Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Jurulatih skuad
bawah 22 tahun negara (B-22) Datuk Ong Kim Swee mahu semua pihak bersikap
realistik dengan kemampuan anak buahnya yang hanya membuat persiapan ala kadar
untuk mengharungi saingan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC)
B-23 di Bangkok pada 19-23 Julai ini.
Beliau sedar ramai pihak
terutama peminat tempatan mula meletakkan harapan tinggi terhadap pasukan
bimbingannya untuk menyerlah bukan saja pada kempen kelayakan itu, malah Sukan
SEA 2017 Kuala Lumpur bulan depan susulan kemenangan 2-0 ke atas Myanmar yang
juga naib juara Sukan SEA 2015 pada aksi persahabatan antarabangsa Khamis lalu.
Kim Swee berkata, pasukannya
masih dalam keadaan tidak bersedia untuk menghadapi dua kejohanan itu apatah
lagi sehingga semalam, beliau hanya mempunyai 19 pemain untuk berlatih bersama
daripada 26 pemain kesemuanya.
“Macam mana kami nak bersedia
untuk ke Bangkok Isnin ini jika hanya ada 19 pemain berlatih hari ini
(semalam),” katanya.
Selain mengalami kecederaan
tiga lagi pemain - Syazwan Zaipol dari PKNP FC, Nur Shamie Iszuan dan Tommy
Mawat Badu (Sarawak) - terpaksa dilepaskan sementara kerana perlawanan liga.
“Saya cuba melakukan persiapan
taktikal saja dengan pemain yang ada ini. Cuma saya masih menantikan enam
pemain yang tidak mendapat pelepasan sebelum ini selepas perlawanan Liga Super
dengan pasukan masing-masing malam ini (tadi),” katanya.
Enam pemain yang dimaksudkan
itu ialah Matthew Davies dan Nor Azam Azih (Pahang), S Kumaahran dan Syamer
Kutty Abba (Pulau Pinang) serta Haziq Nadzli dan Safawi Rasid (Johor Darul
Ta’zim).
Kim Swee hanya akan mengumumkan
senarai akhir pemainnya ke Bangkok hari ini.
Menurut bekas jurulatih
kebangsaan itu, bukan mudah untuk mereka melepasi halangan peringkat Kumpulan H
Kejohanan AFC B-23 itu apabila berdepan seteru serantau Thailand, Indonesia
serta Mongolia.
“Kita tahu Thailand dan
Indonesia bukan lawan yang mudah dan tidak boleh disamakan dengan Myanmar.
“Liga di Thailand sudah berehat
dan mereka tidak ada masalah untuk berlatih.
“Indonesia juga saya
dimaklumkan sudah seminggu mengadakan latihan pusat di Bali jadi mereka sudah
bersedia,” kata Kim Swee.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 4:37 AM
No comments:
Post a Comment