LUCAS Paqueta (dua dari kanan) bersama rakan sepasukan ketika membantu Brazil menewaskan Peru di Stadium Nilton Santos, Rio de Janeiro hari ini. - AFP
Oleh Meja Sukan
6 Julai 2021, 11:27 am
RIO DE JANEIRO: Brazil semakin menghampiri kejuaraan Copa America ke-10 selepas melangkah ke perlawanan akhir dengan menyingkirkan Peru 1-0 dalam aksi sengit separuh akhir hari ini.
Turut selaku juara bertahan, anak-anak buah Tite memerlukan jaringan tunggal Lucas Paqueta pada minit ke-35 untuk melakar kemenangan ke atas lawan yang ditewaskan pada final 2019.
Brazil kini akan berdepan sama ada musuh tradisi, Argentina atau Colombia yang bakal berentap dalam satu lagi separuh akhir esok.
Kemenangan di Stadium Nilson Santos membolehkan Tite memahat sejarah dengan menyamai rekod Mario Zagallo sebagai Ketua Jurulatih Brazil yang kekal tanpa kalah dalam enam perlawanan Copa America.
Skuad Selecao melancarkan serangan bertali arus ke gawang lawan di awal permainan hingga memaksa penjaga gol Peru, Pedro Gallese bekerja keras menyelamatkan gawangnya.
REAKSI kecewa pemain Peru, Alexander Callens selepas pasukannya tewas kepada Brazil. – AFP
Peluang terbaik Brazil hadir pada minit kelapan selepas Paqueta melakukan hantaran cantik kepada Richarlison yang memperdayakan Gallese sebelum menghantar kepada Neymar, namun rembatan bintang Paris Saint-Germain (PSG) tersasar.
Lima minit kemudian gawang Peru nyaris dibolosi menerusi sepakan percuma Casemiro namun berjaya ditampan Gallese.
Gallese sekali lagi menyelamatkan pintu golnya selepas menampan rembatan jarak dekat Neymar dan Richarlison.
Pintu gol Peru akhirnya bocor juga 10 minit sebelum tamat babak pertama selepas Richarlison bijak menghantar bola kepada Neymar dalam kotak penalti yang kemudian memperdayakan tiga pertahanan Peru sebelum melorongkan kepada Paqueta.
Tidak seperti babak pertama, Peru lebih berbahaya pada babak kedua dengan La Blanquirroja menguji penjaga gol Ederson ketika sejam permainan dan percubaan jarak jauh Raziel Garcia turut mencemaskan tuan rumah.Brazil kini tidak tewas 13 perlawanan dalam semua kejohanan dan berada pada landasan terbaik untuk mempetahankan kejuaraan. – AGENSI.1
___________________________________________
1https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/2021/07/brazil-hampiri-kejuaraan-copa-america-ke-10/
No comments:
Post a Comment