Ad

Showing posts with label ARKIB LIGA MALASIA. Show all posts
Showing posts with label ARKIB LIGA MALASIA. Show all posts

Saturday, 2 April 2016

FAM panggil tiga pemain Selangor -- Gelagat Sanbagamaran, Amri dan Fairuz bertentangan tatasusila

ARKIB : 10/01/2006
Oleh AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR - Sesudah ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar digantung 12 bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tiga pemain `nakal' Selangor pula bakal menerima nasib yang sama.

Tiga pemain Selangor, K. Sanbagamaran, Mohd. Amri Yahyah dan Fairuz Montana Zainal Abidin Hassan akan dipanggil menghadap Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 16 Januari ini.

Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, FAM bukan tidak puas hati dengan keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang membuat kepu-tusan memberi amaran keras ke atas ketiga-tiga pemain tersebut.

Sebaliknya, menurut beliau, jawatankuasa memandang serius tingkah laku ketiga-tiga pemain itu yang bertengkar dengan penyokong Merah Kuning sewaktu pertemuan dengan Negeri Sembilan.

``Daripada apa yang jawatankuasa lihat, gelagat tiga pemain Selangor itu jelas bertentangan dengan tatasusila sebagai pemain bola sepak,'' ujarnya ketika dihubungi semalam.

Dalam insiden sewaktu Selangor tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 Disember lalu, Sanbagamaran, Mohd. Amri dan Fairuz Montana telah bertengkar dengan segelintir penyokong Merah Kuning dan hampir-hampir mencetuskan pergaduhan.

Dalam insiden tersebut, segelintir penyokong meluahkan kata-kata kesat ke arah pengurus, jurulatih dan pemain.

Malah, segelintir penyokong mencaci dan mencerca dengan kata-kata kesat ekoran kekalahan keempat pasukan itu.

Situasi panas yang diwujudkan oleh mereka itu menyebabkan Sanbagamaran hilang sabar dan melontar botol mineral ke arah penyokong tersebut.

Sementara itu, Mohd. Amri dan Fairuz Montana pula terus meluru ke pagar dan bertengkar dengan segelintir penyokong Selangor.

Terdahulu Jawatankuasa Tatatertib FAS membuat keputusan sekadar memberi amaran keras dengan alasan kesalahan yang dilakukan oleh tiga pemain itu adalah yang pertama.

Mengulas lanjut Ibrahim menegaskan, FAM akan meneliti laporan penuh daripada FAS dan pesuruhjaya perlawanan pada malam kejadian tersebut.

``Selain itu juga, FAM akan mendapatkan pita video yang merakamkan gelagat ketiga-tiga pemain selepas tamat perlawanan dengan Negeri Sembilan.

``Kesemua ini akan FAM teliti bagi mendapat gambaran sebenarnya insiden yang terjadi. Kita memandang serius kejadian membabitkan tingkah laku pemain di padang,'' katanya.

Beliau berkata, jika jawatankuasa Tatatertib berpuas hati tingkah laku tiga pemain Selangor itu melanggar tatasusila sebagai pemain bola sepak, mereka bakal berdepan hukuman berat.

``Hukuman itu akan ditentukan oleh Jawatankuasa Tatatertib,'' ujarnya.

Dalam pada itu beliau menambah, jawatankuasa itu akan turut membicarakan pengurus Perak, Datuk Jamal Nasir Rasdi yang tidak hadir pada sidang itu sebelum ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz44fetFJEf © Utusan Melayu (M) Bhd

Thursday, 17 March 2016

Dollah puas hati berkongsi mata

Dollah puas hati berkongsi mata

Oleh WAN FAKHRUL BAKAR

JIKA tidak kerana jaringan penyamaan Fabio Flor pada minit ke-90, Selangor sudah pasti berjaya mencalarkan rekod cemerlang Terengganu di gelanggang keramat mereka di Kuala Terengganu malam kelmarin.

 

Biarpun hanya membawa pulang satu mata, ketua jurulatih Selangor, Dollah Salleh (gambar) tetap gembira dan berpuas hati dengan persembahan anak buahnya pada perlawanan kesembilan saingan bola sepak Liga Super musim ini.

 

“Keputusan perlawanan saja sebenarnya yang tidak memihak kepada kita untuk mencuri tiga mata penuh. Kita sedia maklum, Terengganu memang kebal di gelanggang sendiri.

 

“Tetapi, saya tetap rasa gembira kerana semua pemain Selangor telah mempamerkan aksi yang menarik malam tadi (kelmarin),” katanya ketika dihubungi semalam.

 

Pada perlawanan itu, Selangor mendahului 1-0 seawal minit keenam menerusi tandukan Frank Seator tetapi pada penghujung perlawanan, Flor menanduk masuk gol penyamaan hasil sepakan penjuru.

 

“Sepatutnya Terengganu tak dapat sepakan penjuru itu. Apa yang saya nampak, bola terakhir sebelum itu terkena pemain Terengganu sendiri, bukannya pemain Selangor.

 

“Tetapi inilah bola sepak. Walaupun sekadar seri, saya puas kerana melihat pemain-pemain saya semakin mantap dan telah menunjukkan peningkatan pada setiap perlawanan,” jelas Dollah.

 

Pengendali berusia 45 tahun itu turut tertarik dengan aksi beberapa pemainnya seperti pemain muda, Asraruddin Putra Omar dan bekas pemain Pahang, Indra Putra Mahayuddin.

 

“Walaupun kali pertama diturunkan dalam kesebelasan utama, Asraruddin berjaya membalas kepercayaan. Saya tak menduga dia boleh beraksi cemerlang.

 

“Begitu juga Indra yang turut mempamerkan kecemerlangan pada perlawanan itu.”

sumbe-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0117&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz43B0HC4z6


Hakcipta terpelihara

Kelantan mahu pertahan rekod tanpa kalah

SELEPAS mengharungi lima perlawanan tanpa kalah, Kelantan kini semakin ghairah memburu kemenangan.

 

Mereka kini mencari kemenangan keempat selepas mencatat tiga kemenangan dan dua seri setakat ini.

 

Yang pasti, mereka mahu menjadikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai mangsa seterusnya pada aksi yang akan berlangsung di gelanggang sendiri, Jumaat ini.

 

Lebih menggembirakan, skuad Kijang itu juga menerima semula sentuhan bekas ayam tambatannya, Zairul Fitri Ishak yang beraksi cemerlang ketika Kelantan menewaskan Harimau Muda 2-1 di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

 

Bekas pemain Kedah itu dilihat sebagai pelengkap kepada pasukan Kelantan yang semakin mempamerkan prestasi cemerlang kebelakangan ini.

 

Pengurus pasukan, Ahmad Jazlan Yaakub berkata kepulangan pemain tersebut memberi suntikan semangat kepada skuad bimbingan bekas jurulatih kebangsaan, Norizan Bakar itu.

 

Katanya, Zairul Fitri telah mendapat pelepasan daripada Kedah dan telah mengikat kontrak selama setahun bersama pasukan Kelantan yang kini berada di tangga keempat liga dengan mengutip sebelas mata.

 

“Kita berjaya membawa pulang dua pemain daripada skuad Liga Super termasuk bekas penjaga gol Terengganu, Sarizan Ismail dan Zairul Fitri untuk memantapkan lagi cabaran Kelantan musim ini.

 

“Kehadiran mereka diharap mampu membantu pasukan ini yang rata-ratanya dibarisi pemain muda dan tidak berpengalaman,” katanya di Kota Bharu semalam.

 

Tambahnya, prestasi para pemain sangat memberangsangkan tetapi dia tetap menuntut anak buahnya untuk mempertahankan rentak konsisten itu.

 

“Pada perlawanan menentang Harimau Muda jentera serangan gagal beraksi cemerlang tetapi jentera tengah berfungsi dengan baik sehingga menjaringkan dua gol,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0116&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz43AokFSrs Hakcipta terpelihara

Azuan resah pemain lalai

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE

 

LAURENT (kanan) menjaringkan dua gol untuk pasukan Johor pada perlawanan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kelmarin.

APA sudah jadi dengan Johor?

Sudah selesa dengan tiga gol pada separuh masa pertama, tetapi terlalu mudah pula bolos dua gol pada aksi separuh masa kedua.

 

Itulah yang berlaku dengan skuad bimbingan Azuan Zain itu pada perlawanan Liga Perdana menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin.

 

Nasib baik menang 3-2 walaupun pada satu ketika meresahkan Azuan.

 

Sambil menyifatkan situasi itu tidak wajar berlaku, Azuan ternyata kecewa apabila anak buahnya dilihat mula hilang tumpuan setelah mendahului tiga gol.

 

“Seringkali saya ingatkan kepada pemain, permainan bola sepak ialah 90 minit, bukannya kurang daripada itu.

 

“Saya akan ‘bambu’ (tegur) mereka selepas ini bagi memastikan perkara ini tidak berulang pada perlawanan seterusnya,” katanya kepada KOSMO! semalam.

 

Pada perlawanan itu, dua gol Johor dijaringkan oleh tonggak importnya, Tumba Laurent dan satu menerusi Otelo Ocampos Espinola sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka di persada liga dengan 16 mata, selain masih kebal dengan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan.

 

Gol ATM pula dijaringkan menerusi Copral Preston dan Johari Ahmad.

 

Begitu pun, Azuan turut tidak menyembunyikan kegembiraannya terhadap prestasi pemain-pemain Jengking yang disifatkannya semakin matang pada setiap perlawanan.

 

“Kita sedar, semua pasukan terutamanya Kuala Muda Naza, KL Plus dan Kelantan pastinya mahu memintas kedudukan kami pada bila-bila masa.

 

“Oleh itu, saya menuntut semua pemain supaya dapat mempamerkan aksi terbaik serta meneruskan momentum kemenangan ketika bertemu Proton FC di gelanggang sendiri Jumaat ini,” ujarnya bersemangat.


sumberArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0116&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz43AkWfwj1 Hakcipta terpelihara

Amukan Johor FC

Oleh NASRI JAMALUDIN

 

PENYERANG Johor FC, Andres Gustavo (kanan) diasak oleh pemain pertahanan Sarawak, Shahrizam Mohd. pada perlawanan Liga Super di Stadium JCorp, Pasir Gudang malam tadi.

 

JOHOR FC mengamuk di Pasir Gudang.

Malam tadi Bujang Senang menjadi mangsa mereka apabila menang bergaya 3-1 pada perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium JCorp, Pasir Gudang.

 

Johor FC tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan apabila memperoleh gol pembukaan seawal minit keempat.

 

Penyerang import dari Argentina, Andres Fuentes Gustavo menyempurnakannya.

 

Begitupun, gol tersebut tidak melunturkan semangat pemain lawan dan mereka bangkit melancarkan serangan, tetapi mudah disekat pertahanan tuan rumah.

 

Ketika perlawanan sudah memasuki minit ke-32, Johor FC berpesta lagi.

 

Andres Fuentes sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring bagi membolehkan pasukannya mendahului Sarawak 2-0.

 

Pergerakan berpunca daripada sepakan Eddy Helmi Manan yang terkena pengadil dan Fuentes yang berada pada kedudukan terbaik, menyambar bola tersebut untuk tindakan penyudah yang gagal diselamatkan penjaga gol Sarawak, Mohd. Firdaus Ishak.

 

Pada minit-minit terakhir separuh masa pertama, keadaan berubah. Sarawak berjaya merapatkan jurang selepas memperoleh gol menerusi sepakan penalti oleh penyerang importnya, Nyom Nyom Aloys untuk menjadikan kedudukan 2-1.

 

Sarawak diberikan sepakan penalti selepas pertahanan Johor FC, Mohd. Nurul Azwan Roya tertampan bola dengan tangan ketika mahu menyelamatkan keadaan kucar-kacir di depan pintu gol mereka.

 

Pada separuh masa kedua, aksi semakin rancak apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

 

Namun, Johor FC dilihat lebih berbahaya apabila memperoleh dua peluang keemasan untuk menambah jaringan masing-masing pada minit ke-77 dan ke-78, tetapi tidak menemui sasaran.

 

Malam bergaya Johor FC itu hadir pada minit ke-88 apabila bola lorongan Andres Fuentes disempurnakan dengan kemas oleh Mohd. Ezaidy Mohd. Khadar bagi melengkap kemenangan 3-1.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0113&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz439uZNo6eHakcipta terpelihara