Rizar Mohd Noor
rizar@mediaprima.com.my
ADAM Nor Azlin menghalang pemain Ratchaburi FC, Narakorn Noomchansakool pada aksi Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam tadi. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers.
Johor Bahru: Walaupun misi menamatkan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan kemenangan tidak tercapai namun pengendali Johor Darul Ta'zim, Benjamin Mora tetap memuji semangat juang tinggi pemain yang terpaksa mengharungi jadual padat.
Beliau berkata, keputusan seri 0-0 dengan Ratchaburi FC pada aksi di Stadium Rajamangala, Bangkok Thailand, malam tadi adalah adil tatkala kedua-dua pasukan mempamer aksi seimbang dan buntu mencipta jaringan sepanjang 90 minit perlawanan.
Katanya, JDT sememangnya mahukan kemenangan pada aksi terakhir tapi apakan daya selepas segala usaha dilakukan namun terpaksa menerima hakikat hanya keputusan seri yang mampu diraih dan meraih satu mata.
"Apapun kami sudah beri persembahan terbaik dalam perlawanan itu terutama dari aspek pembangunan apabila memberi pendedahan buat pemain muda seperti Ariff Aiman (Hanafi) dan Ramadhan Saifullah (Usman) beraksi menentang kelab terbaik Asia.
"Bagaimanapun, kami tidak boleh terlalu selesa kerana perlu memperbaiki keadaan kami sendiri dan memperbaiki corak permainan individu yang tampak belum mantap sepenuhnya malah ia bukan alasan sebaliknya ia sentiasa menjadi proses peningkatan.
"Tidak dinafikan corak permainan Ratchaburi FC kali ini berbeza selepas turun dengan membentuk lima pemain beraksi di posisi tengah pada tiga aksi lalu. Kami tahu mereka akan bermain cara begitu dan kami tampil dengan menguasai permainan tapi sukar untuk masuk ke kotak penalti kerana lawan bermain secara kompak," katanya.
Jelas Mora lagi, corak yang dipraktikkan skuad kendalian Sek-san Siripong menyukarkan barisan pemain JDT mencari ruang untuk melakukan percubaan yang boleh menjelmakan jaringan sebaliknya terpaksa bersilih ganti umpanan bola untuk memecahkan benteng lawan.
Ditanya mengenai perancangan seterusnya, pengendali kelahiran Mexico itu berkata, pemain akan menjalani proses pemulihan secukupnya sebaik pulang ke Johor Bahru dan akan kembali menjalani latihan bagi menyambung saingan Liga Super yang akan bermula 24 Julai ini.
"Liga Super akan kembali disambung dan persiapan akan diteruskan kerana ada misi yang kami mahu lakukan iaitu memburu kejuaraan liga buat kali kelapan berturut-turut namun sebelum memulakan latihan kami perlu dikuarantin sebaik tiba di Johor.
"Apapun, kami tetap bangga untuk beraksi di pentas ACL musim ini tatkala meraih pengalaman terbaik sepanjang saingan itu malah langkah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) melaksanakan `kuarantin buble' diatur begitu sistematik," kata Mora.
Disiarkan pada: Julai 8, 2021 @ 10:47am.1
__________________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/727909/saingan-acl-beri-pengalaman-berguna-mora
No comments:
Post a Comment