Ad

Saturday 22 July 2017

Digantung 18 bulan



Digantung 18 bulan
Dollah Salleh langgar Artikel 88
Nor Azan Fitri Ahmad Hidzir
23 Julai 2017 3:00 AM
KUALA LUMPUR 22 Julai - Tindakan mengkritik mutu pengadilan semasa aksi Liga super mengundang padah buat pengendali Pahang, Dollah Salleh apabila dia dikenakan penggantungan 18 bulan selain denda RM30,000 oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Dollah Salleh
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, tindakan yang berkuatkuasa semalam itu dibuat selepas Dollah didapati melanggar Artikel 61 Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 88 Statut FAM.


Beliau memberitahu, tindakannya membuat kenyataan di ruangan media berhubung isu melibatkan FAM tanpa kebenaran boleh memberi impak negatif terhadap reputasi FAM, selain mengecam pentadbiran hal ehwal badan induk itu.

"Jawatankuasa memutuskan untuk menggunakan Artikel 35 Kod Tatatertib FAM yang mana defendan dikenakan penggantungan sembilan bulan pertama (dari 21 Julai 2017 hingga 20 April 2018) manakala baki sembilan kedua (21 April 2018 hingga 20 Januari 2019) ditangguh.

"Penangguhan itu tertakluk kepada kelakuan baik defendan tetapi jika kesalahan yang sama berulang dalam tempoh 12 bulan selepas penggantungan pertama, maka hukuman penggantungan sembilan bulan kedua akan dikuatkuasakan serta-merta namun rayuan masih boleh dilakukan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Awal bulan ini, Dollah yang juga bekas pengendali skuad kebangsaan dengan lantang mengkritik pengadilan yang disifatkan berat sebelah ketika pasukannya tewas 1-2 kepada Felda United dalam aksi Liga Super.

Sambil menyuarakan kekecewaannya, Dollah merasakan pengadil yang bertugas dalam perlawanan itu, Mohammad Zamzaidi Katimin tidak tahu mengenai undang-undang perlawanan.

Sementara itu, penyerang Felda United, Zah Rahan Krangar digantung enam perlawanan selain denda RM1,000 kerana didapati bersalah meludah muka pemain Pahang dalam aksi Liga Super pada 1 Julai lalu.

Baljit berkata, pemain itu melanggar Artikel 50.1(e) dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM.

"Selepas mengguna pakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM, defendan hanya dikenakan penggantungan dua perlawanan iaitu penggantungan automatik ketika bertemu Sarawak (11 Julai) dan menentang Perak (22 Julai).

"Baki empat perlawanan ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik defendan untuk tempoh enam bulan selepas penggantungan kedua dan hanya keputusan penggantungan boleh dirayu," katanya.

Dalam perkembangan lain, dua pemain Piala Presiden PKNS dan PKNP masing-masing digantung dua perlawanan selain denda RM3,000 selepas berkelakuan ganas pada perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan itu pada 3 Julai lalu.

Pemain PKNP, Muhammad Aizzat Maidin Koty berdepan hukuman atas tindakannya sengaja menendang paha pemain PKNS, Amir Hafiz Mohd. Noor.

Amir Hafiz pula dikenakan hukuman sama kerana menumbuk bahu kiri Muhammad Aizat.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/digantung-18-bulan-1.506062#ixzz4nbecNDFQ

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment