Ad

Saturday, 15 July 2017

Lebih kuat kalau ada 6 tonggak lagi

PEMAIN negara, Syazwan Andik (atas) diasak pemain Myanmar di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan Datuk Shukor Salleh percaya skuad bawah 22 tahun negara (B-22) akan lebih mantap andai jurulatih Datuk Ong Kim Swee mendapat khidmat enam pemain tonggak tidak mendapat pelepasan pasukan negeri dan kelab masing-masing.

Katanya, situasi beberapa pasukan ini menyukarkan mereka melepaskan pemain kerana masalah jadual padat namun jalan penyelesaian terbaik perlu dicari segera supaya tidak berulang.

“Skuad Kim Swee ini ada peluang cerah dan saya yakin mereka mampu pergi jauh selepas melihat mereka menewaskan Myanmar 2-0 semalam (kelmarin),” katanya.

Kim Swee berdepan masalah menghimpunkan 26 pemain apabila hanya dapat berlatih sehari sebelum aksi di Stadium Shah Alam itu.

Bagaimanapun, daripada 26 pemain itu, bekas jurulatih kebangsaan itu terpaksa memanggil tujuh pemain baru selepas enam pemain asal - Safawi Rasid dan Haziq Nadzli dari Johor Darul Ta’zim (Johor DT), S Kumaahran dan Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang) dan Matthew Davies dan Nor Azam Azih (Pahang) - tidak mendapat pelepasan.

Menurut Shukor, jika masalah jadual padat dijadikan alasan, ia tidak adil buat pasukan lain kerana turut berdepan situasi sama terutama Kedah yang melepaskan enam pemain menyertai skuad B-22.

Dalam pada itu Kim Swee yang akan berlepas ke Bangkok bagi saingan kelayakan Kejohanan AFC B-23, Isnin ini masih menantikan enam pemain berkenaan akan muncul melaporkan diri.

“Pintu buat enam pemain tidak datang ini masih terbuka sebelum saya putuskan senarai yang akan ke Bangkok,” katanya.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2017 @ 3:33 AM

No comments:

Post a Comment