Misbun Sidek diberi penerangan
oleh Jimmy Doh mengenai projek perumahan yang dibangunkan Setia Awan Holdings
ketika Majlis Semarak Kasih Ramadan Bersama Anak-Anak Yatim di Lumut kelmarin.
Nurul Akmar
Aida Suhaimi
19 Jun 2017 3:00 AM
LUMUT 18 Jun - Keghairahan
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menawarkan jawatan jurulatih kepada beberapa
bekas pemain negara perlu diteliti semula, kata Datuk Misbun Sidek.
Legenda badminton negara itu,
yang bakal kembali ke pangkuan BAM, nampaknya hanya mahu dibantu oleh mereka
yang berpengalaman apabila dia memulakan tugas sebagai ketua jurulatih
perseorangan dengan badan induk badminton negara itu kelak.
Ini jelas apabila beliau
berkata mereka yang hendak ditawarkan jawatan jurulatih pemain kebangsaan
sepatutnya sudah terdedah kepada kejurulatihan peringkat akar umbi seperti di
sekolah sukan untuk menimba pengalaman dan kemahiran.
“Jika pernah melalui proses di
peringkat bawah, mereka akan tahu bagaimana untuk menguruskan karenah
budak-budak, teknikal dan sebagainya.
“Kalau bekas atlet kebangsaan
ini tiba-tiba berada di atas (jurulatih pemain senior), mereka hendak kawal
atlet kebangsaan ini untuk sesuatu teknik, nanti pemain itu akan rasa, dia
(jurulatih) pun tak pernah menang. Jadi, ini sebenarnya yang susah,” katanya,
yang akan memulakan tugasnya bersama BAM pada bulan depan.
Beliau berkata demikian ketika
ditemui pemberita dalam majlis Semarak Kasih Ramadan bersama anak-anak yatim di
bangunan syarikat perumahan Setia Awan Holdings Sdn. Bhd. di sini semalam.
Majlis berbuka puasa tersebut
yang dianjurkan bersama oleh Gifted Community dan Komuniti I Love Manjung
(KILM) turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Setia Awan Holdings, Datuk
Jimmy Doh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Rashidi
Ibrahim.
Misbun yang juga duta bagi
sebuah projek baharu syarikat perumahan itu di Bandar Baru Setia Awan Perdana
(BBSAP), diminta mengulas mengenai bekas pemain perseorangan badminton negara,
Muhammad Hafiz Hashim yang dijangka menyertai barisan kejurulatihan BAM
September ini.
Sementara itu, mengulas
mengenai kekalahan pemain nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei dalam
pusingan kedua Siri Super Premier Terbuka Indonesia Jumaat lalu, Misbun berkata
dia melihat kekalahan tersebut dari sudut positif.
“Chong Wei sebenarnya tidak
tahu dia menjadi sasaran utama dan mereka (pemain lain) tahu kelemahan dan
corak permainan dia, jadi dia harus sedar mengenai perkara itu.
“Mungkin dia juga keliru
dengan corak permainan dia dengan jurulatih-jurulatih berbeza sebelum ini.
Oleh itu, Chong Wei memerlukan orang yang lebih memberikan perhatian
kepadanya,” katanya.
Misbun adalah individu yang
bertanggungjawab mengembangkan bakat Chong Wei sehingga muncul sebagai pemain
perseorangan lelaki pertama memenangi kesemua gelaran Siri Super, dan meraih
gelaran berprestij termasuk dua pingat perak Sukan Olimpik dan tiga kejuaraan
All England.
Beliau meletak jawatan sebagai
jurulatih perseorangan negara pada penghujung 2010 dan menolak tawaran BAM
untuk dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan tiga tahun kemudian
pada 2013 atas ‘sebab peribadi’.
Misbun juga menjangkakan usaha
melahirkan pemain badminton setanding Chong Wei akan mengambil masa 10-20 tahun
lagi kerana tiada pelapis negara yang mampu menandingi pemain berumur 34 tahun
itu.
“Ini terjadi kepada semua
negara. Contohnya, Indonesia juga masih gagal mencari pengganti Taufik Hidayat,
Thailand juga gagal mencari pengganti Boonsak Ponsana, manakala Denmark
setidak-tidaknya Peter Gade digantikan Victor Axelsen.
“Perancangan jangka masa
panjang sangat penting maka sebab itu apabila gabungan persatuan melihat pada
pembangunan junior remaja, itu adalah amat penting, kalau tidak setakat itu
sahaja,” katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/badminton/mahu-yang-berpengalaman-1.494729#ixzz4mCLViWBw
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment