Ad

Saturday 23 November 2013

Tidak boleh salahkan Rajagobal seratus peratus - Rahim

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
 
 RAHIM Abdullah (barisan depan, dua dari kiri) bersama skuad Malaysia menentang Maghribi di Jerman Barat. Skuad inilah yang layak ke Sukan Olimpik Munich 1972.
KUALA LUMPUR - Masalah ketumpulan penyudah dan ketandusan penyerang tempatan gara-gara kebanjiran pemain import Liga Malaysia, jelas terbukti dalam kekalahan 0-1 Malaysia pada Kelayakan Piala Asia 2015 kepada Bahrain dan Qatar, baru-baru ini.

Masalah itu cuba disuarakan Datuk K. Rajagobal selepas kalah persahabatan 1-4 kepada Arab Saudi, Mac lalu itu, namun hampir disalah tafsir Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai 'mengecam majikan' sebelum jurulatih negara itu dibebaskan daripada tuduhannya.

Isu limpahan penyerang import sejak bola sepak kita bertukar separuh profesional 1989, turut mendorong peletakan jawatan Rahim Abdullah sebagai jurulatih negara selepas Malaysia dikejutkan Filipina 1-0 dan kempunan sebarang pingat Sukan SEA Manila 1991.

"Kita tidak boleh salahkan jurulatih (Rajagobal) semata-mata (atas kekalahan berturut-turut dalam Kumpulan D kelayakan). Jika itu sahaja 'bahan' (penyerang tempatan) yang dia ada, inilah hasilnya yang kita peroleh.

"Saya pun pernah bentangkan laporan selepas pulang daripada Sukan SEA Manila 1991 tentang bagaimana pasukan negeri dalam liga kita gemar mengambil semua penyerang import sampai tidak mahu mengasuh penyerang tempatan dan mereka langsung tidak berpeluang bermain," kata Rahim, sayap kanan skuad Sukan Olimpik Munich 1972, kepada Utusan Malaysia, semalam.

Beliau mengulas kedudukan Rajagobal sebagai jurulatih selepas Harimau Malaya cuma tinggal 'nyawa-nyawa ikan' untuk ke pusingan akhir Piala Asia di Australia ekoran deretan kekalahan itu yang meletakkan mereka di tempat ketiga Kumpulan D.

Rahim turut pelik dengan corak permainan Safee Sali yang pernah gah bergelar jutawan di kelab Indonesia, Pelita Jaya tetapi disifatkan seperti budak yang baru bermain bola sepak ketika menentang Bahrain dan Qatar.

"Gayanya terdesak dan hanya merempuh untuk merampas bola. Pasukan kita pun tiada pemain tengah yang bijak membuka ruang atau menukar rentak permainan. Safiq Rahim? Kalau dengan harapkan sepakan bebas sahaja (jaringkan gol), tiada gunanya.

"Sepatutnya menentang Qatar (Selasa lalu), kita letakkan lima pemain tengah tetapi pemain kita pun tiada kaliber dan 'perit'. Percaturan taktikal kita silap apabila berdepan pasukan Arab yang mahir dan tinggi.

Norshahrul Idlan Talaha banyak bekerja keras untuk merampas bola dari bawah tetapi sampai bila dia hendak buat semua itu. Lama-lama dia pun pancit (hilang stamina)," katanya.

Tegas Rahim, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak juga tidak bersesuaian bermain sebagai bek tengah mahupun benteng terakhir Malaysia dengan rempuhan liar dan terlalu terdesak.

"Sepatutnya Mahalli Jasuli dan Amiridzwan Taj Tajudin berganding di situ. Kita perlukan benteng terakhir yang tenang dalam mengutip bola yang terlepas kepada lawan dalam kotak penalti," kata bekas pemain berjersi nombor 18 ini.

Mengenai kecenderungan FAM untuk mengambil jurulatih import sebagai pengganti Rajagobal malah memiliki reputasi tinggi melatih pasukan Piala Dunia, kata Rahim: "Ambillah Alex Ferguson sekalipun, sudah tidak boleh buat apa untuk lawan Yemen (5 Mac nanti).''

RAHIM Abdullah (barisan depan, dua dari kiri) bersama skuad Malaysia menentang Maghribi di Jerman Barat. Skuad inilah yang layak ke Sukan Olimpik Munich 1972.
RUJUKAN:Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131123/su_02/Tidak-boleh-salahkan-Rajagobal-seratus-peratus---Rahim#ixzz2lX9O2Lc4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment