ARKIB : 27/08/2006
Bersama: DR.AMRAN KASIMIN
SOALAN: Banyak orang telah
meminang saya. Rasanya lebih daripada lima orang, tetapi semuanya berakhir
dengan kegagalan. Begitu juga hubungan saya dengan lelaki, mula-mula serius,
tetapi akhirnya hilang begitu sahaja, sehinggalah sekarang ini saya berumur 29
tahun.
Adakah saya ini akan membujang
hingga ke tua. Adakah ia berpunca daripada rupa atau tingkah laku saya. Saya
seorang perempuan yang sederhana dan mempunyai rupa yang tidak kurang
cantiknya, berbanding dengan teman-teman yang telah bersuami.
Adakah saya berkemungkinan kena
sihir atau pelalau seperti yang difahami oleh sesetengah orang?
INA AINA, Segamat
JAWAPAN: Dalam membicarakan
hal-hal yang berkaitan dengan jodoh, banyak perkara yang perlu dikaitkan. Ia
berbeza menurut keadaan atau latar belakang individu yang terlibat. Punca
ataupun sebab yang dimiliki oleh seseorang, tidak semestinya boleh diaplaikan
kepada orang lain.
Kerana itu memang ada logiknya
kalau masalah jodoh ini disandarkan kepada Tuhan, biarpun ia melibatkan sebab
musabab latar belakang manusia itu sendiri, malah qadak dan qadar itu
sebenarnya memang daripada Tuhan.
Orang yang tidak berkahwin,
terutamanya golongan wanita tidak boleh dikaitkan dengan rupa paras yang kurang
cantik, perwatakannya yang kasar, cacat dan sebagainya, biarpun tidak dapat
dinafikan kecantikan, tingkah laku lemah lembut dan lain-lain sifat tertentu
itu menjadi impian dan idaman kebanyakan orang.
Allah s.w.t. menjadikan setiap
satu itu berpasangan. Itulah di antara tanda-tanda kebesaran-Nya. Orang lelaki
yang cukup anggota tetapi memiliki isteri yang cacat mata, ataupun sebaliknya.
Persoalan bagaimana pasangan yang tidak boleh melihat keindahan dunia itu boleh
bertemu dengan pasangannya adalah di luar keupayaan manusia untuk
menentukannya.
Manusia hanya berupaya
merancang. Allah adalah penentu yang sebenar. Kerana itulah manusia perlu
menyandarkan setiap sesuatu kepada Allah, setelah berusaha, bertawakal dan
berdoa lalu akhirnya berpasrah dan menerima setiap qadak dan qadar itu dengan
rela dan ikhlas hati. Sesungguhnya Allah itu mahukan setiap hamba itu menerima
qadak dan qadar ketentuannya dengan penuh kerelaan.
Merujuk kepada soalan saudari,
saya tidak tahu sama ada saudari masih belum menemui jodoh sehingga sekarang
kerapa pelalau, atau kerana sebab-sebab lain seperti yang dijelaskan.
Ketentuan sebab yang saudari
nyatakan, di luar keupayaan saya untuk menjelaskan, walaupun demikian
keterangan berikut akan menjawab pertanyaan saudari.
Pelalau adalah satu istilah
dalam ilmu kebatinan Melayu yang melibatkan sihir. Sihir tidak boleh berlaku
kecuali dengan adanya penglibatan makhluk-makhluk halus yang terdiri daripada
jin-jin.
Sihir jenis ini dilakukan oleh
manusia dengan bantuan makhluk halus, di antaranya untuk mengunci nafsu manusia
tidak kira lelaki ataupun perempuan, daripada keinginan untuk berkahwin.
Kesan daripada terkuncinya
nafsu, tabiat orang yang terlibat mungkin akan berubah, menjadi pendiam, tidak
aktif, dalam keadaan murung, menyendiri dan tidak kurang di antara mereka yang
bertindak di luar kebiasaan, akibat daripada tekanan jiwa ataupun akibat sihir
pelalau, atau kerana kedua-duanya.
Selain daripada pelalau kunci
nafsu kahwin, sihir jenis ini juga boleh menyebabkan berlakunya
halangan-halangan menyebabkan usaha untuk menemukan jodoh seseorang itu tidak
kesampaian.
Seorang gadis yang terkena
sihir jenis ini mungkin berminat hendak mengahwini seseorang jejaka, tetapi
pasangannya mungkin akan menolaknya, begitulah sebaliknya.
Pasangan ini mungkin telah
bertunang bertahun lamanya, tetapi pada saat menunggu hari berlangsung, pihak
perempuan atau lelaki enggan berkahwin dengan tunangnya, tanpa sebab-sebab yang
munasabah.
Halangan mungkin tercetus
daripada sikap ibu bapa atau salah seorang daripadanya, yang selalunya berlaku
pada ibu kepada perempuan berkenaan. Mungkin ibu tadi mengancam akan membunuh
diri kalau anak perempuannya tetap berkahwin dengan pasangannya atau ia tidak
akan mengaku anak buat selama-lamanya dunia dan akhirat.
Ahmad An-Nuhas at-Tumi, dalam
bukunya bertajuk Syifau r-Rahman li s-Sihri wa l-hasad wa amradi l-Jann,
muka surat 55-60 menyatakan yang dia telah didatangi oleh seorang bapa bersama
seorang gadis, memberitahu yang dia adalah seorang pekerja mempunyai ijazah
Alamiyah, tetapi dia sering tidak berupaya menahan marah.
Dia telah menemui banyak doktor
jiwa, tetapi tidak berhasil mengatasi masalah yang dihadapi. Bapanya mengadu
masalah anaknya yang tidak mahu berkahwin.
Syeikh Ahmad telah bertanyakan
latar belakang si gadis dan mendapati adanya tanda-tanda gangguan, lalu ia
membaca ayat-ayat al-Quran. Ketika sedang membaca, gadis tersebut kelihatan
menggeletar, lalu menjerit dan tidak sedarkan diri. Dalam keadaan tidak
sedarkan diri ini telah berlaku dialog di antara Syeikh dan jin yang ada dalam
tubuh gadis, menyebabkan berlakunya rasukan.
*Pinangan
Ketika ditanya apakah punca
menyebabkan si gadis menolak pinangan orang yang hendak mengahwininya, jin yang
mengeluarkan suara melalui lidah gadis menyatakan bahawa dialah yang
melakukannya kerana dia terlalu sayang kepadanya.
Ketika ditanya bagaimana hal
ini boleh berlaku, jin itu menjelaskan bahawa apabila ada orang lelaki datang
meminang dia (jin) tadi akan menjadikan wajah orang yang meminang itu begitu
hodoh pada pandangan si perempuan, jadi timbulnya rasa benci yang bersangatan.
Setelah syeikh tadi membacakan
ayat-ayat al-Quran yang terdiri daripada ayat-ayat azab jin itu akhirnya
keluar dengan izin Allah. Gadis tersebut sembuh dan akhirnya menemui jodohnya
dengan izin Allah s.w.t.
Dalam buku yang sama, muka
surat 57, Syeikh Ahmad menghuraikan pengalamannya ketika didatangi oleh seorang
lelaki yang datang bersama anak perempuannya, yang dikatakan memang rajin
membaca al-Quran, tetapi sejak dua minggu lalu, dia telah meninggalkan
sembahyang dan cepat marah biarpun kerana perkara yang kecil.
Setelah merasakan perempuan
berkenaan menghadapi masalah gangguan, syeikh mula membaca doa-doa yang terdiri
daripada ayat-ayat al-Quran. Ketika sedang membaca, perempuan tadi kedengaran
ketawa dan terus menerus ketawa berpanjangan, diikuti tangisan yang
bersangatan.
Ketika ditanya, jin yang berada
dalam diri perempuan tersebut selama sebulan tetapi tidak berjaya masuk dalam
badannya kerana perempuan itu selalu berpuasa dan sembahyang. Tetapi sejak dua
minggu lalu, iaitu selepas bulan Ramadan, perempuan berkenaan telah marah yang
bersangatan membolehkan jin masuk dalam tubuh.
Setelah dirawat dengan
menggunakan ayat-ayat al-Quran, jin itu keluar dengan izin Allah. Perempuan
tadi terjaga dan bertanya apa yang telah berlaku dalam dirinya.
Syeikh Ahmad, menyuruhnya agar
sentiasa membaca al-Quran, zikir-zikir di waktu pagi dan petang. Kepada bapa
gadis itu, Syeikh memberi nasihat agar tidak mempercayai kata-kata jin, yang masuk
ke dalam tubuh anak gadisnya itu atas permintaan manusia.
Pada satu ketika lain Syeikh
Ahmad telah didatangi oleh seorang perempuan muda yang menyandang jawatan
tinggi, tetapi tidak mahu berkahwin. Ketika ditanya, kenapa tidak mahu
berkahwin, dia menyatakan: Saya telah turun darah nazif sejak satu tahun, tidak
mahu sembuh biarpun puas berubat. Saya merasa sesak dada setiap kali ada lelaki
yang datang hendak meminang,.
Ketika dibacakan doa, seluruh
jarinya kelihatan menggeletar menunjukkan adanya gangguan. Syeikh telah
menyuruhnya membaca surah Yasin, as-Saffat, ad-Dikhan. Selepas seminggu, gadis
tadi memberitahu yang darahnya telah berhenti setelah tiga hari dia membaca
surah-surah berkenaan. Gadis ini akhirnya menemui jodohnya dengan izin Allah s.w.t.
Berdasarkan contoh-contoh yang
saya jelaskan tadi, ternyata pelalau yang saudari tanyakan, yang menyebabkan
seseorang itu sukar menemui jodoh ataupun tidak menemui jodoh memang sesuatu
yang benar boleh berlaku.
Pelalau adalah salah satu
cabang ilmu sihir. Sihir tidak berlaku kecuali dengan adanya penglibatan
makhluk-makhluk halus yang terdiri daripada jin-jin, sama ada iblis atau
syaitan.
Banyak tanda untuk membuktikan
sama ada seseorang itu sukar menemui jodohnya kerana pelalau ataupun sebab yang
berpunca daripada perlakuan orang yang terlibat, tanpa melibatkan pelalau.
*Pertolongan
Kaedah yang berkesan mengatasi
masalah yang berkaitan pelalau ialah dengan meminta pertolongan daripada yang
arif menggunakan ayat-ayat al-Quran, seperti yang dilakukan oleh Syeikh Ahmad.
Kaedah lain dengan memperkuatkan roh iaitu bertakarub kepada Allah s.w.t.
Untuk keterangan mengenai
kaedah-kaedah rawatan yang perlu dilakukan, saudari boleh merujuk buku
bertajuk: Merawat diri akibat sihir dengan bermunajat, 1998. Percetakan Watan,
Kuala Lumpur.
Tidak mudah untuk menentukan
sama ada seseorang itu tidak berkahwin berpunca daripada faktor luaran diri
sendiri atau kerana sihir (pelalau).
Di antara tanda-tanda seseorang
itu kena sihir ialah adanya gangguan ketika hendak tidur. Bermimpi sesuatu yang
mengerikan, seperti didatangi binatang buas, ditikam lembing, dilanggar kereta
dan sebagainya.
Begitu juga dengan bermimpi
melihat sesuatu yang menakutkan, seperti dikejar hantu, harimau, ular dan
sebagainya. Jatuh dari tempat yang tinggi dan lain-lain lagi.
Tanda-tanda lain seperti
mendengar suara yang ganjil di dalam rumah, di atas rumah atau paip dan suis
lampu terbuka sendiri. Kadang-kadang dia mendengar suara memanggilnya, biarpun
tidak ada manusia di sekelilingnya.
Tanda lain yang lumrah terjadi
seperti berbau sesuatu yang luar biasa seperti bau wangi, padahal tidak ada
minyak wangi tumpah, terbau busuk, bau darah, kemenyan, bau orang mati, nanah
dan sebagainya. Bau-bau ini mungkin dihidu oleh diri mangsa sendiri atau seisi
rumah.
Sering berlaku mangsa terlihat
makhluk yang ganjil, dengan rupa yang menakutkan. Objek-objek seumpama ini
selalunya sekelip mata sahaja. Ketika seorang diri di rumah terasa adanya
makhluk di sebelahnya, meremang bulu roma, manakala telinga menjadi tebal pada
waktu-waktu tertentu.
Apa yang berlaku pada mangsa
pelalau, ialah hilang rasa untuk berkahwin atau untuk meneruskan hubungan
dengan seseorang biarpun sebelum ini ia terlalu mengharap benar agar hubungan
itu berakhir dengan perkahwinan.
- PEMBACA yang ada kemusykilan
alamatkanlah soalan kepada:
Dr. Amran Kasimin
Lot 3673, Jalan Aman, Kg.
Sungai Merab
Luar, 43000 Kajang, Selangor.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4oTsOzK3j
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment