Ad

Saturday, 2 November 2013

Tok Gajah dapat suntikan ekstra

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Dollah (kiri) memantau latihan skuad Pahang di Kelana Jaya, semalam. Pahang akan menentang Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam ini. - MINGGUAN/FAUZI BAHARUDIN
KUALA LUMPUR - Sekali pun skuad Tok Gajah turun sebagai pasukan bukan pilihan pada malam ini, anak-anak buah Dollah Salleh diingatkan jangan sama sekali mengaku kalah sebelum berjuang.
Serapkan semangat perjuangan tahun 1983 yang telah membawa Pahang muncul juara buat kali pertama dalam sejarah kejohanan Piala Malaysia.
Itu pesanan orang lama Pahang, Datuk Jamal Nasir Ismail yang merupakan ketua pasukan pada tahun 1983 selain turut menjadi pengurus pasukan pada tahun 1992 yang menyaksikan Pahang muncul juara buat kali kedua.
Tambahnya, tiada apa yang mustahil bagi Pahang mencipta sejarah menjuarai Piala Malaysia walaupun kemungkinan Kelantan dijangka tidak berdepan sebarang masalah mempertahankan kejuaraan mereka sekali lagi pada malam ini di Stadium Shah Alam.
Berdasarkan pengalamannya yang mengetuai pasukan Pahang pada tahun 1983, tiada siapa yang memilih mereka untuk muncul juara ketika Selangor pada masa itu cukup digeruni berdasarkan reputasi gah mereka yang telah menang sebanyak dua kali berturut-turut pada tahun 1981 dan 1982.
Namun, tanpa diduga mereka mampu mengetepikan segala ramalan yang dibuat sebelum awal perlawanan dan berjaya mencipta sejarah memenangi Piala Malaysia setelah sembilan kali terkandas di saingan separuh akhir dan beliau yakin skuad bimbingan Dollah Salleh kali ini mampu mengulangi sejarah yang sama.
''Situasi yang Pahang lalui pada kali ini hampir sama seperti tahun 1983, di mana ramai tidak memperkatakan apa-apa mengenai pasukan Pahang dan lebih cenderung memilih Selangor untuk menang.
''Bayangkan Selangor pada masa itu dibarisi pemain-pemain seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Soh Chin Aun dan Datuk Santokh Singh serta ramai pemain kebangsaan lain, mereka dilihat cukup kuat dan tidak mungkin Pahang mampu menang.
''Walaupun begitu, kami membuktikan yang perkara itu tidak mustahil untuk dicapai biarpun tanpa pemain berstatus bintang apabila kami menundukkan mereka 3-2 pada masa tambahan," katanya yang ditemui Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Bukan mahu memandang rendah Kelantan tetapi Jamal menganggap Pahang pasti lebih bersemangat mahu menang kerana kali terakhir mereka beraksi di pentas akhir pada tahun 1997 sedangkan Kelantan baru sahaja memenangi Piala Malaysia pada tahun lalu.
''Dalam soal ini, saya dapat rasakan Pahang lebih berkeinginan mahu menang kerana jarak 21 tahun bukanlah satu tempoh yang sekejap dan mereka sudah pasti mahu menang.
''Sedangkan buat Kelantan, saya rasa mereka mungkin tidak terlalu teruja kerana telah menang dua kali dalam tempoh terdekat ini pada tahun 2010 dan 2012," katanya.


rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131103/su_02/Tok-Gajah-dapat-suntikan-ekstra#ixzz2jX6QeP2z
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment