Ad

Saturday, 29 July 2017

Nabi Hud mengajak kaumnya beriman kepada Allah

ARKIB : 25/08/2006

Ads by Kiosked
Nabi Hud mengajak kaumnya beriman kepada Allah
Kisah Al-Quran (Siri 4)

DAN kepada kaum ‘Ad, Kami utuskan saudara mereka, Nabi Hud. Dia berkata: “Wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada tuhan bagi kamu selain dari-Nya. Kamu hanyalah orang-orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta (terhadap Allah). (Hud: 50)

NABI Hud dilahirkan dalam kalangan kaum ‘Ad. Kebiasaan kaum ‘Ad adalah menyembah berhala. Nabi Hud diutuskan oleh Allah untuk mengembalikan kaumnya daripada kesesatan dan syirik kepada menyembah Allah.

Baginda mengajak mereka kembali kepada ajaran yang benar dan tidak menyekutukan Allah dalam apa bentuk sekalipun. Baginda menerangkan tentang kewujudan Allah s.w.t. dengan sebaik-baiknya kepada mereka. Perbandingan-perbandingan yang telah dibuat bagi menyedarkan kaumnya yang berada dalam kegelapan yang berpanjangan.

Banyak patung berhala dibuat oleh kaum ‘Ad dan mereka menyembahnya. Baginda menerangkan bahawa patung-patung itu adalah khayalan dan rekaan mereka semata-mata. Patung-patung itu tidak mampu memberikan faedah sedikitpun kepada mereka. Perbuatan mereka itu hanyalah sia-sia sahaja.

“Wahai kaumku, marilah menyembah Allah. Hanya Allah yang berhak disembah. Dialah yang menjadikan kita semua. Patung-patung itu tidak berhak disembah. Kamu semua yang membuat patung-patung itu. Benda yang kita buat tidak patut disembah. Perbuatan kamu itu adalah sia-sia sahaja,” Nabi Hud berkata kepada kaumnya.

Baginda menerangkan bahawa kedatangannya adalah untuk menyampaikan ajaran yang benar dan suci kepada mereka. Ajaran-ajaran yang disampaikan itu bukanlah rekaannya. ia juga bukan kehendak hatinya. Baginda tidak menerima sebarang upah untuk menyampaikan dakwah kepada kaumnya.

Nabi Hud mengajak kaumnya berfikir tentang segala kejadian, rezeki dan pelindungan yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada mereka di muka bumi ini. Keadaan tanaman dan ladang akan bertambah subur serta makmur sekiranya mereka sujud bersyukur kepada Allah s.w.t.

Allah s.w.t. berjanji akan memberi rezeki dan kesenangan yang melimpah-ruah bagi makhluk yang sujud dan patuh kepada suruhan-Nya. Walaupun sukar untuk menarik perhatian kaumnya supaya meninggalkan amalan penyembahan berhala, namun Nabi Hud tidak pernah berputus asa.

Informasi

Kaum ‘Ad hidup di lembah Ahqaf yang terkenal dengan kesuburannya. Lembah ini terletak di antara negara Yaman dan Oman sekarang.

Pengajaran

*Amalan menyembah berhala adalah perbuatan syirik

*Rezeki akan berlipat ganda sekiranya kita tunduk dan patuh kepada suruhan Allah

Perbendaharaan kata

*Syirik : perbuatan menyekutukan (menduakan Allah)

*Khayalan : gambaran sesuatu dalam fikiran

*Sujud : Berlutut sambil meletakkan dahi ke lantai

*Rezeki : Segala sesuatu yang dikurniakan oleh Allah untuk keperluan rohani dan jasmani
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0825&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_06.htm#ixzz4oHqDLe98
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment