BERNAMA
KETUA jurulatih Felda United, B
Sathianathan memuji aksi mantap dipamer anak buahnya sehingga berjaya
menumpaskan Pahang 2-1 dalam saingan Liga Super.
Satiananthan berkata meskipun
pasukan pelawat lebih banyak menguasai perlawanan pada separuh masa pertama
semalam, senario sebaliknya berlaku di babak kedua menyaksikan kebangkitan
skuad ‘The Fighters’.
"Saya puji pemain saya
berupaya bangkit mencatat kemenangan.
Pada separuh masa pertama,
Pahang menguasai permainan tetapi pada babak kedua kita pula yang mengawal
rentak permainan sebelum berjaya mengubah keputusan seri 1-1 kepada kemenangan
2-1.
"Pemain dilihat banyak
mencipta peluang untuk menjaringkan gol dan itulah yang kita mahu dalam setiap
perlawanan," katanya selepas perlawanan.
Satiananthan bangga kerana
pasukan kendaliannya tidak mengamalkan corak permainan bertahan atau
‘berkampung’ di bahagian bawah dalam usaha meraih kemenangan.
"Kalau bermain secara
bertahan, kita mungkin hanya catat keputusan seri 0-0 tetapi ia tidak begitu.
Saya mengarahkan semua pemain
untuk bertahan dan menyerang. Namun walaupun menang, saya rasa Felda United
belum bermain pada tahap sebenar dan ia masih boleh ditingkatkan,"
katanya.
Beliau berkata tiga pemain
import baharu dalam pasukan turut memainkan peranan penting untuk melakar
kemenangan, sekali gus membuktikan mereka memiliki kualiti sebagaimana
diharapkan.
Mengulas mengenai insiden
kekecohan sehingga kapten The Fighters, Zah Rahan Krangar dilayangkan kad merah
meskipun perlawanan berakhir dan mengakui tidak begitu jelas mengenainya.
Sementara itu, ketua jurulatih
Pahang, Dollah Salleh kecewa dengan mutu pengadilan perlawanan dan beranggapan
ia boleh menghancurkan bola sepak negara jika terus dibiarkan.
"Saya tidak kisah jika
kalah tetapi mutu pengadilan malam ini menghampakan, seolah-olah perlawanan ini
sudah diatur. Bukan disebabkan sepakan penalti sahaja tetapi banyak keputusan
pengadil memihak kepada Felda United yang tidak sepatutnya diberikan.
"Dari segi sepakan
penalti, ia tidak patut diberikan kepada Felda United manakala situasi di mana
kita sepatutnya mendapat sepakan penalti, tidak pula diberi.
"Pahang banyak kali
menghadapinya sebelum ini tetapi kita bersabar dan mendiamkan diri. Kali ini
saya mahu luahkan demi bola sepak negara," katanya tidak gentar jika
dikenakan tindakan susulan mengkritik mutu pengadilan.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 1:20 PM
No comments:
Post a Comment