Ad

Wednesday, 27 November 2013

'Dia tidak akan terlepas'

 Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
BORANG Sijil Perpindahan Negeri yang telah ditandatangani oleh Muhamad Nazri Ahmad untuk membuktikan dia sudah bersetuju menyertai Selangor dari Johor Darul Takzim.
KUALA LUMPUR - Biar apa pun yang akan berlaku Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) akan meneruskan perjuangan untuk memberi pengajaran kepada pemain yang sesuka hati mempermainkan kontrak mereka, termasuk yang terbaru bekas pemain Johor Darul Takzim (Johor DT), Muhamad Nazri Ahmad.

Ini bermakna, FAS tidak bercadang untuk menyelesaikan masalah tersebut di luar FAM, sebaliknya akan membawanya ke muka pengadilan.

Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad berkata, mereka tidak mahu dilabel sebagai persatuan yang mudah tunduk mengalah selepas berlaku perkara yang sama ketika ingin membawa pulang Safee Sali.

Biarpun sudah memberi persetujuan lisan, Safee akhirnya memilih untuk kekal di pangkuan Johor DT.

"Saya ada bukti di tangan, yang mana kontrak perjanjian yang ditandatangani oleh pemain Nazri.

" Kita boleh tahu siapa yang tipu siapa. Saya tidak tahu jika ada sesetengah pihak mendakwa Nazri hanya bersetuju secara lisan untuk menyertai Selangor tetapi secara realitinya, dia telah mengikat kontrak dengan FAS," katanya.

Pemain pertahanan itu mencetus kontroversi apabila didakwa melanggar kontrak FAS sebagaimana dia telah menandatangani perjanjian dengan pasukan Selangor tetapi membuat 'pusingan U' menyertai Kelantan untuk Liga Super musim depan.

Semuanya terjawab sebaik pemain berusia 23 tahun itu berada dalam senarai pemain Kelantan bagi musim 2014 dalam majlis memperkenalkan Pasukan The Red Warriors, kelmarin.

"Kita tidak mahu lagi imej dan kredibiliti persatuan negeri ini tercalar sebagaimana FAS pernah berdepan situasi yang sama ketika cubaan mendapatkan khidmat Safee.

"Bezanya dengan kes Nazri, Safee sekadar bersetuju menerusi perjanjian lisan untuk menyertai Selangor dan kes itu selesai sejurus pihak Johor DT bersetuju membayar semula pampasan kepada FAS.

"Namun, untuk kes terbaru ini kami memiliki bukti iaitu perjanjian kontrak itu telah pun ditandatangani Nazri," katanya.

Mokhtar berkata, ia adalah satu perbuatan tidak bermoral apabila seorang pemain yang sudah menandatangani kontrak tetapi membuat pusingan U dengan menyertai pasukan lain.

"Saya menghormati pandangan (Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM) Datuk Takiyuddin Hassan yang memberi saranan supaya menyelesaikan kes ini dengan cara berhemah tetapi pemain seperti ini perlu diberi pengajaran agar tidak sesekali memandang ringan berhubung isu kontrak

"FAS tetap akan bawa kes ini ke FAM demi keadilan untuk pihak kami, saya menyeru FAM agar melaksanakan atau menggubal peraturan perpindahan lebih ketat bagi mengelakkan perkara ini tidak berulang pada masa akan datang.

"Kalau begini sikap pemain, mudah buat mana-mana pasukan beli pemain. Sikap inilah harus kita kikis dan saya berharap FAM dapat melakukan sesuatu untuk menghalang pemain-pemain yang telah menandatangani kontrak, berhijrah ke pasukan lain," katanya.

Takiyuddin sebelum ini mengesahkan mana-mana pemain yang didapati bersalah melanggar kontrak boleh menerima hukuman paling maksimum iaitu digantung perlawanan untuk satu musim musim.




Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131128/su_01/Dia-tidak-akan-terlepas#ixzz2ltGnoaKW 

No comments:

Post a Comment