Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
Kevin Ramalingam (kiri) bersama
Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa (tengah) ketika memperkenalkan barisan
pemain baharu The Red Warriors pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, kelmarin.
KOTA BHARU - Ketua Pegawai
Eksekutif The Red Warriors Sdn. Bhd, Kevin Ramalingam semalam menegaskan, pemain
pertahanan, Muhamad Nazri Ahmad yang dibawa masuk bagi memperkuatkan skuad
Kelantan musim depan sah milik The Red Warriors.
Bekas tonggak Johor Darul
Takzim (Johor DT) itu telah menandatangani kontrak bersama Kelantan untuk
tempoh tiga tahun bermula musim 2014 nanti.
Kevin berkata, pemain itu
memberitahu pihaknya bahawa kontrak bersama Johor DT sebelum ini sudah tamat
dan dia bebas untuk membuat pilihan.
"Nazri telah memberitahu
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dia tidak terikat dengan mana-mana
pasukan, jadi, kita telah mengemukakan tawaran kepada pemain tersebut dan dia
bersetuju dengan syarat-syarat yang terkandung dalam kontrak tersebut.
"KAFA berpegang kepada
kata-kata Nazri yang memberitahu dia tidak terikat dengan mana-mana pasukan,
jadi sebab itulah kita kemukakan tawaran.
"Jika Nazri telah
mempunyai kontrak dengan pasukan lain, KAFA sama sekali tidak akan mengemukakan
tawaran kepadanya kerana ia bercanggah dengan peraturan," katanya ketika
dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika
mengulas isu perpindahan Nazri yang menimbulkan persoalan apabila Persatuan
Bolasepak Selangor (FAS) mendakwa pemain itu sudah mengandatangi kontrak untuk
bersama Red Giants .
Tambahnya, Kelantan sebelum ini
pernah berdepan masalah yang sama apabila beberapa pemainnya berhijrah ke
pasukan lain biarpun pada asalnya telah menyatakan persetujuan dengan
menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU).
Utusan Malaysia kelmarin
melaporkan, Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad memberitahu, tindakan
pemain berkenaan jelas tidak profesional memandangkan Persatuan Bola Sepak
Negeri Johor (PBNJ) telah membayar pampasan kepada Nazri kerana kontraknya
hanya akan berakhir pada 30 November ini.
Kevin berkata, Nazri mengakui,
ada bertemu dengan pihak FAS namun dia tidak menandatangani kontrak untuk
beraksi bersama Selangor musim hadapan.
Katanya, pihaknya tidak
mempunyai niat untuk mengambil pemain pasukan lain jika mereka masih ada
kontark.
"Kita terkejut dengan
perkara ini, namun KAFA menyalahkan Nazri mungkin dia kurang arif. Saya
cadangkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya mewujudkan ejen
berdaftar dalam menguruskan hal berkaitan dengan perpindahan pemain.
"Langkah ini bagi
mengelakkan isu sebegini kembali berulang pada masa hadapan," ujarnya
lagi.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131128/su_02/Nazri-Ahmad-sah-milik-The-Red-Warriors#ixzz2ltILV900
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment