ARKIB : 23/08/2006
SHAH ALAM Kejohanan Pesta Bola Merdeka ke-38 bermula di Stadium Shah Alam malam ini menjadi pentas terbaik buat skuad kebangsaan untuk menafikan segala kritikan dan cemuhan yang dilemparkan ekoran kedudukan memalukan berada pada tangga ke-146.
Lemparan kritikan serta cemuhan berterusan melanda skuad kebangsaan cukup memeritkan untuk diterima oleh pemain dan jurulatih, Norizan Bakar tetapi mereka tetap mengambil sikap positif.
Skuad yang menjadi pertaruhan utama Norizan jelas berazam tinggi ingin menunjukkan sesuatu yang dapat menafikan segala cemuhan yang dilemparkan.
Namun, penampilan kali ini, pemain jelas bersemangat untuk menampilkan sesuatu yang menarik bagi memartabatkan semula maruah bola sepak.
Malah, kesebelasan utama anak didik Norizan yang akan menggalas tugas pertama bertemu Indonesia malam ini, bertekad mempamerkan corak persembahan paling mantap untuk meraih kemenangan bergaya.
Sebagai pemain mereka amat prihatin dengan semua kritikan serta cemuhan yang dilemparkan dan inilah masanya pemain ingin menunjukkan sesuatu kepada peminat bola sepak.
Yang pasti pemain mahu menang dalam setiap perlawanan termasuk dalam perlawanan pertama menentang Indonesia, malam esok (malam ini).
Apa yang ingin pemain buktikan di Pesta Bola Merdeka selain memenangi semua perlawanan dan berazam muncul juara, yang lebih penting adalah untuk membuktikan sebahagian kritikan yang dilemparkan adalah tidak betul, ujarnya pada sidang akhbar semalam.
Menurut beliau, penampilan skuad kebangsaan kali ini jelas berbeza dari segi semangat dan keyakinan setiap pemain.
Ujarnya, kesemua pemain jelas bersemangat dan berkeyakinan tinggi untuk menewaskan Indonesia dalam perlawanan pertama.
Walaupun pada empat perlawanan yang dilalui oleh skuad kebangsaan apabila tewas 1-0 dan 2-1 kepada New Zealand serta Singapura, Norizan melihat skuad ini jauh berbeza berbanding sebelumnya.
Buat Norizan kejohanan ini menjadi pentas utama melahirkan skuad kebangsaan paling ampuh dengan dua misi utama menghadapi Sukan Asia di Doha pada Disember dan Piala Asia tahun depan.
Saya yakin dengan keupayaan pemain yang saya pilih menggandingkan pemain lama dan muda bawah 23 dapat membentuk sebuah pasukan yang mantap, ujarnya.
Jurulatih itu masih percaya kelibat pemain senior seperti Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Khaironnisam Sahabuddin Hussain, K. Nanthakumar, Norhafiz Zamani Misbah dan Mohd. Fadzli Saari mampu menjanjikan kejayaan bermakna.
Sementara itu, ketua pasukan, Mohd. Khaironnisam memberi jaminan rakan sepasukan mampu merealitikan hajat untuk menjuarai kejohanan ini.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0823&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4oGWb6mQt
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment