Ad

Monday 24 July 2017

'Tiada siapa boleh atasi undang-undang'

'Tiada siapa boleh atasi undang-undang'
 Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama peminat selepas sesi Dialog
TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM bersama peminat selepas sesi Dialog Presiden FAM Bersama Penyokong Bola Sepak Tanah Air Di Terengganu di Hotel Primula, Kuala Terengganu, semalam. Mingguan/AZLAN BAHRUM
Radhuan Hussain
23 Julai 2017 3:00 AM
KUALA TERENGGANU 22 Julai – "Semua orang tak terlepas daripada undang-undang. Undang-undang tetap undang-undang. Tiada sesiapa boleh atasi undang-undang".

Demikian tegas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim merujuk kepada keputusan badan induk itu menggantung jurulatih Pahang, Dollah Salleh.


Tunku Ismail seterusnya menyifatkan tindakan yang dikenakan ke atas Dollah itu sebagai tepat berikutan tuduhan yang dilemparkan oleh lagenda bola sepak negara itu bahawa pihak pengurusan FAM bertindak mengatur perlawanan.

"Tuduhan Dollah itu seolah-olah pihak atasan atur perlawanan. Kalau pihak atasan (FAM) atur perlawanan ataupun tuduhan terhadap saya atur perlawanan, JDT (Johor Darul Ta’zim) sudah menang Piala FA dan juga Piala Sumbangsih, betul atau tidak?

"Jadi, di mana datangnya idea dia (wujud) atur perlawanan. Mungkin dia yang atur perlawanan ketika kariernya dulu. Oleh itu semua orang tak terlepas dari undang-undang. Saya pun pernah digantung dulu, begitu juga Tan Sri Annuar Musa pernah digantung dan semua pernah digantung," jelas beliau.

Beliau menyatakan perkara itu dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM kali kedua penggal 2017-2021 di Hotel Primula di sini hari ini yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Seri Subahan Kamal dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Beliau diminta mengulas tindakan FAM menggantung Dollah untuk tempoh 18 bulan dan denda RM30,000 kerana mengkritik secara terbuka terhadap FAM kononnya pengurusan badan induk itu mengatur perlawanan.

Dollah berbuat demikian dalam sidang akhbar selepas aksi Pahang menentang Felda United dalam Liga Super 1 Julai lalu yang berkesudahan skuad kendaliannya itu tewas 1-2.

Tunku Ismail berkata, tindakan serupa turut dilakukan mana-mana persatuan bola sepak lain termasuk di luar negara terhadap mereka yang mengkritik terhadap persatuan.

"Saya banyak bertanya dan belajar dengan struktur FA (persatuan bola sepak) lain dan contohnya di England, sama juga boleh komen mengenai prestasi pengadil tapi ada benda yang anda tak boleh cakap," tegas beliau.

Beliau bagaimanapun berkata, Dollah masih berpeluang mengemukakan rayuan kepada FAM berhubung hukuman terhadapnya dalam tempoh 10 hari bermula tarikh hukuman dikuatkuasa semalam.

Mengenai mutu pengadilan tempatan, Tunku Ismail mengakui masih lemah serta perlu diperbaiki dari semasa ke semasa dan pada masa sama pihak pengurusan FAM mesti profesional, bukan menyalahkan pengadil semata.
SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tiada-siapa-boleh-atasi-undang-undang-1.506066#ixzz4nbr3OIOR

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment