Aidil ZAFUAN ABD. RADZAK
(kanan) gembira dengan kehadiran Ignasio Insa dan Mohamad Ghaddar yang kata
AIDIL ZAFUAN ABD. RADZAK
(kanan) gembira dengan kehadiran Ignasio Insa dan Mohamad Ghaddar yang katanya
memberikan impak segera kepada permainan JDT.
Mohamad Faizal Hashim
15 Julai 2017 3:00 AM
JOHOR BAHRU 14 Julai - Johor
Darul Ta’zim (JDT) berpeluang mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu Liga
Super apabila melayan kunjungan pasukan yang kini dalam zon penyingkiran
Sarawak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos esok.
Harimau Selatan kini di anak
tangga teratas Liga Super dengan 36 mata selepas 15 perlawanan, sembilan di
hadapan pencabar terdekat Kedah yang meraih 27 mata manakala Sarawak di tempat
ketiga tercorot dengan 14 mata.
Pemain pertahanan JDT, Aidil
Zafuan Abd. Radzak berkata, pemain perlu mengekalkan rentak kecemerlangan dalam
baki tujuh perlawanan bagi memastikan kejuaraan kekal milik JDT buat kali
keempat berturut-turut.
Pemain dari Negeri Sembilan itu
juga mengingatkan rakan-rakannya agar tidak memandang rendah terhadap skuad
Bujang Senang yang dikalahkan 4-0 dalam perlawanan Piala Malaysia pada Selasa
lalu kerana pasukan lawan pastinya akan tampil dengan permainan yang berbeza.
“Kemenangan dengan jaringan
yang besar ke atas Sarawak pada minggu lalu bukan bererti kami boleh memandang
rendah keupayaan lawan. Pastinya mereka sudah tahu kekuatan dan permainan JDT
dan mereka akan memberikan aksi berbeza dalam perlawanan esok.
“Setiap perlawanan adalah
berbeza dan sudah tentu kami akan mempamerkan aksi terbaik untuk menyekat
pasukan lawan untuk membawa pulang sebarang mata dari kubu kuat kami,” katanya
di sini hari ini.
Aidil berkata, kemasukan dua
pemain import iaitu Ignasio Insa dan Mohamad Ghaddar ketika jendela perpindahan
bulan lalu jelas memberi impak positif terhadap Harimau Selatan.
Aidil meramalkan kedua-dua
pemain itu, yang masing-masing sudah menjaringkan satu gol dalam saingan Liga
Super musim ini, akan menjadi watak penting bagi memastikan JDT mempertahankan
gelaran juara liga.
“Dalam masa yang singkat,
kehadiran Ghaddar dan Insa memberi impak yang positif terhadap kem Harimau
Selatan dan saya percaya mereka mampu memainkan peranan penting dalam membantu
pasukan mencipta kemenangan,” katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jdt-tidak-boleh-leka-8211-aidil-1.503057#ixzz4mu3LTW9c
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment