Ad

Monday, 12 July 2021

Dua beradik berusia lebih seabad terima vaksin

Oleh Hazira Ahmad Zaidi - Julai 12, 2021 @ 12:07pm

bhnews@bh.com.my



MACHANG: Hasrat dua beradik warga emas yang berusia lebih satu abad untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 tercapai apabila mereka menerima suntikan dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong, di sini, hari ini.

Munah Yunus, berusia 114 tahun dan adiknya Pah Yunus, berusia 111 tahun, dari Kampung Rengas, Labok, di sini, ditemani oleh anak mereka tiba di PPV sekitar jam 9.30 pagi.

Kedua-dua beradik itu syukur selepas nama mereka berdua terpilih pada hari yang sama untuk mendapatkan suntikan vaksin yang disediakan oleh kerajaan bagi melindungi diri dari wabak COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menurut Siti Mariam Taib, 64, ibunya, Munah begitu teruja mendapatkan suntikan vaksin kerana bimbang dengan keadaan COVID-19 pada ketika ini selain antara golongan warga emas yang berisiko.

"Pada masa sama, ibu juga bersemangat kerana dia dan adiknya sudah berjanji untuk menerima vaksin bersama-sama dan tidak menyangka hasrat mereka dipenuhi setelah dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Chondong.

"Ibu dan adiknya amat akrab sejak kecil memandangkan tidak mempunyai adik beradik yang lain. Alhamdulillah proses menerima suntikan vaksin ini berjalan lancar bermula dari pendaftaran sehinggalah petugas kesihatan datang ke kereta untuk memberi suntikan kepada mereka berdua yang sudah uzur," katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di PPV Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong. Hadir sama, ADUN Pulai Chondong, Azhar Salleh.

Siti Mariam berkata, sejak 10 tahun lalu ibunya hanya mampu mengengsot selepas terjatuh, namun tidak menghidap sebarang penyakit kronik kecuali sakit tua dan juga masalah pendengaran.

"Sejak dari usia muda, ibu sentiasa mengamalkan pemakanan sihat dan dalam masa sama kehidupan hariannya turut dihiasi dengan alunan zikir selain mengamalkan solat sunat tahjud di awal pagi.

"Saya bersyukur kerana ibu masih dikurniakan kesihatan yang baik dan dalam usianya yang sudah lebih satu abad mampu melihat 15 cucu serta 35 cicit membesar di depan mata," katanya.

Sementara itu, anak kepada Pah, Mohd Ramli Ismail, 63, berkata, ibunya sudah lama menunggu untuk mendapatkan suntikan vaksin dan lebih bersemangat apabila diberitahu kakaknya juga disuntik pada hari yang sama.

"Pagi tadi, dia bangun awal untuk bersiap dan menunggu kami menghantarnya ke PPV bagi menerima suntikan dan pada hari ini, ibu juga berpuasa kerana sudah menjadi amalannya sejak di usia muda untuk berpuasa sunat selain dari bulan Ramadan.

"Alhamdulillah, setelah hampir 10 minit dipantau oleh petugas kesihatan selepas disuntik, ibu tidak mengalami sebarang masalah dan dibenarkan pulang," katanya.

Sementara itu, Azhar berkata, pemberian vaksin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Chondong diadakan selama dua hari bermula hari ini dan juga esok dengan jumlah penerima seramai 640 orang.

"Pada hari ini, seramai 320 penerima suntikan terdiri daripada warga emas, imam dan petugas-petugas masjid serta guru Yayasan Islam Kelantan (YIK), manakala selebihnya akan menerima suntikan pada hari esok.

"Sehingga kini, sudah 25 peratus penduduk di Pulai Chondong mendapat suntikan vaksin dan pihaknya berharap dapat mempercepatkan proses vaksinasi kepada penduduk di sekitar DUN Pulai Chondong," katanya.1


Mourinho pilih Walker pemain Terbaik Euro

Agensi


Pertahanan England, Kyle Walker (kiri) berjaya menghalang pemain Itali pada aksi final Euro 2020. FOTO AFP

London: Jose Mourinho memilih menamakan Kyle Walker sebagai Pemain Terbaik Kejohanan Euro 2020 dalam senarainya.

Hero penentuan penalti Gianluigi Donnarumma memenangi anugerah khas Uefa terbabit selepas penjaga gol Itali itu beraksi cemerlang pada final menentang England.

Bercakap kepada talkSPORT Mourinho berkata: "Pemain pilihan saya pada kejohanan ini adalah Kyle Walker.

"Saya fikir Kyle Walker memberi impak besar. Dari awal hingga tamat perlawanan. Dia bertindak cemerlang di barisan pertahan dan kerap melakukan hantaran menarik.

Walker, 31, beraksi hampir keseluruhan permainan dalam enam daripada tujuh perlawanan England sepanjang kejohanan, dengan hanya disisihkan ketika pasukan itu terikat 0-0 berdepan Scotland.

Pada aksi final di Wembley, bintang Manchester City itu kemudiannya digantikan dengan Marcus Rashford pada penghujung masa tambahan menentang Itali, supaya penyerang Manchester United berkenaan dapat mengambil penalti.

Tetapi Mourinho tidak bersetuju dengan keputusan itu.

Tambah pengendali Roma itu: "Bagi Saka untuk menyerahkan nasib pasukan negaranya di bahunya agak keterlaluan.

"Banyak kali pemain bagus yang sepatutnya berada di sana mengelak daripada mengambil tanggungjawab itu.

"Dimana Sterling? John Stones? Shaw? Dan kenapa Walker dan Henderson tidak berada di atas padang? Kerana realiti agak sukar buat Rashford dan (Jadon) Sancho untuk masuk dan mengambil penalti semata-mata."

Lagi berita berkaitan Euro 2020

Disiarkan pada: Julai 12, 2021 @ 9:56pm.2

___________________________________________________

1https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/838527/dua-beradik-berusia-lebih-seabad-terima-vaksin

2https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/729850/mourinho-pilih-walker-pemain-terbaik-euro

No comments:

Post a Comment