Ad

Tuesday, 26 November 2013

Jangan Bandingkan Mereka


Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

FADHLI Shas percaya, skuad Harimau Malaya telah memberi aksi terbaik pada kelayakan Piala Asia tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.
KUALA LUMPUR - Sedih dan terkejut, namun sebagai pemain bola sepak profesional, dua permata muda yang semakin meningkat naik dalam pasukan Harimau Malaya, K. Reuben dan Mohd. Fadhli Shas akur dengan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tidak menyambung kontrak Datuk K. Rajagobal sebagai ketua jurulatih selepas berakhir 31 Disember ini.

Namun, untuk membandingkan antara Rajagobal dengan Datuk Ong Kim Swee yang diberi peranan sebagai pemangku ketua jurulatih Harimau Malaya, Reuben yang beraksi di posisi bek kanan melihat perkara itu masih terlalu awal sambil mengakui mereka berdua ada perbezaan tersendiri.

Tambah pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini lagi, Rajagobal telah melakukan yang termampu sebagai jurulatih ketika bersama Harimau Malaya cuma nasib tidak bersama mereka terutama pada kelayakan Piala Asia 2015.

‘‘Bagi saya setiap jurulatih ada kekuatan masing-masing dan sebagai pemain, saya sedia menerima sesiapa sahaja serta akur dengan keputusan FAM lakukan.

‘‘Memang ada perbezaan antara mereka berdua, Kim Swee yang saya kenali adalah seorang jurulatih begitu taktikal, sementara Rajagobal mempunyai kekuatan dari segi psikologi ke atas pemain.

‘‘Selepas ini suasana di latihan pasukan kebangsaan pasti sedikit berlainan bagi sebahagian besar pemain dengan kehadiran Kim Swee sebagai jurulatih, namun bagi saya, bukan satu masalah kerana sudah bersamanya dalam pasukan bawah 23 tahun, " katanya ketika ditemui selepas latihan skuad Sukan SEA di Wisma FAM, semalam.

Reuben bagaimanapun berkata, dia amat menghargai segala tunjuk ajar Rajagobal yang sentiasa menyenaraikan namanya dalam skuad kebangsaan.

‘‘Terima kasih dengan peluang dan kepercayaan yang diberikan, biarpun ramai tidak yakin di atas kemampuan saya untuk berada dalam skuad kebangsaan.

‘‘Namun, banyak pengalaman yang telah saya dapat ketika dibimbing Rajagobal, walaupun ada kalanya ada melakukan kesilapan semasa perlawanan tetapi saya belajar daripada kesilapan untuk menjadi pemain yang matang, " katanya.

Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal kelmarin mengumumkan keputusan yang sudah dijangka apabila tidak melanjutkan kontrak Rajagobal selepas peluang untuk beraksi di Piala Asia 2015 semakin malap apabila sekadar memungut empat mata daripada lima perlawanan peringkat kumpulan.

Sepanjang 2013, Malaysia hanya menang satu daripada 20 perlawanan iaitu semasa menewaskan Yemen 2-1 pada perlawanan kedua kelayakan Piala Asia 2015.

Sementara itu, Fadhli Shas yang pernah bersama Rajagobal semenjak memenangi Piala Suzuki AFF 2010 tidak mahu menjadikan ketiadaan jurulatih itu sebagai isu besar kerana sebagai pemain, dia sedia bekerja dengan sesiapa sahaja.

‘‘Sebagai pemain, tugas kami adalah mengikut apa yang direncanakan jurulatih dan bagi saya tiada perbezaan ketara kerana sebelum ini saya bekerja dengan Kim Swee.

‘‘Cuma saya akui memang ada banyak memori pahit dan manis bersama Rajagobal sepanjang bersama skuad kebangsaan, dia memang seorang jurulatih yang banyak membantu.

‘‘Walaupun saya tidak beraksi dalam dua perlawanan terakhir (kelayakan Piala Asia), pemain saya lihat telah memberikan yang terbaik untuk mencatat kemenangan cuma nasib tidak begitu menyebelahi kami, " katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131126/su_01/Jangan-bandingkan-mereka#ixzz2liHsItCN © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment