ARKIB : 15/08/2006
Ads by Kiosked
Eddy Helmi dipanggil hadapi
Pestabola
Eddy Helmi.
KUALA LUMPUR Eddy Helmi Manan
yang pernah disingkirkan oleh bekas jurulatih, Bertalan Bicskei kerana masalah
disiplin dua tahun lalu, kembali mendapat tempat dalam skuad pelatih negara ke
Pestabola Merdeka, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Pemain tengah Johor FC itu
merupakan antara 23 pelatih yang dipanggil melapor diri kepada jurulatih,
Norizan Bakar dan penolongnya, Nasir Yusof di Wisma Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM), Kelana Jaya mulai semalam.
Skuad negara bakal berdepan
Indonesia, Thailand dan Myanmar dalam Pestabola Merdeka edisi ke-38 yang
dihidupkan semula oleh FAM sejak terhenti pada 2001 di Stadium Shah Alam dari
23 hingga 29 Ogos ini.
Kepulangan Eddy juga dianggap
kejutan setelah pasukannya, Johor FC sekadar menduduki tempat tercorot Kumpulan
B Piala Malaysia dengan hanya satu gol sumbangannya ketika menentang Kedah pada
15 Julai lalu.
Perak dan MPPJ masing-masing
mempunyai wakil paling ramai. V. Thirumurugan, Ahmad Azlan Zainal, Nasril
Nourdin dan S. Subramaniam merupakan pemain Perak sementara dari MPPJ ialah
Khaironnisam Shahabuddin Hussain, Fauzi Nan, K. Nanthakumar dan Chan Wing
Hoong.
Sayap kiri Pahang, Indra Putra
Mahyuddin yang kembali memikat Norizan sejak menentang Singapura dalam siri
persahabatan Mei dan Jun lalu turut disenaraikan bersama rakan sepasukannya,
Fadzli Saari dan Norhafiz Zamani Misbah.
Turut disenaraikan ialah dua
pemain Telekom Melaka, Hardi Jaafar dan Rudie Ramli selain penjaga gol Negeri
Sembilan, Azizon Kadir.
Azizon dan Nasril bakal
bersaing merebut cuma dua tempat bersama Syamsuri Mustafa dari Terengganu yang
dipilih sebagai Pemain Terbaik suku akhir Piala Malaysia menentang Perlis,
minggu lalu.
Tujuh pelatih negara lain ialah
Mat Saiful Mohamad (Pulau Pinang), P. Gunalan (Selangor), Azi Shahril Azmi
(Perlis), Norfarhan Mohamad, Norhisham Hassan (Terengganu), Ronny Harun (Sabah)
dan Saramsak Kram (Kedah).
Malaysia akan memulakan kempen
Pestabola dengan menentang Indonesia pada 23 Ogos yang diperkuatkan dua pemain
buangan Selangor, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy serta Ponaryo Astaman dari
Telekom Melaka.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0815&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4mEePkTk7
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment