Ad

Saturday 30 November 2013

'Panggillah saya beraksi'

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN  -dayne.ghazali@utusan.com.my

(dari kiri) Pertahanan Terbaik, Baihakki Khaizan; Penyerang Terbaik, Mohd. Norfarhan Muhammad; Pemain Tengah Terbaik dan Pemain Paling Bernilai, Mohd. Badhri Radzi; Penjaga Gol Terbaik, Khairul Fahmi Che Mat dan Pemain Harapan, Junior Eldstal bersama trofi masing-masing pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2013 di Kuala Lumpur, semalam.
SHAH ALAM - Bintang tengah Kelantan, Mohd. Badhri Radzi tidak menyembunyikan impian untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan sejurus selepas dinobat sebagai Pemain Paling Bernilai 2013 pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100 Plus- Astro Arena-FAM, semalam.
Malah seperti diduga, ketua pasukan The Red Warriors itu turut diumumkan sebagai Pemain Tengah Terbaik.
Badhri, yang lebih dikenali dengan jolokan Piya mengetepikan dominasi penyerang Johor Darul Takzim, Norshahrul Idlan Talaha yang mengungguli anugerah Pemain Paling Bernilai sejak tiga tahun lalu.
Pemain berusia 31 tahun itu berkata, dia amat berharap, kemenangannya mampu membuka mata banyak pihak dan melayakkannya kembali menganggotai skuad Harimau Malaya.
Piya sebelum ini sering disisihkan daripada skuad kebangsaan, biarpun diakui sebagai antara pemain tengah terbaik dalam Liga Malaysia.
“Itu saya tidak boleh cakap apa-apa (mengapa tidak dipanggil sebelum ini). Mungkin saya tiada rezeki untuk diserap walaupun sudah memberikan yang terbaik bersama Kelantan.
‘‘Sebagai pemain, sudah tentu saya begitu teringin untuk menyarung jersi kebangsaan dan harap saya akan dipanggil pada masa akan datang, " katanya.
Piya mengetepikan cabaran kuat daripada Amirulhadi Zainal, Christie Jayaseelan, Joseph Kallang Tie, R. Gopinathan dan Nurul Azwan Roya untuk membawa pulang anugerah Pemain Tengah Terbaik.
Pemilihan Piya bukan sesuatu yang mengejutkan kerana dia mempamer aksi konsisten sepanjang musim, termasuk pada saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Kejayaan pemain lincah itu kemudian turut disusuli dengan kemenangan dua rakan sepasukannya, Khairul Fahmi Che Mat yang dijulang sebagai Penjaga Gol Terbaik buat kali keempat berturut-turut, selain Mohd. Norfarhan Muhammad yang muncul Penyerang Terbaik.
Kelantan turut menambah koleksi kemenangan selepas peminat mereka dipilih sebagai Kelab Penyokong Terbaik.
Pemain LionsXII, Baihakki Khaizan pula dinobat sebagai Pertahanan Terbaik, diikuti Junior Eldstal sebagai Pemain Harapan.
Kejayaan Dollah Salleh membawa Pahang muncul juara Piala Malaysia selepas 21 tahun mengangkatnya sebagai Jurulatih Terbaik.
Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) pula dipilih sebagai Persatuan Bola Sepak Negeri Terbaik dan PDRM mendapat anugerah Fair Play, manakala Sime Darby mempertahankan gelaran Kelab Bola Sepak Terbaik.
Anugerah Pengadil Terbaik yang diperkenalkan buat kali pertama pada tahun ini menjadi milik Nago Amir Nor Mohamed dan Mohd. Sabri Mat Daud dipilih Pembantu Pengadil Terbaik.
Piya yang sedikit terkejut dengan kemenangan itu berkata, dia tidak mungkin akan menerima trofi tanpa bantuan rakan-rakan sepasukan dan penyokong Kelantan yang sentiasa berada di belakangnya.
‘‘Dalam karier saya sebagai pemain, ini adalah kejayaan paling manis.
“Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa gembiranya saya menerima gelaran ini.
‘‘Rasa macam masih tidak percaya, namun saya anggap ini adalah hadiah terbaik kepada kedua-dua ibu bapa saya yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi.
“Kemenangan ini juga pasti akan memberi motivasi tambahan kepada saya untuk menghadapi musim depan, " kata Piya.
Sementara itu, Khairul Fahmi tidak menganggap kejayaannya memegang trofi Penjaga Gol Terbaik semenjak tahun 2010 sebagai satu petanda yang membuktikan dia tidak mempunyai pesaing setanding dalam saingan Liga Malaysia.
‘‘Bagi saya semua penjaga gol di Malaysia adalah yang terbaik dan saya tidak fikir sampai begitu sekali (tiada pesaing setanding) cuma rezeki mungkin lebih memihak kepada saya.
‘‘Diharapkan anugerah ini memberikan saya semangat untuk bekerja keras pada musim baharu nanti dan cuba mengekalkan lagi gelaran ini jika boleh, " katanya.
Penyerang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Marlon Alex James muncul Pemain Import Terbaik 2014.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131201/su_01/Panggillah-saya-beraksi#ixzz2mAlnXy00 © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment