Ad

Wednesday 13 November 2013

Fokus kutip tiga mata


Oleh Azlan Muhammad Zain
Kuala Lumpur: Tiada laluan mudah buat jentera serangan Bahrain walaupun lawan turun dengan misi mengutip tiga mata dan dilihat mempunyai pelbagai kelebihan.
Itu jaminan pertahanan Harimau Malaya, Mohd Razman Roslan menjelang aksi getir skuad negara kendalian Datuk K Rajagobal yang turun dalam kelayakan Piala Asia 2015 Kumpulan D menentang Bahrain di Stadium Nasional Manama, Jumaat ini.
Skuad negara kini berada di kedudukan ketiga kumpulan dengan mengumpul empat mata di belakang Qatar (enam) dan Bahrain (tujuh) dengan Yaman tanpa sebarang mata. Hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan dan satu pasukan ketiga terbaik layak ke pusingan akhir di Australia pada 2015.

Razman yang segar menikmati kejayaan menjulang Piala Malaysia bersama Pahang baru-baru ini berkata, tiada tekanan buat skuad negara turun beraksi walaupun ia dilihat aksi penentu nasib skuad negara yang mahu menepati sasaran layak ke pusingan akhir.
Foto
RAJAGOBAL (tengah) perlu fikir strategi terbaik jinak Bahrain.

“Kami kini fokus untuk mencatatkan keputusan yang baik di Bahrain kerana selepas ini bakal bertemu Qatar di tempat sendiri.

“Setakat ini latihan berjalan lancar dengan tumpuan banyak diberikan kepada perancangan taktikal.

“Kami perlu memantapkan bahagian pertahanan dan pada masa sama cuba menjaringkan gol,” kata pertahanan tengah berusia 29 itu yang bakal bersaing sengit dengan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan Amiridzwan Taj Tajudin untuk berada dalam kesebelasan utama. 

Tambahnya, barisan pertahanan perlu lebih waspada kali ini dan aspek komunikasi perlu dipertingkatkan supaya lebih bersedia dan mengelak daripada melakukan kesilapan mudah yang boleh mengundang padah.

“Kelebihan pastinya memihak mereka kali ini kerana bermain di tempat sendiri. Malah mereka juga mempunyai kelebihan fizikal dan teknik namun ia bukanlah penghalang kerana kita turut mempunyai kepantasan yang boleh dijadikan senjata untuk mengejutkan mereka,” katanya.

Skuad negara yang mengikat lawan yang sama 1-1 pada pusingan pertama di Stadium Shah Alam pada 15 Oktober lalu perlu mengelak daripada tewas andai mahu membuka peluang sekurang-kurangnya layak sebagai pasukan ketiga terbaik daripada lima kumpulan yang bersaing.

Anak buah Rajagobal bagaimanapun kecundang 0-3 dalam aksi persahabatan menentang Kuwait beberapa hari lalu dengan Bahrain mendapat suntikan positif apabila menewaskan Lubnan 1-0.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/13

No comments:

Post a Comment