Ad

Monday 3 July 2017

Mengharap magis Misbun

Wartawan Sinar Harian
3 Julai 2017
Mengharap magis Misbun
Mengharap magis Misbun      
Misbun individu yang membantu Chong Wei menjadi jaguh badminton.

HARI INI Datuk Misbun Sidek akan memulakan sesi latihan pertamanya selepas dilantik ketua jurulatih perseorangan lelaki oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), awal bulan lalu.

Selepas enam tahun meninggalkan badan induk itu, Misbun akhirnya kembali menggalas tugas yang sudah lama ditinggalkannya itu.

Beliau meletak jawatan sebagai jurulatih perseorangan negara pada penghujung 2010 dan menolak tawaran BAM untuk dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan tiga tahun kemudian pada 2013 atas ‘sebab peribadi’.

Namun kini, beliau kembali dengan misi pertamanya dilihat cukup getir apabila perlu mempersiapkan Datuk Lee Chong Wei menjelang Kejohanan Dunia di Glasgow, Ogos depan.

Misbun merupakan individu yang bertanggungjawab mengembangkan bakat Chong Wei hingga muncul sebagai pemain perseorangan lelaki pertama memenangi kesemua gelaran Siri Super dan meraih gelaran berprestij termasuk dua pingat perak Sukan Olimpik dan tiga kejuaraan Seluruh England.

Namun, yang pasti kehadiran Misbun bukan sekadar tertumpu kepada Chong Wei, sebaliknya bakal memberi manfaat besar kepada barisan pemain perseorangan lelaki negara yang lain.

Harapan yang diberikan oleh rakyat Malaysia cukup tinggi untuk melihat mutu pemain badminton kebangsaan ditingkatkan dan kejuaraan di peringkat antarabangsa dapat digandakan.

Kita mempunyai ramai pemain tetapi hakikatnya belum ada yang benar-benar konsisten untuk melakar kejayaan di pentas antarabangsa seperti mana Chong Wei.

Mungkin, dengan kehadiran Misbun, situasi ini boleh berubah. Jadi, masa inilah pemain ambil kesempatan untuk belajar ilmu daripada beliau.

Percayalah, Misbun tidak pernah lokek dengan ilmu dan beliau sentiasa mahu berkongsi dengan apa yang dimilikinya.

Namun, bersediakah barisan pemain ini mengikuti rejim latihan dan falsafah Misbun?
SUMBERSINAR HARIAN ONLINE 3 Julai 2017

No comments:

Post a Comment