Ad

Thursday, 6 July 2017

Misi Ahmad Shahrul Azhar

Saifullah Ahmad
6 Julai 2017
 Misi Ahmad Shahrul Azhar
Ahmad Shahrul Azhar

SETELAH berduka atas pemergian bekas Pengurus Bola Sepak Perak, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan bekas Ketua Jurulatih Perak, Karl Heinz Weigang, kem The Bos Gaurus kembali ceria apabila menerima kehadiran orag baharu.

Nama Ahmad Shahrul Azhar Sofian bukanlah asing bagi peminat bola sepak Perak malah dianggap legenda buat penyokong Seladang yang dipilih menggantikan Datuk Jamal Mohd Aris.

Selain menjadi pengurus pasukan, beliau turut dilantik ke jawatan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) sekali gus menjadi individu penting dalam persatuan itu.

Ikuti temu bual khas beberapa wartawan bersama bekas pemain kebangsaan itu dalam pertemuan pertamanya dengan wakil media mengenai perancangan dan masa depan Pafa serta pasukan Perak The Bos Gaurus.

Boleh anda beritahu bila tawaran Setiausaha Kehormat Pafa dan Pengurus Pasukan Liga Super ini diberikan. Apa perasaan anda?

Sebenarnya tawaran ini dah lama, saya rasa 4 ke 5 bulan yang lepas. Cuma saya yang lama untuk membuat keputusan. Dua bulan lepas baru saya cuba meneliti segala permasalahan, segala risiko yang perlu saya tanggung. Saya amanah dan tanggungjawab yang cukup berat bagi seseorang yang nak ambil dan pikul jawatan ini. Bukan senang. Saya mengambil masa yang cukup-cukup lama untuk membuat keputusan menerima tawaran ini. Tawaran ini datang serentak dengan kedua-dua jawatan Pengurus dan Setiausaha Pafa. Itu yang menyebabkan saya ambil keputusan yang lama untuk mempertimbangkan tawaran itu.

Mengapa anda sahut cabaran menerima kedua-dua jawatan ini?

Sebenarnya saya rasa ini bukan peluang atau opportunity, tapi merasakan amanah dan tanggungjawab pada saya. Itu yang perkara yang lebih besar saya fikirkan kerana untuk pengetahuan semua, saya sudah keluar Perak lebih dari lima tahun dan saya pernah menjadi Penolong Pengurus semasa Khairul Azwan Harun menjadi pengurus. Selepas itu saya berkelana ke Negeri Sembilan dan Felda United. Kenapa saya mengambil amanah ini ya? Antara sebabnya kerana saya dah menolak dua, tiga kali jawatan ini dalam masa beberapa tahun selepas saya keluar daripada Perak. Jadi saya mendapat nasihat daripada jurulatih-jurulatih senior, bekas-bekas Ahli Majlis, saya tak ambil keputusan ini dengan syok sendiri. Saya ambil keputusan ini setelah berbincang dengan banyak pihak dan mereka beranggapan saya patut datang sini untuk membantu dengan apa yang saya ada, dengan pengalaman yang saya ada. Mungkin pengalaman dalam bidang pengurusan itu saya cetek, tapi saya rasa kalau ramai yang ikhlas untuk membantu, saya akan cuba yang terbaik kepada Persatuan itu sendiri. Dengan sebab itulah ia bukan mudah untuk ambil macam anda semua maklum kerusi ini panas, Perak ini memang keadaannya cukup panas untuk seseorang itu duduk di kerusi itu dan dengan keadaan pasukan Perak itu sendiri, perfomance pasukan Perak itu sendiri membuatkan keadaan itu jadi panas. Sebenarnya persatuan ini tak ada apa saya rasa, tapi yang menyumbang ke arah baik adalah perfomance pasukan itu sendiri. Itulah yang menentukan sama ada persatuan itu naik atau sebaliknya. Apa sahaja perkara saya rasa bergantung pada performance team itu sendiri. Jadi dengan sebab itulah saya membuat keputusan untuk cuba menyumbangkan sesuatu kepada Pafa itu sendiri.

Memandangkan anda berpengalaman sebagai kapten Perak dan Malaysia, bagaimana ini boleh membantu dalam menjalankan tugas?

Saya keluar daripada sini, enam tahun berturut-turut saya cuba ambil keputusan untuk mendapatkan lesen kejurulatihan dan saya pas semua itu dalam masa enam tahun. C, B dan A. Dari segi pengalaman satu benda yang sangat berbeza, sebagai pemain, jurulatih dan sekarang saya dah tukar kepada pengurusan. Kesemua tiga-tiga ini sangat berbeza dan saya harus belajar dengan cepat apa benda yang patut saya buat dan saya kena peka dengan keadaan sekeliling apa yang berlaku. Jadi saya rasa sedikit sumbangan saya sebagai pemain untuk jadi jurulatih, bila jadi jurulatih kita akan bergelumang dengan pengurusan jadi di situ saya mengambil pendekatan saya dah belajar sikit dengan Negeri Sembilan, saya belajar banyak dengan Felda United yang kita tahu pasukan kelab organisasinya cukup cantik dan mungkin daripada situlah saya mengambil pengalaman selama bekerja dengan mereka, saya akan cuba terapkan ia di Pafa sendiri dan juga pada pasukan, Insya-ALLAH.

Kita sedia maklum bahawa pembangunan bola sepak dan akar umbi sangat penting bagi sesebuah pasukan atau kelan. Ada apa-apa perancangan untuk pembangunan akar umbi?

Saya rasa itu benda paling penting untuk semua persatuan buat. Akar umbi penting, pembangunan penting, cumanya bagaimana saya nak jelaskan, macam mana saya nak meyakinkan semua pimpinan tertinggi persatuan kita yang kita perlu cari dana perlu mulakan untuk program ini. Perlu ada gerak mula. Saya rasa, saya dah duduk dalam persatuan ini lebih 20 tahun sebagai pemain, sebagai penolong pengurus dan hari ini saya sebagai setiausaha persatuan dan pengurus. Saya rasa sesuatu perlu dilakukan dan kita perlu buat untuk kelangsungan pasukan Perak itu sendiri. Tapi macam anda cakap, saya setuju pembangunan penting dan saya perlu yakinkan pengurusan tentang usaha pembangunan ini. Ia memang memerlukan belanja yang besar, keadaannya seperti piramid di bawahnya yang banyak inilah pembangunan, jadi bila kita naik akan nampak sikit. Tapi nak belanja besar ini sebenarnya. Kebanyakan sukan dan persatuan, mereka cuma beri tumpuan pada pasukan utama. Tapi pasukan utama kita tak boleh lupakan sebab itu keutamaan namun, yang lain-lain kena berjalan seiring. Kita harap siapa sahaja yang terlibat dalam persatuan, tak kira dia ada atau tak ada selepas ini, pembangunan itu akan berjalan seterusnya. Kita boleh ikut seperti mana yang NFDP buat dan kita harap kita pun boleh dapat blueprint daripada mereka. Insya-ALLAH saya rasa, saya pun sebahagian daripada NFDP dan saya mengharapkan ada kolaborasi antara Pafa dan NFDP nanti.

Setelah dilantik ke jawatan ini, apakah anda menetapkan sasaran tertentu atau sasaran awal yang anda ingin lihat dalam masa terdekat?

Saya dah terangkan pada staf semalam (kelmarin), kita harus tambah baik apa benda yang Pafa dah buat sebelum ini. Kita ikut apa yang dah dibuat. Mana yang perlu kita tambah baik, kita buat. Yang mana tak berapa nak elok, kita cuba kurangkan. Kita harap akan dapat repo yang baik dengan media, dapatkan info untuk kita bekerjasama dalam memastikan persatuan berjalan dengan elok dan team berjalan elok. Saya juga boleh bekerja dengan baik bersama anda.

Kami dimaklumkan ada ahli-ahli gabungan Pafa yang menyatakan rungutan mereka bahawa hubungan dengan Pafa tidak seerat dahulu, bagaimana anda mahu menyelesaikannya?

Saya baru di sini, jadi saya pun baru dapat tahu. Insya-ALLAH saya akan berbincang dengan Presiden bagaimana saya nak bekerja dan rapatkan balik hubungan dengan Pafa dan dengan semua ahli gabungan. Saya dapat tahu ahli gabungan sekarang pun dah banyak, ada 18, jadi bukan mudah untuk saya nak membuat keputusan sendiri. Tapi InsyaALLAH saya akan cuba kembalikan repo itu dan saya rasa setelah dilantik secara sepenuh masa di sini, saya pada bila-bila masa boleh berjumpa dengan sesiapa sahaja. Itu janji saya dan saya nak pastikan mereka hubungi saya untuk berjumpa pada bila-bila masa, Insya-ALLAH. Tapi kita harap pertemuan itu ada sebab khusus dan dapat menjadi perbincangan yang baik. Kita kena jaga repo dengan mereka dan mereka pun kena ada repo yang baik dengan kita. Saya rasa tak ada masalah dari dulu pun masa saya main (bola sepak) dah bergelumang dengan ahli-ahli gabungan ini. Saya harap approach saya itu diterima dengan baik oleh mereka. Saya datang sini bukan untuk gaduh dengan siapa-siapa yang ‘bunuh’ siapa-siapa sebab saya rasa kalau tak layak orang tak panggil saya kat sini. Saya pun tak ada apa-apa di sini. Saya nothing to lose (tak ada apa yang merugikan) sebab saya dah boleh kerja di luar. Saya nak cuba buat yang terbaik apa yang saya boleh buat tetapi saya perlukan bantuan dari semua pihak untuk kita dapat satu keputusan yang lebih baik. Itu saja yang saya minta.

Anda sendiri mempunyai lesen kejurulatihan A, B dan C, dengan pengalaman yang ada, apakah anda akan terlibat sama dengan kejurulatihan di samping Mehmet Durokovic selaku ketua jurulatih?

Syukur Alhamdulillah. Biarpun saya ada lesen kejurulatihan A dan B, tapi saya ada etika kerja saya. Kalau tidak tak guna saya ambil lesen kejurulatihan. Saya tak akan mengganggu apa-apa dari segi teknikal dan taktikal Mehmet selaku ketua jurulatih. Saya tak akan. Cumanya saya akan berbincang sahaja dengan dia. Keputusan masih lagi dengan Mehmet sepenuhnya menentukan kesebelasan utama dia, tactical of play dia, siapa pemain yang dia nak bagi main itu terpulang pada dia sebab dia ada KPI (Indeks Prestasi Utama) dia. Kita tak nak akhirnya dia hentam balik pengurusan kerana mengganggu kerja dia. Saya tak nak. Saya akan pastikan pengurusan pun buat benda yang sama. Jangan ganggu kerja jurulatih. Kalau rasa kita pandai, lebih baik kita jadi jurulatih, jangan panggil dia. Betul tak? Kita dah setuju dan kita dah tandatangan kontrak, biar dia buat kerja itu. Habis sahaja kontrak kita nilai semula sama ada dia kekal atau lepaskan dia. Sama juga dengan pemain, tak kira siapa pun. Itu antara border (sempadan) yang saya perlu tahu. Saya tak akan komen terus fasal pemain atau pasukan kecuali kalau melibatkan pengurusan, saya akan cuba komen. Saya pun akan dapatkan lampu hijau daripada presiden sebelum komen apa-apa. Ini risiko yang jurulatih kena buat. Kita tak boleh persoal keputusan yang dia buat kerana dia lebih tahu kerana pemain sentiasa dengan dia. Sebenarnya dalam padang ada satu jurulatih, kat luar padang kalau ada 10,000 peminat, maka 10,000 jurulatih. Tapi yang hanya tahu dia. Siapa terbaik seminggu, dua minggu sesi latihan. 

Bagaimana anda melihat sokongan peminat dan penyokong selepas dilantik ke jawatan ini?

Sejujurnya saya kata, selepas lima hingga enam tahun saya meninggalkan Perak, saya tak ambil tahu fasal pasukan. Saya akan pergi tengok game (perlawanan) kalau saya diarahkan oleh Media Prima untuk buat live (ulasan secara langsung). Ini saya cakap jujur. Jadi saya tak banyak tahu fasal pasukan Perak cumanya kita tahu ada Weigang, selepas itu Weigang dilepaskan yang itu semualah. Selepas ini saya akan kenal pasti pemain dan kena jadi polis sikitlah. Kena ambil cerita supaya perkara-perkara sebelum ini tak berlaku lagi. Masa di Stadium Darul Aman, dekat 300 peminat yang datang. Ada makcik datang dari Teluk Intan tengok perlawanan itu. Saya pun terkejut makcik ini kata sokong sejak saya main lagi. Ada juga dua penyokong daripada Bercham naik motosikal datang ke Stadium Darul Aman. Saya kata ini kerja gila. Cumanya saya bagi tahu semua itu pada pemain, bagi info pada mereka, kalau mereka tak bagus main, penyokong tak akan datang sampaikan ada yang naik motosikal pergi sana (Stadium Darul Aman). Ini bergantung pada pemain. Pemain yang menentukan kejayaan satu-satu pasukan. Kita ini hanya sebahagian sahaja. Saya rasa mungkin 10 ke 20 peratus sahaja, jurulatih 30 peratus, selebihnya pemain. Mereka yang menentukan jatuh bangunnya pasukan. Sebab itu saya tak mahu campur kerana mereka profesional dan tahu apa kerja serta tanggungjawab mereka. Saya rasa penyokong dia akan datang. Penyokong ini kalau kita tunjuk satu persembahan atau prestasi yang baik, kalah menang jadi nombor dua. Mereka akan tengok kita punya kesungguhan, ini benda yang biasa. Kalau orang datang satu kereta dah lima orang, bayar tiket, duit minyak, makan lagi. Orang datang nak enjoy (seronok), takkan orang datang saja nak maki. Baik dia duduk rumah saja rehat. Jadi kita kena hargai penyokong ini datang, dia keluar duit sendiri, dan kita kena balas dengan persembahan atau prestasi yang baik. Orang nak tengok seronok, sekurang-kurangnya kalau kamu (pemain) hilang bola, kejar bola, tackle dan sebagainya. Benda-benda itulah yang kena ada.

Peminat di media sosial begitu teruja dengan pelantikan anda sebagai jurulatih, malah ada laman Facebook yang menggunakan nama anda memberikan informasi dan berkongsi gambar-gambar. Apakah anda mempunyai laman sosiap tertentu?

Saya tak pernah ada facebook, saya tak ada instagram atau mana-mana akaun media sosial lain selain whatsapp. Saya simple sahaja, saya tak pandai nak komen, saya rasa tak ada keperluan.

Bagaimana hubungan anda dengan pemain dan rutin tugasan kini memandangkan anda menggalas jawatan sebagai Setiausaha Kehormat dan pengurus pasukan?

Memandangkan saya dilantik sepenuh masa ke jawatan ini, rutin harian pada waktu pagi hingga 4 petang saya akan berada di pejabat dan kemudian saya akan turun ke padang bersama-sama pemain untuk sesi latihan. Begitu juga rutin saya ketika bersama Felda United sebelum ini. Saya turun berlatih bersama-sama pemain. Saya akan selalu bersama pemain, apabila kita selalu dengan mereka, mereka akan jujur dengan kita, cakap apa yes apa no. Itu yang kita nak. Apabila dia jujur, kita boleh tolong dia. Kalau ada perkara-perkara yang disembunyikan kita tak boleh nak tolong dia. Bila kita tak boleh tolong dia, kita tak boleh tolong pasukan. Saya ambil pendekatan untuk berlatih bersama mereka, main dengan mereka, itu semua. Mungkin itu cara saya.

Jika dilihat di media sosial, Pafa sering kali mendapat kritikan dan komen negatif terutama jika Perak berhadapan kekalahan pada setiap kali perlawanan, bagaimana anda melihat keadaan itu?

Pada saya kalau ada komen negatif itu yang elok sebab kita boleh belajar dan baiki kesilapan. Kalau orang selalu cakap benda yang elok sahaja kita tak belajar. Bila ada benda negatif kita semak dulu betul ke tidak. Kalau betul kita belajar dan cari penyelesaian. Kalau kita betulkan benda yang tak betul walaupun sikit orang akan hargai. Kalau kita selalu orang lambung tinggi kita tak sedar. Kalau kita jatuh, kita akan jatuh terus. Bagaimanapun, kita harap orang yang komen dan kritik biarlah dengan bukti supaya kita boleh tampilkan juga dengan bukti apabila menjawab segala tuduhan. Itu yang saya akan layan, kalau khabar angin saya tak nak layan.

Di Perak terdapat ramai persatuan dan kelab-kelab peminat sekali gus memperlihatkan seolah-olah mereka berpuak-puak. Adakah ia sesuatu yang baik kepada pasukan?

Dari dulu saya ambil pendekatan saya layan semua peminat sama rata. Cuma Ah Wa saja istimewa yang boleh naik bas dengan pemain dulu ketika zaman Karl Heinz Weigang, zaman Tony Netto iaitu zaman saya main. Peminat akan datang bila dia tengok kita bersungguh-sungguh untuk menang. Kita tak perlu panggil peminat dengan beri tiket percuma. Tak payah. Kita panggil peminat dengan repo yang baik, sikap profesional kita, attitude kita kat luar, layanan kita kepada peminat dan akhirnya persembahan terbaik di padang. Mereka sediakan duit untuk enjoy the game, sebagai pemain kita ini adalah penghibur. You rugila keluar duit kalau tak terhibur. Dia datang dia tak seronok. Pada saya pasukan naik, peminat dan penyokong akan datang. Tak kira berapa banyak persatuan atau kelab peminat.

Apa harapan atau impian yang anda mahukan kepada pasukan dan persatuan?

Saya nak macam dulu. Kita dulu pukul 7 malam kereta dah penuh. Bila jumpa penyokong mereka tanya hari ini nak menang berapa, bukan tanya boleh menang tak. Jadi saya nak sampaikan pada pemain-pemain yang ada sekarang ini. Itu yang saya ambil amanah dan tanggungjawab ini. Bukan sebab duit ringgit.

Saya pernah main tahun 2008 dengan tidak dibayar gaji empat bulan. Bukan saya sahaja, tapi  keseluruhan pasukan. Kita pergi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sehingga suku akhir. (ketika itu) bulan puasa, tak ada gaji, nak raya. Kenapa kita main sampai suku akhir? Tapi kalau tak ada semangat itu dalam pemain-pemain sekarang ini, jangan cakap banyaklah. Kamu tak akan pergi jauh. Sama juga dengan pengurusan. Kenapa dahulu dengan bajet  kecil kita boleh menang hampir semua piala, tapi sekarang bajet banyak kita tak ke arah itu. Jadi benda ini akan dibincangkan dengan pengurusan tertinggi.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 6 Julai 2017

No comments:

Post a Comment