ARKIB : 24/08/2006
Malaysia cemas
INDRA Putra Mahayuddin (kanan) cuba melepasi pemain Indonesia, Muhammad Ridwan dalam saingan pusingan awal Pesta Bola Merdeka di Stadium Shah Alam, semalam. Gambar ASWAD YAHYA.
SHAH ALAM Maruah skuad bola sepak kebangsaan hampir tercalar tetapi diselamatkan oleh jaringan sendiri pemain pertahanan lawan, Muhammad Ridwan buat memastikan Malaysia mencatat keputusan seri 1-1 bertemu Indonesia pada perlawanan pertama Kejohanan Pesta Bola Merdeka Ke-38 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Kemenangan seakan memihak kepada Indonesia yang membuka tirai jaringan pertama selepas 15 minit babak berlangsung menerusi pemain import Selangor, Bambang Pamungkas untuk mendahului 1-0 pada satu ketika.
Namun, 13 minit sebelum perlawanan hendak ditamatkan hasil serangan pantas anak didik Norizan Bakar, V. Thirumurugan membuat lorongan cantik di depan pintu gol Indonesia tetapi pemain pertahanan lawan Ridwan tertanduk ke gawang sendiri.
Gol penyamaan tersebut cukup melegakan buat skuad kebangsaan yang bermain terumbang-ambing sepanjang 70 minit babak berlangsung sambil melihat Indonesia jelas menguasai pentas saingan.
Kebangkitan skuad kebangsaan dalam tempoh 13 minit perlawanan itu hendak berakhir nyata tidak membuahkan hasil.
Indonesia membuka tirai jaringan hasil sepakan cantik penyerang import Selangor, Bambang Pamungkas pada minit ke-15.
Bambang mengelecek seorang pemain pertahanan skuad kebangsaan di luar kotak penalti sambil memusingkan badan dia melepaskan rembatan kaki kanan menewaskan penjaga gol, Muhammad Syamsuri Mustafa.
Tersentak dengan gol awal itu skuad kebangsaan cuba menggandakan asakan tetapi gandingan serangan menerusi Indra Putra Mahayuddin dan Rudie Ramli seringkali berada pada posisi ofsaid.
Peluang terbaik untuk menyamakan kedudukanhadir pada minit ke-37 tetapi dihampakan oleh tandukan kencang Indra Putra yang ditepis keluar oleh penjaga gol Indonesia, Yandi Christian Pitoy.
Aksi pada babak kedua tidak banyak merubah kesebelasan utama yang diilhamkan oleh jurulatih Norizan Bakar malah tidak berupaya mengimbangi permainan kemas Indonesia.
Gandingan Indra Putra dan Rudie masih tumpul untuk menembusi benteng ampuh lawan dibarisi oleh Erol Iba, Bayu Sutha, Ricardo Salampessy dan Muhamad Ridwan.
Situasi sukar itu memaksa Norizan membawa masuk Mohd. Eddy Helmi Manan dan mengeluarkan Mohd. Fadzli Saari dalam usaha mengukuhkan bahagian tengah yang tampak kaku sepanjang 50 minit babak berlangsung.
Pada minit ke-61 pintu gol nyaris dibolosi akibat salah faham dua pertahanan kebangsaan Norhafiz Misbah dan V. Thirumurugan cuba mengeluarkan bola di depan pintu gol tersepak ke arah Bambang yang gopoh menyepak keluar.
Gol penyamaan yang dicari Malaysia menjadi realiti pada minit ke-77 apabila pemain pertahanan Indonesia, Muhammad Ridwan menanduk ke gawang sendiri bola lorongan Thirumurugan.
Terdahulu, Thailand yang menjadi pasukan pilihan melalui langkah sukar apabila terikat 2-2 dalam perlawanan pembukaan pada sebelah petang.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4oGa3S9So
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment