29 Jun 2017
Lee Chong Wei.
KETUA jurulatih perseorangan
badminton kebangsaan, Datuk Misbun Sidek dan jaguh badminton negara, Datuk Lee
Chong Wei akan berkerjasama dalam usaha melahirkan pemain pelapis terbaik
negara.
Presiden Persatuan Badminton
Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pengalaman Chong Wei
sepanjang tempoh ketiadaan Misbun bersama BAM mampu memudahkan tugas jurulatih
berusia 57 tahun itu untuk mengenal pasti potensi pemain pelapis yang sedia
ada.
"Saya meletakkan sepenuh
kepercayaan kepada mereka berdua untuk menghasilkan satu perancangan bagi
melahirkan pelapis pemain perseorangan lelaki yang terbaik bila Chong Wei
bersara satu hari nanti.
"Chong Wei dan Misbun
sangat rapat. Oleh itu, walaupun Misbun hampir tujuh tahun tidak bersama BAM,
beliau tidak akan mengambil masa yang lama untuk mengenal pasti pemain kerana
Chong Wei mampu memberikan maklumat dalaman berkaitan keupayaan dan kelemahan
pemain yang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika
ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman Setiausaha
Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin di sini, hari
ini.
Dalam pada itu, Norza mengakui
tidak mempunyai halangan sekiranya Misbun berhasrat untuk menemani Chong Wei
yang akan beraksi di Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos ini
meskipun ia bertindih dengan jadual temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017
(KL2017).
Namun, beliau menyarankan
supaya Misbun berbincang terlebih dahulu bersama jurulatih lain antaranya
Hendrawan, Indra Wijaya dan Sairul Amar Ayob untuk memastikan tiada masalah
berkaitan pembahagian tugas dan tanggungjawab.
“Bagi saya walaupun Chong Wei
mempunyai misi untuk meraih gelaran dunia pertamanya, tugas di KL2017 juga
sangat penting kerana sebagai tuan rumah, kita mahukan pencapaian yang lebih
baik ataupun sekurang-kurangnya sama seperti di Singapura dua tahun lalu,”
katanya. - Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 29
Jun 2017
No comments:
Post a Comment