Ad

Monday 31 July 2017

Indra lega aksi menjadi

ARKIB : 27/08/2006

Ads by Kiosked
Indra lega aksi menjadi
SHAH ALAM – Pernah dilabelkan sebagai pemain kontroversi tetapi penyerang Pahang, Indra Putra Mahayuddin membuktikan dia masih mempunyai sentuhan jaringan yang digeruni.

Indra Putra sering kali mencetuskan kontroversi dalam skuad kebangsaan terutama musim lalu apabila enggan membarisi skuad negara yang sedang membuat persiapan untuk Piala Tiger di bawah jurulatih dari Hungary, Bertalan Bicskei.

Namanya sering disenaraikan oleh Bicskei tetapi kemudiannya disisihkan gara-gara kecederaan dan keengganan pemain itu menyarung jersi kebangsaan.

Apabila namanya disenaraikan semula oleh jurulatih Norizan Bakar ramai yang sangsi dengan kelibat pemain itu apabila turut gagal membantu Pahang layak ke Piala Malaysia.

Tetapi aksi Indra Putra pada pertemuan dengan Thailand di Pesta Bola Merdeka Ke-38 apabila skuad kebangsaan menang 2-1, membuktikan kewibawaan sebenar pemain berasal dari Perak itu.

Dua gol yang dijaringkan oleh pemain berusia 25 tahun pada minit ke-40 dan 77, membuktikan betapa Indra Putra masih mempunyai sentuhan jaringan.

‘‘Saya jaringkan dua gol ini juga hasil bantuan rakan-rakan tanpa sokongan daripada mereka tidak mungkin saya dapat menjaringkan gol.

‘‘Saya harap dua gol ini dapat menyemarakkan semangat pemain lain untuk menewaskan Myanmar pula ,’’ katanya
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4oTyvrieT

© Utusan Melayu (M) Bhd

Pelalau kunci nafsu

ARKIB : 27/08/2006
Bersama: DR.AMRAN KASIMIN
SOALAN: Banyak orang telah meminang saya. Rasanya lebih daripada lima orang, tetapi semuanya berakhir dengan kegagalan. Begitu juga hubungan saya dengan lelaki, mula-mula serius, tetapi akhirnya hilang begitu sahaja, sehinggalah sekarang ini saya berumur 29 tahun.

Adakah saya ini akan membujang hingga ke tua. Adakah ia berpunca daripada rupa atau tingkah laku saya. Saya seorang perempuan yang sederhana dan mempunyai rupa yang tidak kurang cantiknya, berbanding dengan teman-teman yang telah bersuami.

Adakah saya berkemungkinan kena sihir atau pelalau seperti yang difahami oleh sesetengah orang?

– INA AINA, Segamat

JAWAPAN: Dalam membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan jodoh, banyak perkara yang perlu dikaitkan. Ia berbeza menurut keadaan atau latar belakang individu yang terlibat. Punca ataupun sebab yang dimiliki oleh seseorang, tidak semestinya boleh diaplaikan kepada orang lain.

Kerana itu memang ada logiknya kalau masalah jodoh ini disandarkan kepada Tuhan, biarpun ia melibatkan sebab musabab latar belakang manusia itu sendiri, malah qadak dan qadar itu sebenarnya memang daripada Tuhan.

Orang yang tidak berkahwin, terutamanya golongan wanita tidak boleh dikaitkan dengan rupa paras yang kurang cantik, perwatakannya yang kasar, cacat dan sebagainya, biarpun tidak dapat dinafikan kecantikan, tingkah laku lemah lembut dan lain-lain sifat tertentu itu menjadi impian dan idaman kebanyakan orang.

Allah s.w.t. menjadikan setiap satu itu berpasangan. Itulah di antara tanda-tanda kebesaran-Nya. Orang lelaki yang cukup anggota tetapi memiliki isteri yang cacat mata, ataupun sebaliknya. Persoalan bagaimana pasangan yang tidak boleh melihat keindahan dunia itu boleh bertemu dengan pasangannya adalah di luar keupayaan manusia untuk menentukannya.

Manusia hanya berupaya merancang. Allah adalah penentu yang sebenar. Kerana itulah manusia perlu menyandarkan setiap sesuatu kepada Allah, setelah berusaha, bertawakal dan berdoa lalu akhirnya berpasrah dan menerima setiap qadak dan qadar itu dengan rela dan ikhlas hati. Sesungguhnya Allah itu mahukan setiap hamba itu menerima qadak dan qadar ketentuannya dengan penuh kerelaan.

Merujuk kepada soalan saudari, saya tidak tahu sama ada saudari masih belum menemui jodoh sehingga sekarang kerapa pelalau, atau kerana sebab-sebab lain seperti yang dijelaskan.

Ketentuan sebab yang saudari nyatakan, di luar keupayaan saya untuk menjelaskan, walaupun demikian keterangan berikut akan menjawab pertanyaan saudari.

Pelalau adalah satu istilah dalam ilmu kebatinan Melayu yang melibatkan sihir. Sihir tidak boleh berlaku kecuali dengan adanya penglibatan makhluk-makhluk halus yang terdiri daripada jin-jin.

Sihir jenis ini dilakukan oleh manusia dengan bantuan makhluk halus, di antaranya untuk mengunci nafsu manusia tidak kira lelaki ataupun perempuan, daripada keinginan untuk berkahwin.

Kesan daripada terkuncinya nafsu, tabiat orang yang terlibat mungkin akan berubah, menjadi pendiam, tidak aktif, dalam keadaan murung, menyendiri dan tidak kurang di antara mereka yang bertindak di luar kebiasaan, akibat daripada tekanan jiwa ataupun akibat sihir pelalau, atau kerana kedua-duanya.

Selain daripada pelalau kunci nafsu kahwin, sihir jenis ini juga boleh menyebabkan berlakunya halangan-halangan menyebabkan usaha untuk menemukan jodoh seseorang itu tidak kesampaian.

Seorang gadis yang terkena sihir jenis ini mungkin berminat hendak mengahwini seseorang jejaka, tetapi pasangannya mungkin akan menolaknya, begitulah sebaliknya.

Pasangan ini mungkin telah bertunang bertahun lamanya, tetapi pada saat menunggu hari berlangsung, pihak perempuan atau lelaki enggan berkahwin dengan tunangnya, tanpa sebab-sebab yang munasabah.

Halangan mungkin tercetus daripada sikap ibu bapa atau salah seorang daripadanya, yang selalunya berlaku pada ibu kepada perempuan berkenaan. Mungkin ibu tadi mengancam akan membunuh diri kalau anak perempuannya tetap berkahwin dengan pasangannya atau ia tidak akan mengaku anak buat selama-lamanya dunia dan akhirat.

Ahmad An-Nuhas at-Tumi, dalam bukunya bertajuk Syifau ‘r-Rahman li ‘s-Sihri wa ‘l-hasad wa amradi ‘l-Jann, muka surat 55-60 menyatakan yang dia telah didatangi oleh seorang bapa bersama seorang gadis, memberitahu yang dia adalah seorang pekerja mempunyai ijazah Alamiyah, tetapi dia sering tidak berupaya menahan marah.

Dia telah menemui banyak doktor jiwa, tetapi tidak berhasil mengatasi masalah yang dihadapi. Bapanya mengadu masalah anaknya yang tidak mahu berkahwin.

Syeikh Ahmad telah bertanyakan latar belakang si gadis dan mendapati adanya tanda-tanda gangguan, lalu ia membaca ayat-ayat al-Quran. Ketika sedang membaca, gadis tersebut kelihatan menggeletar, lalu menjerit dan tidak sedarkan diri. Dalam keadaan tidak sedarkan diri ini telah berlaku dialog di antara Syeikh dan jin yang ada dalam tubuh gadis, menyebabkan berlakunya rasukan.

*Pinangan

Ketika ditanya apakah punca menyebabkan si gadis menolak pinangan orang yang hendak mengahwininya, jin yang mengeluarkan suara melalui lidah gadis menyatakan bahawa dialah yang melakukannya kerana dia terlalu sayang kepadanya.

Ketika ditanya bagaimana hal ini boleh berlaku, jin itu menjelaskan bahawa apabila ada orang lelaki datang meminang dia (jin) tadi akan menjadikan wajah orang yang meminang itu begitu hodoh pada pandangan si perempuan, jadi timbulnya rasa benci yang bersangatan.

Setelah syeikh tadi membacakan ayat-ayat al-Quran yang terdiri daripada ‘ayat-ayat azab’ jin itu akhirnya keluar dengan izin Allah. Gadis tersebut sembuh dan akhirnya menemui jodohnya dengan izin Allah s.w.t.

Dalam buku yang sama, muka surat 57, Syeikh Ahmad menghuraikan pengalamannya ketika didatangi oleh seorang lelaki yang datang bersama anak perempuannya, yang dikatakan memang rajin membaca al-Quran, tetapi sejak dua minggu lalu, dia telah meninggalkan sembahyang dan cepat marah biarpun kerana perkara yang kecil.

Setelah merasakan perempuan berkenaan menghadapi masalah gangguan, syeikh mula membaca doa-doa yang terdiri daripada ayat-ayat al-Quran. Ketika sedang membaca, perempuan tadi kedengaran ketawa dan terus menerus ketawa berpanjangan, diikuti tangisan yang bersangatan.

Ketika ditanya, jin yang berada dalam diri perempuan tersebut selama sebulan tetapi tidak berjaya masuk dalam badannya kerana perempuan itu selalu berpuasa dan sembahyang. Tetapi sejak dua minggu lalu, iaitu selepas bulan Ramadan, perempuan berkenaan telah marah yang bersangatan membolehkan jin masuk dalam tubuh.

Setelah dirawat dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran, jin itu keluar dengan izin Allah. Perempuan tadi terjaga dan bertanya apa yang telah berlaku dalam dirinya.

Syeikh Ahmad, menyuruhnya agar sentiasa membaca al-Quran, zikir-zikir di waktu pagi dan petang. Kepada bapa gadis itu, Syeikh memberi nasihat agar tidak mempercayai kata-kata jin, yang masuk ke dalam tubuh anak gadisnya itu atas permintaan manusia.

Pada satu ketika lain Syeikh Ahmad telah didatangi oleh seorang perempuan muda yang menyandang jawatan tinggi, tetapi tidak mahu berkahwin. Ketika ditanya, kenapa tidak mahu berkahwin, dia menyatakan: Saya telah turun darah nazif sejak satu tahun, tidak mahu sembuh biarpun puas berubat. Saya merasa sesak dada setiap kali ada lelaki yang datang hendak meminang,’’.

Ketika dibacakan doa, seluruh jarinya kelihatan menggeletar menunjukkan adanya gangguan. Syeikh telah menyuruhnya membaca surah Yasin, as-Saffat, ad-Dikhan. Selepas seminggu, gadis tadi memberitahu yang darahnya telah berhenti setelah tiga hari dia membaca surah-surah berkenaan. Gadis ini akhirnya menemui jodohnya dengan izin Allah s.w.t.

Berdasarkan contoh-contoh yang saya jelaskan tadi, ternyata pelalau yang saudari tanyakan, yang menyebabkan seseorang itu sukar menemui jodoh ataupun tidak menemui jodoh memang sesuatu yang benar boleh berlaku.

Pelalau adalah salah satu cabang ilmu sihir. Sihir tidak berlaku kecuali dengan adanya penglibatan makhluk-makhluk halus yang terdiri daripada jin-jin, sama ada iblis atau syaitan.

Banyak tanda untuk membuktikan sama ada seseorang itu sukar menemui jodohnya kerana pelalau ataupun sebab yang berpunca daripada perlakuan orang yang terlibat, tanpa melibatkan pelalau.

*Pertolongan

Kaedah yang berkesan mengatasi masalah yang berkaitan pelalau ialah dengan meminta pertolongan daripada yang arif menggunakan ayat-ayat al-Quran, seperti yang dilakukan oleh Syeikh Ahmad. Kaedah lain dengan memperkuatkan roh iaitu bertakarub kepada Allah s.w.t.

Untuk keterangan mengenai kaedah-kaedah rawatan yang perlu dilakukan, saudari boleh merujuk buku bertajuk: Merawat diri akibat sihir dengan bermunajat, 1998. Percetakan Watan, Kuala Lumpur.

Tidak mudah untuk menentukan sama ada seseorang itu tidak berkahwin berpunca daripada faktor luaran diri sendiri atau kerana sihir (pelalau).

Di antara tanda-tanda seseorang itu kena sihir ialah adanya gangguan ketika hendak tidur. Bermimpi sesuatu yang mengerikan, seperti didatangi binatang buas, ditikam lembing, dilanggar kereta dan sebagainya.

Begitu juga dengan bermimpi melihat sesuatu yang menakutkan, seperti dikejar hantu, harimau, ular dan sebagainya. Jatuh dari tempat yang tinggi dan lain-lain lagi.

Tanda-tanda lain seperti mendengar suara yang ganjil di dalam rumah, di atas rumah atau paip dan suis lampu terbuka sendiri. Kadang-kadang dia mendengar suara memanggilnya, biarpun tidak ada manusia di sekelilingnya.

Tanda lain yang lumrah terjadi seperti berbau sesuatu yang luar biasa seperti bau wangi, padahal tidak ada minyak wangi tumpah, terbau busuk, bau darah, kemenyan, bau orang mati, nanah dan sebagainya. Bau-bau ini mungkin dihidu oleh diri mangsa sendiri atau seisi rumah.

Sering berlaku mangsa terlihat makhluk yang ganjil, dengan rupa yang menakutkan. Objek-objek seumpama ini selalunya sekelip mata sahaja. Ketika seorang diri di rumah terasa adanya makhluk di sebelahnya, meremang bulu roma, manakala telinga menjadi tebal pada waktu-waktu tertentu.

Apa yang berlaku pada mangsa pelalau, ialah hilang rasa untuk berkahwin atau untuk meneruskan hubungan dengan seseorang biarpun sebelum ini ia terlalu mengharap benar agar hubungan itu berakhir dengan perkahwinan.

- PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:

Dr. Amran Kasimin

Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab

Luar, 43000 Kajang, Selangor.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4oTsOzK3j

© Utusan Melayu (M) Bhd

Harimau Malaya temu Tottenham 27 Mei

Oleh Wan Fakhrul Bakar
wanfakhrul@bh.com.my
 
SKUAD Harimau Malaya akan berlepas ke Muscat untuk perlawanan persabahatan menetang Oman pada 26 Mac ini ketika di KLIA. - Foto Hasriyasyah Sabudin
SEPANG: Dengan hanya satu perlawanan persahabatan antarabangsa dapat diatur bertemu Oman, Khamis ini, skuad Harimau Malaya berpeluang menghadapi kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham pada aksi persahabatan di ibu negara, 27 Mei ini.

Ia juga sebagai persiapan terakhir menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2018 merangkap Kelayakan Piala Asia 2019 bermula 11 Jun ini.

Jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh berkata, kesuntukan masa untuk mengadakan lebih banyak aksi persahabatan antarabangsa tahun ini berikutan jadual padat Liga Malaysia menyebabkan dia akan menggunakan aksi bertemu Tottenham itu sebagai antara peluang terakhirnya menguji pemain.

"Setakat ini, tiada perlawanan antarabangsa lain dapat disahkan kecuali aksi bertemu Tottenham pada 27 Mei ini selain aksi bertemu Liverpool pada 24 Julai ini.

"Biarpun kita masih menggunakan nama Pilihan Malaysia untuk kedua-dua perlawanan dengan kelab Liga Perdana Inggeris ini, tapi saya akan mengekalkan 100 peratus pemain tempatan," kata Dollah ketika ditemui di KLIA, di sini, sebentar tadi.

Dollah dan 20 pemain Harimau Malaya berlepas ke Muscat, Oman untuk menghadapi aksi persahabatan menentang Oman yang kini berada di ranking ke-96 dunia berbanding Malaysia di ranking ke-153.

Undian untuk dua saingan kelayakan yang berlangsung secara serentak itu akan diadakan di Ibu Pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Bukit Jalil, 14 April ini dengan dua perlawanan awal peringkat kumpulan saingan kelayakan dijadual berlangsung 11 dan 16 Jun ini.

SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin, 23 March 2015 | 3:23pm

Sunday 30 July 2017

Roslin, Sairol mara

ARKIB : 25/08/2006
KUALA LUMPUR – Bekas pemain nombor satu dunia, Mohd. Roslin Hashim dan Sairol Amar Ayob meneruskan kempen cemerlang pada kejohanan badminton Terbuka Korea apabila mara ke suku akhir.

Roslin layak selepas mengenepikan pemain tuan rumah, Park Sung Hwan.

Roslin kalah set pertama 16-21 kepada Sung Hwan sebelum bangkit dengan kemenangan 21-14, 21-18 semalam.

Pada suku akhir hari ini, dia akan bertemu bekas juara remaja dunia, Chen Yu dari China yang menundukkan jaguh Indonesia, Simon Santoso 21-9, 21-9.

Sairol pula menundukkan Kennevic Asuncion dari Filipina 21-17, 21-19 dan akan bertemu Lee Hyun Il yang mengejutkan juara Olimpik dan dunia, Taufik Hidayat dari Indonesia 19-21, 23-21, 21-16.

Wong Mew Choo turut ke suku akhir perseorangan wanita selepas menundukkan Salakit Ponsana dari Thailand 19-21, 21-19, 21-8.



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0825&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4oIRLdbLV

© Utusan Melayu (M) Bhd

Saturday 29 July 2017

Misi bangkit jumpa Thailand

ARKIB : 25/08/2006

Ads by Kiosked
Misi bangkit jumpa Thailand
Oleh: AMRAN MULUP

PEMAIN Malaysia, Hardi Jaafar (tengah) dijatuhkan oleh ketua pasukan Indonesia, Ponaryo Astaman (kiri) pada perlawanan Pesta Bola Merdeka di Stadium Shah Alam, kelmarin. Indonesia dan Malaysia seri 1-1. – Gambar RUSHDI SALLEH.

KUALA LUMPUR – Ketumpulan jentera serangan hingga mengharapkan jaringan sendiri pemain pertahanan Muhammad Ridwan membolehkan Malaysia seri 1-1 dengan Indonesia pada perlawanan pertama Pesta Bola Merdeka Ke-38 kelmarin, jelas belum meresahkan jurulatihnya, Norizan Bakar.

Biarpun mengakui barisan awal kesebelasan utama yang diturunkan agak gemuruh tetapi jurulatih itu mempunyai keyakinan anak didiknya bakal bangkit pada pertemuan dengan Thailand malam ini.

Menurut Norizan, kesebelasan utama yang bermain pada babak pertama tampak gementar tetapi setelah beberapa pertukaran di babak kedua menyaksikan kebangkitan lewat permainan tetapi tidak mampu mencipta jaringan.

‘‘Saya lihat ada beberapa pemain gagal bermain baik dan setelah beberapa pertukaran dilakukan barulah nampak pemain kita kembali bersaing dengan Indonesia.

‘‘Biarpun bangkit hanya dilewat permainan tetapi saya puas hati dengan komitmen dan kesungguhan yang diberikan oleh pemain,’’ ujarnya semalam.

Kelemahan jentera serangan dan bahagian tengah yang tidak banyak merancang gerakan menyaksikan penguasaan penuh Indonesia sepanjang 70 mini babak berlangsung.

Hanya setelah kemasukan K. Nanthakumar, Saramsak Kram dan Mohd. Eddy Helmi Manan melihat jentera serangan dan bahagian tengah tampak bertenaga mencemaskan pintu gol Indonesia.

Berpunca daripada lorongan cantik dari sebelah kanan Mohd. Eddy Helmi, pemain pertahanan Indonesia, Muhammad Ridwan yang dicabar oleh Indra Putra tertanduk bola masuk ke pintu gol sendiri pada minit ke-77.

Gol tersebut terus memadamkan kelebihan milik Indonesia yang membuka jaringan pertama menerusi penyerang import Selangor, Bambang Pamungkas pada minit ke-15.

Norizan berkata, ekoran daripada beberapa pertukaran tersebut, beliau sudah mendapat gambaran barisan utama yang akan diturunkan menentang Thailand.

‘‘Kali ini corak persembahan pemain akan bertambah mantap dan segala kelemahan yang ada akan dapat diatasi.

‘‘Inilah peluang terbaik untuk pemain kebangsaan untuk menewaskan Thailand malam esok (malam ini),’’ ujarnya.

Kali terakhir skuad kebangsaan menewaskan Thailand pada pusingan awal Piala Tiger tahun lalu apabila skuad bimbingan Bertalan Bicskei ketika itu menang 2-1.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0825&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4oHuikTt5

© Utusan Melayu (M) Bhd

Nabi Hud mengajak kaumnya beriman kepada Allah

ARKIB : 25/08/2006

Ads by Kiosked
Nabi Hud mengajak kaumnya beriman kepada Allah
Kisah Al-Quran (Siri 4)

DAN kepada kaum ‘Ad, Kami utuskan saudara mereka, Nabi Hud. Dia berkata: “Wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada tuhan bagi kamu selain dari-Nya. Kamu hanyalah orang-orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta (terhadap Allah). (Hud: 50)

NABI Hud dilahirkan dalam kalangan kaum ‘Ad. Kebiasaan kaum ‘Ad adalah menyembah berhala. Nabi Hud diutuskan oleh Allah untuk mengembalikan kaumnya daripada kesesatan dan syirik kepada menyembah Allah.

Baginda mengajak mereka kembali kepada ajaran yang benar dan tidak menyekutukan Allah dalam apa bentuk sekalipun. Baginda menerangkan tentang kewujudan Allah s.w.t. dengan sebaik-baiknya kepada mereka. Perbandingan-perbandingan yang telah dibuat bagi menyedarkan kaumnya yang berada dalam kegelapan yang berpanjangan.

Banyak patung berhala dibuat oleh kaum ‘Ad dan mereka menyembahnya. Baginda menerangkan bahawa patung-patung itu adalah khayalan dan rekaan mereka semata-mata. Patung-patung itu tidak mampu memberikan faedah sedikitpun kepada mereka. Perbuatan mereka itu hanyalah sia-sia sahaja.

“Wahai kaumku, marilah menyembah Allah. Hanya Allah yang berhak disembah. Dialah yang menjadikan kita semua. Patung-patung itu tidak berhak disembah. Kamu semua yang membuat patung-patung itu. Benda yang kita buat tidak patut disembah. Perbuatan kamu itu adalah sia-sia sahaja,” Nabi Hud berkata kepada kaumnya.

Baginda menerangkan bahawa kedatangannya adalah untuk menyampaikan ajaran yang benar dan suci kepada mereka. Ajaran-ajaran yang disampaikan itu bukanlah rekaannya. ia juga bukan kehendak hatinya. Baginda tidak menerima sebarang upah untuk menyampaikan dakwah kepada kaumnya.

Nabi Hud mengajak kaumnya berfikir tentang segala kejadian, rezeki dan pelindungan yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada mereka di muka bumi ini. Keadaan tanaman dan ladang akan bertambah subur serta makmur sekiranya mereka sujud bersyukur kepada Allah s.w.t.

Allah s.w.t. berjanji akan memberi rezeki dan kesenangan yang melimpah-ruah bagi makhluk yang sujud dan patuh kepada suruhan-Nya. Walaupun sukar untuk menarik perhatian kaumnya supaya meninggalkan amalan penyembahan berhala, namun Nabi Hud tidak pernah berputus asa.

Informasi

Kaum ‘Ad hidup di lembah Ahqaf yang terkenal dengan kesuburannya. Lembah ini terletak di antara negara Yaman dan Oman sekarang.

Pengajaran

*Amalan menyembah berhala adalah perbuatan syirik

*Rezeki akan berlipat ganda sekiranya kita tunduk dan patuh kepada suruhan Allah

Perbendaharaan kata

*Syirik : perbuatan menyekutukan (menduakan Allah)

*Khayalan : gambaran sesuatu dalam fikiran

*Sujud : Berlutut sambil meletakkan dahi ke lantai

*Rezeki : Segala sesuatu yang dikurniakan oleh Allah untuk keperluan rohani dan jasmani
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0825&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_06.htm#ixzz4oHqDLe98
© Utusan Melayu (M) Bhd

PERSATUAN TINGKATAN 6 SMK JENGKA 2 TAHUN 1992

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
      Persatuan Tingkatan 6 Sekolah Menengah Jengka 2 tahun Sesi 1991/1992 mempunyai 76 orang ahli yang terdiri dapada pelajar tingkata 6AC, 6AD, 6RC dan 6RD.Persatuan Tingkatan 6 sesi 1991/1992 dipengerusikan oleh Samsul Mat Jidan.[1]



[1]Majalah Jaya,57

Chong Wei tewas di tangan Roslin

ARKIB : 24/08/2006
KOREA SELATAN – Harapan Lee Chong Wei untuk merampas ranking nombor satu dunia sebelum Kejohanan Dunia bermula bulan depan semakin tipis apabila dia kalah kepada rakan senegara, Mohd. Roslin Hashim pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Korea, semalam.

Ini merupakan kejutan terbesar pada kejohanan bertaraf enam bintang bernilai AS$300,000 (RM1.1 juta) itu.

Pemain nombor dua dunia, Chong Wei yang merupakan pilihan pertama kejohanan kelihatan berada pada jalur yang betul apabila menang 21-16 pada set pertama tetapi, bekas pemain nombor satu dunia, Mohd. Roslin bangkit pada set berikutnya untuk menang 21-14 sebelum menang 21-18 pada rubber set.

Pemain bukan pilihan, Mohd. Roslin akan bertemu jaguh tuan rumah, Park Sung Hwan yang merupakan pilihan bersama 9/16 pada pusingan ketiga hari ini.

Mohd. Roslin kini menjadi pemain perseorangan tunggal negara yang mara ke pusingan ketiga apabila Yeoh Kay Bin kalah 21-19, 16-21, 21-17 kepada pemain Thailand, Boonsak Ponsana dan James Chua kalah 21-17, 21-11 kepada pemain Korea, Hwang Jung Woon.

Pemain perseorangan wanita negara Julia Wong pula mengambil masa hampir sejam untuk mengalahkan jaguh Hong Kong, Yip Pui Yin 20-22, 21-15, 21-19.

Menanti Julia hari ini ialah pilihan pertama, Hu Huaiwen dari Jerman yang mengalahkan Lee Yun Hwa dari Korea 21-23, 21-19, 21 17.

Malaysia juga mempunyai satu wakil ke pusingan ketiga beregu lelaki menerusi Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari-Lin Woon Fui yang menang 21-10, 21-11 ke atas pasangan Amerika Syarikat, Eric Go-Khan Bob Malaythong.

Pilihan ketiga itu akan bertemu pasangan yang meneruskan kemaraan dari pusingan kelayakan Yoo Yeon Seong-Jeon Jun Bum dari Korea selepas menundukkan Albert Susanto-Yohan Hadikusumo dari Hong Kong 21-13, 21-12.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4oGbQOGqV

© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia cemas


 

ARKIB : 24/08/2006
Malaysia cemas
INDRA Putra Mahayuddin (kanan) cuba melepasi pemain Indonesia, Muhammad Ridwan dalam saingan pusingan awal Pesta Bola Merdeka di Stadium Shah Alam, semalam. – Gambar ASWAD YAHYA.

SHAH ALAM – Maruah skuad bola sepak kebangsaan hampir tercalar tetapi diselamatkan oleh jaringan sendiri pemain pertahanan lawan, Muhammad Ridwan buat memastikan Malaysia mencatat keputusan seri 1-1 bertemu Indonesia pada perlawanan pertama Kejohanan Pesta Bola Merdeka Ke-38 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan seakan memihak kepada Indonesia yang membuka tirai jaringan pertama selepas 15 minit babak berlangsung menerusi pemain import Selangor, Bambang Pamungkas untuk mendahului 1-0 pada satu ketika.

Namun, 13 minit sebelum perlawanan hendak ditamatkan hasil serangan pantas anak didik Norizan Bakar, V. Thirumurugan membuat lorongan cantik di depan pintu gol Indonesia tetapi pemain pertahanan lawan Ridwan tertanduk ke gawang sendiri.

Gol penyamaan tersebut cukup melegakan buat skuad kebangsaan yang bermain terumbang-ambing sepanjang 70 minit babak berlangsung sambil melihat Indonesia jelas menguasai pentas saingan.

Kebangkitan skuad kebangsaan dalam tempoh 13 minit perlawanan itu hendak berakhir nyata tidak membuahkan hasil.

Indonesia membuka tirai jaringan hasil sepakan cantik penyerang import Selangor, Bambang Pamungkas pada minit ke-15.

Bambang mengelecek seorang pemain pertahanan skuad kebangsaan di luar kotak penalti sambil memusingkan badan dia melepaskan rembatan kaki kanan menewaskan penjaga gol, Muhammad Syamsuri Mustafa.

Tersentak dengan gol awal itu skuad kebangsaan cuba menggandakan asakan tetapi gandingan serangan menerusi Indra Putra Mahayuddin dan Rudie Ramli seringkali berada pada posisi ofsaid.

Peluang terbaik untuk menyamakan kedudukanhadir pada minit ke-37 tetapi dihampakan oleh tandukan kencang Indra Putra yang ditepis keluar oleh penjaga gol Indonesia, Yandi Christian Pitoy.

Aksi pada babak kedua tidak banyak merubah kesebelasan utama yang diilhamkan oleh jurulatih Norizan Bakar malah tidak berupaya mengimbangi permainan kemas Indonesia.

Gandingan Indra Putra dan Rudie masih tumpul untuk menembusi benteng ampuh lawan dibarisi oleh Erol Iba, Bayu Sutha, Ricardo Salampessy dan Muhamad Ridwan.

Situasi sukar itu memaksa Norizan membawa masuk Mohd. Eddy Helmi Manan dan mengeluarkan Mohd. Fadzli Saari dalam usaha mengukuhkan bahagian tengah yang tampak kaku sepanjang 50 minit babak berlangsung.

Pada minit ke-61 pintu gol nyaris dibolosi akibat salah faham dua pertahanan kebangsaan Norhafiz Misbah dan V. Thirumurugan cuba mengeluarkan bola di depan pintu gol tersepak ke arah Bambang yang gopoh menyepak keluar.

Gol penyamaan yang dicari Malaysia menjadi realiti pada minit ke-77 apabila pemain pertahanan Indonesia, Muhammad Ridwan menanduk ke gawang sendiri bola lorongan Thirumurugan.

Terdahulu, Thailand yang menjadi pasukan pilihan melalui langkah sukar apabila terikat 2-2 dalam perlawanan pembukaan pada sebelah petang.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4oGa3S9So

© Utusan Melayu (M) Bhd

Terbuka Korea: Chong Wei mara, Beng Hong kecundang

ARKIB : 23/08/2006
KUALA LUMPUR – Kuan Beng Hong menerima tamparan hebat dalam persiapan menghadapi Kejohanan Dunia bulan depan apabila muncul antara tiga perseorangan lelaki negara yang tersingkir dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Korea, semalam.

Pemain nombor dua dunia, Lee Chong Wei bagaimanapun mengetuai kemaraan tujuh lagi perseorangan lelaki Malaysia, dan menempah pertemuan dengan rakan senegara, Mohd. Roslin Hashim pada pusingan kedua, hari ini.

Beng Hong, yang bakal membuat penampilan sulung pada Kejohanan Dunia di Madrid, 18-24 September ini tunduk 21-13, 19-21, 13-21 kepada pemain England, Andrew Smith.

Turut tersingkir seawal pusingan pertama pada kejohanan enam bintang bernilai itu AS$300,000 (RM1.1 juta) itu adalah Pei Wei Chung, yang kalah 8-21, 10-21 kepada P. Kashyap dari India, manakala K. Yogendran tumpas 13-21, 9-21 di tangan pemain Korea, Park Sung Hwan.

Chong Wei pula menepati statusnya sebagai pilihan pertama selepas menyingkirkan Petr Koukal dari Republik Czech 21-11, 21-12, sementara Roslin menang mudah 21-7, 21-8 ke atas Kim Dong Hun dari Korea.

Cabaran Malaysia turut diteruskan oleh juara Seluruh England 2003, Muhd. Hafiz Hashim, Yeoh Kay Bin, James Chua, Lee Tsuen Seng dan Sairol Amar Ayob.

Hafiz, pilihan kelima menumpaskan Nicholas Kidd dari England 21-19, 21-7 untuk bertemu pemain Thailand, Poompat Sapkulchananart, yang sebelum itu menewaskan Ajay Jayaram dari India 21-14, 21-14.

Kay Bin pula bakal berdepan pemain nombor satu Thailand, Boonsak Ponsana selepas mengalahkan Magnus Sahlberg dari Sweden 21-14, 21-8.

Sairol dan Tsuen Seng akan bertemu sesama sendiri pada pusingan kedua hari ini. Sairol mara selepas mengalahkan Przemyslaw Wacha dari Poland 23-21, 21-15, manakala Tsuen Seng menumpaskan pemain Jepun, Yousuke Hakanishi 21-12, 16-21, 21-12.

Sementara itu, juara kebangsaan, Julia Wong meneruskan cabaran perseorangan wanita selepas menumpaskan Petya Nedelcheva dari Bulgaria 21-19, 21-18 untuk bertemu Yip Pui Yin dari Hong Kong.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0823&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4oGYQC4pJ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Pesta bola buka peluang skuad negara nafi kritikan

ARKIB : 23/08/2006
SHAH ALAM – Kejohanan Pesta Bola Merdeka ke-38 bermula di Stadium Shah Alam malam ini menjadi pentas terbaik buat skuad kebangsaan untuk menafikan segala kritikan dan cemuhan yang dilemparkan ekoran kedudukan memalukan berada pada tangga ke-146.

Lemparan kritikan serta cemuhan berterusan melanda skuad kebangsaan cukup memeritkan untuk diterima oleh pemain dan jurulatih, Norizan Bakar tetapi mereka tetap mengambil sikap positif.

Skuad yang menjadi pertaruhan utama Norizan jelas berazam tinggi ingin menunjukkan sesuatu yang dapat menafikan segala cemuhan yang dilemparkan.

Namun, penampilan kali ini, pemain jelas bersemangat untuk menampilkan sesuatu yang menarik bagi memartabatkan semula maruah bola sepak.

Malah, kesebelasan utama anak didik Norizan yang akan menggalas tugas pertama bertemu Indonesia malam ini, bertekad mempamerkan corak persembahan paling mantap untuk meraih kemenangan bergaya.

‘‘Sebagai pemain mereka amat prihatin dengan semua kritikan serta cemuhan yang dilemparkan dan inilah masanya pemain ingin menunjukkan sesuatu kepada peminat bola sepak.

‘‘Yang pasti pemain mahu menang dalam setiap perlawanan termasuk dalam perlawanan pertama menentang Indonesia, malam esok (malam ini).

‘‘Apa yang ingin pemain buktikan di Pesta Bola Merdeka selain memenangi semua perlawanan dan berazam muncul juara, yang lebih penting adalah untuk membuktikan sebahagian kritikan yang dilemparkan adalah tidak betul,’’ ujarnya pada sidang akhbar semalam.

Menurut beliau, penampilan skuad kebangsaan kali ini jelas berbeza dari segi semangat dan keyakinan setiap pemain.

Ujarnya, kesemua pemain jelas bersemangat dan berkeyakinan tinggi untuk menewaskan Indonesia dalam perlawanan pertama.

Walaupun pada empat perlawanan yang dilalui oleh skuad kebangsaan apabila tewas 1-0 dan 2-1 kepada New Zealand serta Singapura, Norizan melihat skuad ini jauh berbeza berbanding sebelumnya.

Buat Norizan kejohanan ini menjadi pentas utama melahirkan skuad kebangsaan paling ampuh dengan dua misi utama menghadapi Sukan Asia di Doha pada Disember dan Piala Asia tahun depan.

‘‘Saya yakin dengan keupayaan pemain yang saya pilih menggandingkan pemain lama dan muda bawah 23 dapat membentuk sebuah pasukan yang mantap,’’ ujarnya.

Jurulatih itu masih percaya kelibat pemain senior seperti Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Khaironnisam Sahabuddin Hussain, K. Nanthakumar, Norhafiz Zamani Misbah dan Mohd. Fadzli Saari mampu menjanjikan kejayaan bermakna.

Sementara itu, ketua pasukan, Mohd. Khaironnisam memberi jaminan rakan sepasukan mampu merealitikan hajat untuk menjuarai kejohanan ini.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0823&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4oGWb6mQt

© Utusan Melayu (M) Bhd