Ad

Friday, 14 July 2017

Fokus kepada skuad sedia ada

YUSOFF (kanan) mahu Kim Swee mempersiapkan skuad mantap dengan pemain sedia ada bagi menghadapi Kejohanan AFC B-23 di Bangkok minggu depan.

KETUA jurulatih skuad muda negara dinasihatkan supaya memberi tumpuan latihan kepada pemain yang hadir ke kem latihan pusat, kata Timbalan Presiden Persa­tuan Bola sepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi.

“Daripada menunggu sesuatu yang belum pasti, lebih baik tumpukan sahaja kepada pemain yang sedia ada,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di Kota Damansara, Petaling Jaya semalam.

Beliau mengulas situasi malang yang menimpa ketua jurulatih bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee selepas gagal menghimpunkan pemain utama menjelang sai­ngan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok, Thailand pada 19 Julai ini.

Katanya, seramai tujuh pemain baharu sudah dipanggil bagi mengisi kekosongan tersebut dan kini fokus FAM hanya tertumpu kepada usaha mempersiapkan pasukan itu yang turut membawa cabaran negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos depan.

Tujuh pemain baharu itu termasuk Sea Eugene Selvaraj, L. Kalaiharasan, Fauzan Fauzi (Negeri Sembilan), Faridzuean Kamaruddin (Sime Darby), Ahmad Solehin Mamat (Kuala Lumpur), Nur Shamie Iszuan Amin (Sarawak) dan Akhyar Rashid (Kedah).

“Mungkin Kim Swee masih mengharapkan pemain-pemain utamanya itu dapat datang tetapi ia bukan lagi misi utama pasukan. Kita sudah mempu­nyai pemain yang lengkap untuk beraksi di Bangkok, jadi lebih baik kita titikberatkan soal kejohanan.

“Semangat bermain untuk negara itu yang penting. Saya lihat pemain baharu yang kita panggil ini mempunyai sema­ngat juang yang tinggi dan kualiti yang tidak kurang hebat daripada pemain yang dipanggil sebelum ini,” ujarnya.

Pasukan negara yang diundi dalam Kumpulan H dijadualkan bertemu Indonesia pada aksi pembukaan 19 Julai ini dan Thailand (21 Julai) sebelum membuat perhitungan de­ngan Mongolia (23 Julai) untuk melengkap kempen kelayakan tersebut. – Bernama



sumberArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0714&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4mnGuGVTc
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment