebagai memeterai perjanjian lisan antara kedua-dua pihak selepas aksi skuad kebangsaan menentang Qatar pada kelayakan Piala Asia.

"Tetapi apabila kami dimaklumkan menerusi pihak ketiga bahawa pengurusan JDT mahu mengekalkan Safee untuk bermain dalam Liga Super, FAS tiada pilihan lain demi kepentingan pemain berkenaan, kami melepaskan Safee," jelasnya.

Beliau berkata, usaha membawa pulang Safee ke Selangor adalah berdasarkan anggapan bahawa penyerang itu mampu mengembalikan sentuhannya di bawah pengurusan Red Giants.

"Idea kami pada awalnya ialah menjadikan Safee sebagai penyerang utama sambil memberi dia ruang membimbing penyerang muda.

"Kami juga mengenang jasa Safee yang pernah beraksi untuk Selangor selama lima musim pada 2006 hingga 2011 dan atas sebab itu, kami percaya dia masih memiliki pengikut yang ramai, selain hakikat bahawa FAS memerlukan khidmatnya untuk bersaing di peringkat Liga Malaysia dan Piala AFC," tambah beliau.

 

Rujukan:http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131122/su_01/Safee-mungkir-janji#ixzz2lKMA2Nlw

© Utusan Melayu (M) Bhd