Ad

Saturday 29 July 2017

Chong Wei tewas di tangan Roslin

ARKIB : 24/08/2006
KOREA SELATAN – Harapan Lee Chong Wei untuk merampas ranking nombor satu dunia sebelum Kejohanan Dunia bermula bulan depan semakin tipis apabila dia kalah kepada rakan senegara, Mohd. Roslin Hashim pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Korea, semalam.

Ini merupakan kejutan terbesar pada kejohanan bertaraf enam bintang bernilai AS$300,000 (RM1.1 juta) itu.

Pemain nombor dua dunia, Chong Wei yang merupakan pilihan pertama kejohanan kelihatan berada pada jalur yang betul apabila menang 21-16 pada set pertama tetapi, bekas pemain nombor satu dunia, Mohd. Roslin bangkit pada set berikutnya untuk menang 21-14 sebelum menang 21-18 pada rubber set.

Pemain bukan pilihan, Mohd. Roslin akan bertemu jaguh tuan rumah, Park Sung Hwan yang merupakan pilihan bersama 9/16 pada pusingan ketiga hari ini.

Mohd. Roslin kini menjadi pemain perseorangan tunggal negara yang mara ke pusingan ketiga apabila Yeoh Kay Bin kalah 21-19, 16-21, 21-17 kepada pemain Thailand, Boonsak Ponsana dan James Chua kalah 21-17, 21-11 kepada pemain Korea, Hwang Jung Woon.

Pemain perseorangan wanita negara Julia Wong pula mengambil masa hampir sejam untuk mengalahkan jaguh Hong Kong, Yip Pui Yin 20-22, 21-15, 21-19.

Menanti Julia hari ini ialah pilihan pertama, Hu Huaiwen dari Jerman yang mengalahkan Lee Yun Hwa dari Korea 21-23, 21-19, 21 17.

Malaysia juga mempunyai satu wakil ke pusingan ketiga beregu lelaki menerusi Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari-Lin Woon Fui yang menang 21-10, 21-11 ke atas pasangan Amerika Syarikat, Eric Go-Khan Bob Malaythong.

Pilihan ketiga itu akan bertemu pasangan yang meneruskan kemaraan dari pusingan kelayakan Yoo Yeon Seong-Jeon Jun Bum dari Korea selepas menundukkan Albert Susanto-Yohan Hadikusumo dari Hong Kong 21-13, 21-12.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4oGbQOGqV

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment