PEMAIN Kuantan, Ljubo Baranin (tengah) cuba melepasi pemain pertahanan Kuala Lumpur dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini. Kuala Lumpur menang 6-3.
14 Julai 2017 11:35 PM
1
KUALA LUMPUR 14 Julai – Kuala Lumpur mengukuhkan kedudukan di tempat teratas Liga Perdana apabila berpesta gol di Kuantan manakala pencabar terdekatnya sebelum ini Negeri Sembilan sekadar seri malam ini.
Kuala Lumpur yang dikendalikan Fabio Magrao menewaskan Kuantan FA 6-3 di Stadium Darul Makmur dengan bekas pemain Selangor, Guilherme de Paula meledak hatrik apabila menjaringkan gol pada minit ke-69, minit ke-78 dan minit ke-84. Dua lagi gol dijaringkan Paulo Josue pada minit ke-53 dan minit ke-80 dan Muhamad Hafiz menyumbat gol pada minit ke-17.
Negeri Sembilan, yang sebelum ini sekadar tercicir jumlah gol untuk menghuni tempat kedua liga, turun ke anak tangga ketiga selepas seri tanpa jaringan dengan MISC-MIFA di Stadium Proton, Tanjung Malim.
Dalam pada itu, Terengganu naik ke anak tangga kedua liga selepas pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu membelasah Perlis 4-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Kesemua jaringan tersebut dihasilkan menerusi percubaan Gabiel Davis pada minit ke-27, Tchetche Hermann minit ke-43, Lazaro minit ke-48 dan Mohd. Ridzuan pada minit ke-80.
Dalam pada itu, PKNP FC gagal meraih kemenangan di laman sendiri selepas tumpas kepada Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 2-1 di Stadium Perak walaupun skuad kendalian Abu Bakar Fadzim itu terlebih dahulu membuka tirai jaringan.
Tuan rumah berada di depan menerusi jaringan Ahmad Sukri Ab. Hamid pada minit ke-44 tetapi gagal mempertahankan kelebihan selepas rehat apabila Samuel Catalino menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-63 sebelum Barrales meledak gol kemenangan pada minit ke-78.
Dua lagi aksi Liga Perdana menyaksikan PDRM terikat 1-1 menentang ATM di Stadium Hang Jebat, Melaka manakala UITM FC tumpas 1-0 kepada Sabah di Stadium UiTM Shah Alam. – UTUSAN ONLINE
sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kuala-lumpur-ambil-alih-takhta-liga-perdana-1.503032#ixzz4msnLQXdx
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment