Ad

Saturday 31 May 2014

Simbolik Istiadat Penghulu-Penghulu Luak Menghadap

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA PILAH (Bernama) -- Istiadat Penghulu-Penghulu Luak Menghadap yang menjadi satu daripada warisan budaya dan sejarah dalam pentadbiran beraja di Negeri Sembilan dizahirkan kembali setelah hampir lima tahun tidak diadakan.

Istiadat itu, yang dimulakan sejak 1898, adalah bagi mengulang taat setia Penghulu-Penghulu Luak kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sebagai payung yang memerintah.

Penghulu Luak itu terdiri daripada Penghulu Luak Ulu Muar, Penghulu Luak Terachi, Penghulu Luak Gunung Pasir, Penghulu Luak Jempol dan Penghulu Luak Inas serta luak-luak kecil iaitu Luak Gemenceh dan Luak Air Kuning.

SEJARAH AWAL

Bertempat di Bandar Diraja Seri Menanti, kehadiran ribuan rakyat dari seluruh Negeri Sembilan serta pelancong luar memberi peluang untuk mendekati dan memahami istiadat Penghulu-Penghulu Luak Menghadap. Ia serentak dengan Pesta Persukuan Adat yang diadakan di halaman Istana Lama Seri Menanti, baru-baru ini.

Generasi tua, muda mahupun kanak-kanak datang untuk bersama-sama menyaksikan keunikan istiadat yang menjadi kebanggaan terutama pengamal dan pendukung Adat Perpatih di negeri yang mendapat jolokan Negeri Beradat.

Kali terakhir Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Menghadap diadakan pada 26 Okt, 2009 semasa istiadat Pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sekarang, Tuanku Muhriz ibni AlMarhum Tuanku Munawir.

Mengikut sejarahnya, keputusan mengadakan istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap ini dipersetujui dalam kalangan datuk-datuk penghulu luak pada zaman pemerintahan Tuanku Muhamad pada tahun 1898.

Ketika itu diputuskan istiadat itu akan dilaksanakan setiap tiga tahun sekali, menurut Penyelaras Adat Istiadat Istana Besar Seri Menanti, Datuk Ibrahim Jahaya.

Ujar beliau, ia melibatkan penghulu-penghulu luak tanah mengandung, iaitu penghulu yang menjaga pentadbiran wilayah adat termasuk Istana Besar Seri Menanti, tempat bersemayamnya Yang Dipertuan Besar dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan.

Tujuannya adalah untuk memperbaharui taat setia dalam kalangan penghulu luak yang dipilih oleh anak buah dalam kawasan pentadbiran adat masing-masing, katanya.

"Setelah dilantik oleh anak buah, ada istiadat menyempurnakan perlantikan itu dengan datuk penghulu datang menghadap kepada tuanku serta melafazkan taat setia untuk menjaga pentadbiran adat di luak masing-masing.

"Setiap tiga tahun sekali mereka perlu datang menghadap kepada Tuanku untuk memperbaharui ikrar taat setia itu yang dipanggil Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap," katanya.

ATUCARA ISTIADAT

Selama tiga hari, Istana Besar Seri Menanti menerima kedatangan pemimpin-pemimpin adat yang mewakili anak buah (rakyat), kerabat-kerabat raja yang lengkap berpakaian istiadat, berbaju Melayu, bertanjak serta keris di pinggang.

Ia dimulakan dengan istiadat menurunkan alat-alat kebesaran.

Menurut Ibrahim, ia menjadi satu tatacara wajib yang harus dilakukan setiap kali berlakunya istiadat di Istana Besar Seri Menanti yang melibatkan Yang Dipertuan Besar.

Istiadat dimulakan setelah Yang Dipertuan Besar berkenan untuk menepung tawar dan memeriksa setiap alat kebesaran yang diletakkan di ruang tengah Istana Besar Seri Menanti.

Alat-alat kebesaran itu terdiri daripada lapan payung kuning, lapan keris panjang, lapan pedang panjang, empat panji-panji kuning, dua panji-panji merah, dua panji-panji hitam dan lapan tombak berambu.

Setelah mendapat titah perkenan tuanku, Pegawai 99 yang diketuai Datuk Setia Bijaya kemudian akan memasang alat kebesaran berkenaan di halaman istana.

Baginda turut sama menyaksikan istiadat pemasangan alat kebesaran itu dengan diiringi penghulu-penghulu luak.

Setelah kesemua payung kebesaran dikembangkan, tiga das tembakan meriam dilepaskan bagi menandakan istiadat menurun dan memasang alat kebesaran selamat disempurnakan, katanya.

ISTIADAT BERSIRAM

Pada hari kedua, Istiadat Bersiram pula dijalankan di Panca Persada yang terletak di luar kawasan Istana Besar Seri Menanti. Selain dihadiri Putera Yang Empat, kerabat-kerabat diraja dan kenamaan kerajaan, masyarakat di sekitar Negeri Sembilan turut tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan istiadat penuh sejarah itu.

Ia dimulakan dengan Yang Dipertuan Besar, Tuanku Mukhriz dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, dihela (ditarik) menaiki kenderaan khas Takhta Rencana dari istana ke Panca Persada, sejauh kira-kira 400 meter.

Pegawai 99 yang didahului Datuk Setia Bijaya bersama 20 Pegawai 99 di hadapan, 20 orang di belakang serta 20 orang setiap kiri dan kanan ditugaskan menghela kedua-dua baginda.

Di atas Takhta Rencana pula, tuanku berdua bersemayam dengan diapit kiri dan kanan oleh Datuk Laksamana II yang memegang Padang Sebarau Bujang dan Datuk Kanda Maharaja memegang keris senawi. Manakala Datuk Mangku memegang Payung Kuning dan Datuk Bentara Perempuan membawa kipas keemasan.

Perarakan pada pagi itu, didahului kumpulan rebana sambil bersalawat, kemudian diikuti Pegawai 99 yang membawa alat kebesaran diraja serta dituruti pembawa cepu bedak limau oleh Datuk Raja Penghulu bersama Datuk Menti Laksamana.

Sebaik perarakan dimulakan, tembakan meriam sebanyak lapan das dilepaskan sehingga sampai ke Panca Persada dan tuanku berdua naik ke singgahsana.

Upacara dimulakan dengan Datuk Raja Penghulu yang membawa cepu bedak limau menyerahkannya kepada Datuk Menti Laksamana untuk diletakkan di atas meja di hadapan Yang Dipertuan Besar dan Tuanku Ampuan Besar.

Orang Empat Istana kemudian memulakan tujuh pusingan sambil membawa cepu bedak limau dengan mengelilingi tuanku berdua. Selesai pusingan itu, cepu bedak limau dipersembahkan kepada tuanku berdua dimulai oleh Datuk Seri Amar Diraja, Datuk Raja Diwangsa, Datuk Penghulu Dagang dan Datuk Akhir zaman secara bergilir-gilir dan tuanku berdua mencelup tangan setiap kali dipersembahkan.

Selesai istiadat itu, lapan das tembakan meriam dilepaskan bagi mengiringi perarakan keberangkatan balik tuanku berdua menaiki Takhta Rencana.

Ibrahim berkata mungkin ramai yang beranggapan adat bersiram itu sama seperti adat bersiram ketika majlis perkahwinan. Hakikatnya sangat berbeza, yang mana adat bersiram semasa perkahwinan dikenali sebagai adat bersiram mandi-manda. Manakala adat bersiram yang dijalankan oleh tuanku berdua adalah sebagai acara simbolik bagi menyucikan diri.

ISTIADAT MENGHADAP

Hari ketiga pula berlangsungnya kemuncak keseluruhan Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Menghadap yang diadakan secara tertutup di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti.

Yang Dipertuan Besar dan Tuanku Ampuan yang bersemayam di singgahsana diapit oleh Tuanku Besar Seri Menanti dan Tuanku Muda Serting di sebelah kanan manakala Tuanku Laksamana, Tuanku Panglima Besar di sebelah kiri.

Sebaik Datuk Bentara Dalam mengisytiharkan istiadat Penghulu Luak dizahirkan, sebanyak 11 das tembakan meriam dilepaskan.

Datuk Penghulu Luak Ulu Muar mendahului menghadap dengan berkesot naik sebanyak tujuh tangga ke singgahsana. Apabila sampai di atas sekali, beliau mencium tangan Yang Dipertuan Besar sebanyak tiga kali sebelum berkesot untuk turun dari singgahsana.

Lafaz kemudian dibacakan dengan menzahirkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada Yang Dipertuan Besar sebagai payung adat dan negeri.

Upacara itu kemudian dituruti oleh penghulu-penghulu Luak Terachi, Luak Gunung Pasir, Luak Inas dan Luak Jempol serta Luak Gemenceh dan Air Kuning.

"Inilah acara kemuncaknya bagi Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap yang cukup istimewa serta perlu dihayati sebagai tanda taat setia rakyat kepada raja.

"Nilai-nilai ini yang ingin diterapkan terutama kepada generasi muda hari ini dalam usaha memperkenalkan keindahan Adat Perpatih," katanya.

PENGALAMAN BAHARU

Bukan sahaja generasi muda, kebanyakan masyarakat di Negeri Sembilan semakin hari meminggirkan Adat Perpatih dalam kehidupan mereka.

Tidak menghairankan, ada segelintir di beberapa daerah di Negeri Sembilan telah hilang identii adat dan budaya yang dipegang selama ini.

Bagi Shahara Akmal Shahril, 19, dari Kampung Terachi, Pesta Persukuan Adat dan Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap yang diadakan itu memberi satu pendedahan baharu mengenai nilai-nilai murni serta keunikan yang terdapat dalam Adat Perpatih.

"Saya datang ke sini untuk mengetahui lebih lagi tentang Adat Perpatih. Saya rasa orang di Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Perpatih patut berbangga dengan adat dan budaya yang dimiliki.

"Persepsi negatif masyarakat luar terhadap Adat Perpatih disebabkan ketidakfahaman mengenai adat itu. Pendedahan melalui Pesta Persukuan Adat dan istiadat yang dijalankan ini sedikit sebanyak boleh membuka mata dan menjelaskannya", katanya.

Sementara itu, seorang daripada pelancong dari Medan, Indonesia, Syafizal S.Sos yang berpeluang menyaksikan istiadat bersiram turut mengakui keunikan adat yang dirasakan dekat di hatinya.

Keramahan masyarakat di sini membuatkan beliau seperti berada di kampung halaman sendiri selain adat dan istiadat yang tidak banyak berbeza.

"Memang tidak jauh seni dan budaya yang ada di Negeri Sembilan. Istiadat yang ada cukup indah dan unik untuk dikongsi bersama pelancong yang datang," katanya.


sumber-- BERNAMA

The Settlers pahat sejarah

 
Oleh FADHILUL IZMEL ISHAK
sukan@utusan.co.my

Indra Putra Mahayuddin dan rakan-rakan sepasukan meraikan kejayaan mara ke final Piala FA selepas menyingkirkan Kelantan di Stadium Shah Alam, malam tadi. MINGGUAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH
SHAH ALAM - Felda United memahat sejarah apabila menempah pertemuan akhir Piala FA menentang Pahang, Sabtu depan selepas mengejutkan gergasi bola sepak tempatan, Kelantan pada separuh akhir di Stadium Shah Alam, semalam.

Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 2-2 dan kedua-dua pasukan terikat menerusi agregat 5-5, namun skuad Sang Peneroka atau turut dikenali sebagai The Settlers layak menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Kejayaan mengikat Kelantan 3-3 pada separuh akhir pertama di Kota Bharu pada 6 Mei lalu, menjadi kunci kejayaan skuad The Settlers melangkah ke Stadium Bukit Jalil dalam final yang penuh berprestij, minggu depan.

Turun dengan status pasukan Liga Perdana tidak sedikit pun mengurangkan keyakinan Felda untuk menyaingi reputasi besar Kelantan.

Sebaliknya sokongan padu yang diberikan lebih 5,000 penyokong setia telah menaikkan semangat mereka.

Kelantan dikejutkan oleh Felda United selepas pemain berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-20.

Indra menanduk bola yang ditepis penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat ketika cuba menyelamatkan percubaan kapten The Settlers, Mohd. Shukor Adan.

Namun kedudukan itu tidak kekal lama selepas pemain jersi 23, Mohd. Izuan Rosli menyamakan kedudukan apabila rembatannya gagal ditahan dengan kemas oleh penjaga gol Felda, Mohd. Farizal Harun.

Penyokong Kelantan semakin gembira selepas pemain kebangsaan Liberia, Francis Forkey Doe meletakkan pasukan kesayangan mereka di hadapan apabila dia berjaya merembat bola tepat ke gawang gol selepas gagal dikawal rapi oleh benteng pertahanan Felda.

Permainan bertambah rancak apabila kedua-dua pasukan membuat asakan bertalu-talu sehingga pemain import Felda, Edward Junior Wilson menyumbat gol cantik dari luar kotak penalti meletakkan pasukannya seri 2-2 sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada babak kedua, jurulatih Kelantan, George Boateng melakukan perubahan teknikal dengan mengukuhkan jentera pertahanan apabila memasukkan Nik Mohd. Shahrul selepas mengeluarkan Mohd. Nazri Ahmad pada minit ke-58.

Jurulatih Felda, Irfan Bakti Abu Salim membuat dua pertukaran dengan mengeluarkan Makeche Ndumba dan Mohd. Raimi Mohd. Noor untuk diganti oleh K.Thanaraj dan Ahmad Syamim Yahaya bagi melancarkan corak permainan pasukannya.

Pencarian gol semakin sukar apabila kedua-dua pasukan saling menampilkan corak pantas dan memiliki peluang sama rata.

Felda kini mengikut jejak Sime Darby yang menjadi pasukan berstatus kelab pertama berjaya melayakkan diri ke final Piala FA pada 2012.
RUJUKAN-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140601/su_01/iThe-Settlersi-pahat-sejarah#ixzz33MA45vQr © Utusan Melayu (M) Bhd

Friday 30 May 2014

PEMETERAIAN HUBUNGAN DIPLOMATIK MALAYSIA DAN REPUBLIK RAKYAT CHINA

Pada  hari  ini  31.5 dalam  tahun 1974,   Perdana  Menteri  Tun  Razak  mewakili  kerajaan  Malaysia  telah  menandatangani  perjanjian  hubungan  diplomatik  di antara  kerajaan  Malaysia  dan  Republik  Rakyat  China  yang  diwakili oleh  Perdana  Menterinya , Chou  En  Lai.  Upacara  yang  penuh  bersejarah  bagi  kedua-dua  buah  negara itu  telah  dimeterai  di Peking.  Perdana  Menteri  Republik  Rakyat  China,  dalam  ucapannya  pada  majlis itu mengalu-alukan  pengukuhan  hubungan yang  telah terjalin sejak lebih dua ribu  tahun lamanya.  Tun Abdul Razak,  telah merintis semula usaha ke arah terjalinnya kembali  hubungan  secara  rasmi  ini,  dalam  ucapannya   beliau  telah   melahirkan  harapan   agar  segala  rintangan  fizikal  yang  wujud  selama  ini  diantara kedua-dua  buah  negara  dapat  dihapuskan  dan  tali  perhubungan  dapat  diteruskan. Berikutan daripada perubahan dasar luar Malaysia ini, adalah selaras dengan dasar negara-negara lain di Asia  Tenggara  iaitu  membebaskan  rantau  ini  daripada  ancaman perang  yang  berpanjangan.  Sesungguhnya sepanjang 50 tahun  kemerdekaan negara  Malaysia sentiasa berusaha untuk  terus menjalinkan  jalinan persaudaraan dan  muhibbah dengan pemimpin dari negara-negara serantau.

Felda mahu pastikan Kelantan merana

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
 
IRFAN berharap agar pemainnya selesaikan urusan dengan Kelantan dalam tempoh 90 minit.

PASUKAN berstatus kelab, Felda United hanya selangkah untuk mara ke pentas final Piala FA buat kali pertama ketika melayan kunjungan juara bertahan, Kelantan dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam, malam ini.

Atas kertas, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim memiliki kelebihan berdasarkan peraturan gol di tempat lawan apabila berjaya mengikat The Red Warriors seri 3-3 di Kota Bharu awal bulan ini.

Justeru, beliau optimis skuad kendaliannya mampu menjinakkan Kelantan sekali gus mara ke pentas final buat kali pertama, selain percaya pemenang malam ini juga bakal ditentukan dalam tempoh 90 minit masa sebenar permainan.

"Kami memiliki kelebihan dua gol di tempat lawan, jadi saya optimis perlawanan ini tidak akan diheret ke masa tambahan.

"Keputusan seri 1-1 dan 2-2 mungkin boleh berlaku (malam ini), tetapi agak mustahil perlawanan itu bakal berakhir dengan keputusan seri 3-3 sehingga memaksa perlawanan dilanjutkan mahupun ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

"Jadi, saya berharap para pemain mampu menamatkan cabaran Kelantan dalam tempoh 90 minit masa sebenar perlawanan," katanya kepada Kosmo! semalam.

Irfan juga kekal tenang dan mahu barisan pemain The Settlers beraksi tanpa sebarang tekanan biarpun menjangkakan serangan bertali-arus yang bakal dilancarkan pasukan pelawat malam ini.

"Sudah tentu Kelantan akan menyerang habis-habisan bagi memburu gol awal.

"Cuma harus diingat, kami juga tidak akan bertahan sepanjang masa.

"Justeru, saya harap pemain dapat memburu gol awal sekali gus mengurangkan sebarang tekanan untuk mara ke final," katanya.

Irfan berkata, ketiadaan dua tonggak utama The Settlers, Shahrulnizam Mustapha dan Zah Rahan Krangar ekoran kecederaan lutut dan penggantungan kad kuning kedua juga tidak menjejaskan percaturan beliau kali ini.

"Saya masih memiliki pemain berkualiti seperti Shukor Adan yang mampu menguasai jentera tengah dengan berkesan.

"Soal sama ada bertemu Pahang mahupun Johor Darul Takzim juga bukan menjadi keutamaan kami buat masa ini, sebaliknya kami harus menewaskan Kelantan terlebih dahulu sebelum mencongak siapa lawan di final kelak," jelas beliau.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com. 31.5.14

'Ada sesuatu yang tidak kena'

 
SARAVANAN (tengah) ditemubual oleh wartawan ketika meninjau insiden bumbung kanvas yang terkoyak di Pusat Akuatik, Kompleks Sukan Negeri, Kangar semalam.

"BERHATI-HATI memilih kontraktor." Itu jawapan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan ketika diajukan pertanyaan mengenai insiden bumbung kanvas di Pusat Akuatik di Kompleks Sukan Negeri, Kangar terkoyak kelmarin.

Bagaimanapun, Saravanan tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak termasuk kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis ekoran insiden itu yang dilihat merencatkan sedikit perjalanan temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2014 ketika ini.

"Saya telah meminta JKR (Perlis) mengkaji dahulu apa sebenarnya punca masalah ini (bumbung kanvas terkoyak) berlaku. JKR (Perlis) harus mengenal pasti masalah ini berpunca daripada hujan atau sebab-sebab lain.

"Buat masa ini, masih terlalu awal untuk saya menyalahkan mana-mana pihak. Biar JKR (Perlis) buat kerja mereka. Ini (insiden bumbung kanvas terkoyak) sebab hujan atau kualiti (kanvas) yang rendah," jelas Saravanan ketika ditemui pemberita di Pusat Akuatik semalam.

Mengakui kecewa dengan kontroversi terbaharu di Pusat Akuatik itu, Saravanan turut menegaskan, beliau tidak boleh menerima alasan insiden tersebut berlaku disebabkan hujan sehingga menyebabkan bumbung kanvas terkoyak dua.

"(Seperti) ada sesuatu yang tidak kena. Masalah ini hanya berlaku di sini (Pusat Akuatik) dan bukannya di setiap venue (Sukma 2014)," tegas Saravanan yang enggan membuat andaian bahawa insiden itu berpunca daripada unsur-unsur sabotaj.

Terdahulu, Saravanan ditemani Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong, Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo serta pihak sekretariat Sukma 2014 melakukan lawatan kira-kira 40 minit di Pusat Akuatik itu.

Zolkples dan Beng Choo turut memberi penerangan kepada Saravanan mengenai insiden tersebut sehingga menyebabkan 10 acara renang final terpaksa ditangguhkan 30 minit bagi membolehkan pihak kontraktor membuka kesemua bumbung kanvas itu.

Insiden itu terjadi selepas kira-kira 10 minit hujan pada pukul 2.05 petang semalam, sehingga menyebabkan kanvas itu terkoyak di bahagian tengah kerana tidak dapat menampung lebihan takungan air.

"Saya berterima kasih kepada MSN, JKR (Perlis) kerana dapat menguruskan situasi ini dengan baik. Apa yang paling penting, aspek-aspek keselamatan harus menjadi keutamaan,'' ujar Saravanan.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com. 31.5.14


Pahang musnahkan Johor DT

Oleh IKHWAN IDERIS
ikhwan.ideris@kosmo.com.my
 
FAIZOL (kanan) muncul wira Pahang selepas menjaringkan gol kemenangan pasukannya pada aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Johor DT di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

PASUKAN berstatus bintang, Johor Darul Takzim (Johor DT) rebah di kaki Tok Gajah apabila tewas 0-1 pada aksi separuh akhir kedua kempen Piala FA 2014 di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan Pahang melangkah bergaya ke final dengan kelebihan agregat 2-1 selepas terikat seri 1-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hasan Yunos Larkin, Johor Bahru pada 5 Mei lalu.

Peluang beraksi di gelanggang sendiri malam tadi dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak buah Zainal Abidin Hassan itu yang tampil dengan aksi mantap di hadapan lebih 32,000 penyokong fanatik mereka.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan Mohd. Faizol Hussain pada minit ke-81, sekali gus mengesahkan Pahang ke final.

Pahang bakal bertemu pemenang antara Kelantan dengan Felda United yang akan turun membuat perhitungan di Stadium Shah Alam malam ini.

Final dijadualkan berlangsung pada 7 Jun nanti sementara tempatnya akan ditentukan kemudian.

Kali terakhir pasukan Pahang menjulang Piala FA ialah pada tahun 2006.

Pada perlawanan malam tadi, kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan pantas dan memiliki peluang sama rata untuk menghasilkan jaringan.

Namun, penyudah yang kurang kemas menafikan mereka untuk memecah kebuntuan.

Tok Gajah mendapat peluang terbaik untuk membuka jaringan menerusi R. Gopinathan pada minit keenam, namun percubaannya tersasar.

Skuad Harimau Selatan turut memperoleh peluang untuk melakukan jaringan menerusi penyerang import, Luciano Gabriel Figueroa namun tandukannya hasil sepakan sudut daripada Safiq Rahim pada minit ke-14 mudah dibaca penjaga gol Pahang, Mohd. Khairul Azhan Khalid.

Kedudukan seri tanpa jaringan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua, jurulatih Johor DT, Bojan Hodak melakukan perubahan taktikal dengan memasukkan Safee Sali bagi menggantikan Amirul Hadi Zainal, namun perubahan tersebut tidak membawa kelebihan kepada pasukan pelawat.

Gol yang dinanti-natikan akhirnya hadir pada minit ke-81 dan Mohd. Faizol mudah menyempurnakannya menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti yang terus menerjah di penjuru kiri gawang lawan.

Selepas itu, Pahang terus bertahan bagi memastikan kedudukan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com. 31.5.14

Penyokong buat kacau lagi

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA dan SHAHRINNAHAR LATIB
sukan@utusan.com.my
 
Anggota polis mengawal keadaan di luar perkarangan stadium yang sedikit kecoh setelah penyokong Pahang membaling molotov cocktail sejurus bas yang membawa penyokong JDT meninggalkan Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN
KUANTAN - Kejayaan Pahang melangkah ke final Piala FA sedikit tercemar gara-gara tindakan penyokong membaling molotov cocktail ke arah bas Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak lama selepas Tok Gajah meraikan kemenangan 1-0 di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Dua lelaki berumur lingkungan 30-an itu dipercayai membaling molotov cocktail ke arah bas yang membawa penyokong JDT sejurus tamat aksi separuh akhir dua Piala FA.

Dalam perlawanan itu pemain tengah Tok Gajah, Mohd. Faizol Hussain muncul wira Pahang apabila percubaannya pada minit ke-81 dari luar kotak penalti menerjah ke penjuru kanan gawang menewaskan penjaga gol JDT, Izham Tarmizi Roslan.

Jaringan tunggal Faizol itu menggegarkan lebih 30,000 penyokong Tok Gajah, sekali gus melayakkan Pahang ke perlawanan akhir Piala FA dengan agregat 2-1.

Kali terakhir Pahang muncul juara piala prestij ini pada 2006 dan kali ini skuad Tok Gajah bakal beraksi menentang sama ada Felda United ataupun Kelantan pada pentas final yang dijadualkan berlangsung pada 7 Jun depan di Stadium Bukit Jalil.

Namun, kejadian di luar stadium selepas tamat perlawanan mencemarkan kegembiraan peminat tuan rumah.

Bagaimanapun mujurlah, tiada kecederaan berlaku dan polis bertindak cepat dengan menahan individu berkenaan untuk siasatan lanjut.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu bagaimanapun tidak menyebabkan kekecohan dan penyokong JDT berjaya pulang dengan selamat.

Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut.

Bermulanya separuh masa pertama, Pahang terlebih dahulu memulakan asakan ke kubu JDT, namun beberapa peluang yang diperolehi gagal dimanfaatkan oleh anak buah Zainal Abidin Hassan.

Skuad Harimau Selatan mendapat peluang pada minit ke-74 namun sepakan percuma yang diambil Luciano sekadar melencong ke kiri gawang tuan rumah.

Yang turut hadir menyaksikan perlawanan itu, Tengku Muda Pahang yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pada 5 Mei lalu, kelebihan beraksi di depan ribuan penyokong sendiri gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh JDT apabila membenarkan Pahang memperoleh kelebihan gol di tempat lawan dalam aksi separuh akhir pertama yang berkesudahan 1-1.
RUJUKAN-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140531/su_01/Penyokong-buat-kacau-lagi#ixzz33FhX6ScL © Utusan Melayu (M) Bhd

Pasukan Malaysia dalam Liga Juara-juara

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
PETALING JAYA - Sebuah pasukan dari Liga Malaysia bakal beraksi dalam Liga Juara-juara pada 2015, dengan satu slot playoff diperuntukkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Bagaimanapun, itu hanya akan berlaku jika proses pelesenan di bawah kendalian AFC berjalan lancar.

Penolong Setiausaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Lazarus Xavier berkata, semua kelab diminta menghantar lengkap permohonan lesen kepada AFC selewat-lewatnya 31 Oktober ini dengan mematuhi lima kriteria utama iaitu pengurusan sukan, pentadbiran, undang-undang, infrastruktur dan kewangan.

Selain daripada itu, Lazarus menjelaskan tidak pernah wujud istilah pemberian gred terhadap mana-mana liga oleh AFC dan itu bukan menjadi punca mengapa pasukan dari Liga Malaysia tidak pernah bersaing dalam Liga Juara-juara Asia.

"FAM meletakkan sasaran agar ada sebuah pasukan dari Liga Malaysia akan bermain dalam slot playoff Liga Juara-juara pada 2015 dan langkah pertama yang perlu diambil bagi memastikan ada pasukan kita layak bersaing adalah mereka perlu memohon lesen daripada AFC.

"Setakat ini, maklum balas yang ditunjukkan oleh wakil-wakil dari setiap pasukan sepanjang seminar yang diadakan hari ini (semalam) begitu positif namun terlalu banyak kerja mesti dilakukan sebelum hasrat itu mampu direalisasikan.

"Buat masa ini, 24 pasukan layak bersaing dalam Liga Juara-uuara dan kelab dari Malaysia tidak boleh mendapat slot secara terus sebaliknya perlu bersaing dalam playoff.

"Jika pasukan ini terkandas di peringkat playoff, mereka tetap mendapat slot bermain dalam Piala AFC bersama-sama sebuah pasukan lain dari Malaysia yang mendapat kelayakan automatik.

"Sama ada juara Liga Super atau Piala FA yang akan mendapat slot berkenaan, itu terpulang kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan yang baharu untuk tentukan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas bengkel FAM-AFC mengenai pelesenan sesebuah kelab, yang turut dihadiri Pengerusi Kajian dan Sokongan AFC, Steve Tae H. Kim dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Mengulas mengenai tanggapan sesetengah pihak yang melabelkan Liga Malaysia berada dalam Gred D, Lazurus hairan dari mana maklumat tersebut datang kerana AFC tidak pernah mengadakan sistem penggredan untuk mana-mana liga.

"Di AFC tidak pernah ada Gred A, B, C atau D, hanya ranking berdasarkan pertandingan anjuran AFC sahaja menjadi penilaian kami.

"Hanya melalui pelesenan kelab di bawah AFC, itu yang sentiasa menjadi penghalang kepada mana-mana pasukan dari negara ini apabila mahu beraksi dalam Liga Juara-juara Asia.

"Perkara ini boleh menjadi penghalang kepada mana-mana pasukan untuk bermain di peringkat playoff. Sekiranya menjuarai Liga Super atau Piala FA sekali pun tetapi tidak memohon lesen, mereka tidak layak dan slot itu akan diberikan kepada pasukan kedua terbaik serta mempunyai lesen daripada AFC.

"Kami menyasarkan sekurang-kurangnya enam pasukan dari Liga Super mempunyai lesen daripada AFC pada musim hadapan," katanya.

Tambah Lazarus, masalah stadium berkelas A untuk digunakan dalam saingan Liga Juara-juara bukan menjadi satu bebanan kerana Malaysia mempunyai dua stadium yang boleh digunakan pada bila-bila masa iaitu Stadium Nasional di Bukit Jalil dan Stadium Shah Alam.

"Setiap pasukan tidak perlu mempunyai stadium sendiri yang diiktiraf berkelas A memandangkan kita sudah ada di Bukit Jalil dan Shah Alam, itu pun sudah cukup bagi mana-mana pasukan mendapatkan lesen," katanya.
SUMBER-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140530/su_01/Pasukan-Malaysia-dalam-Liga-Juara-juara#ixzz33EEN21Y3

© Utusan Melayu (M) Bhd

Pahang mara ke final Piala FA

KUANTAN 30 Mei - Jaringan tunggal Faizol Hussein pada minit ke-81 membawa Pahang melangkah ke perlawanan akhir Piala FA selepas menundukkan Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-0 pada separuh akhir kedua di Stadium Darul Makmur di sini, sebentar tadi.

Pahang mara menerusi angregat 2-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada separuh akhir pertama.

Pahang, juara Piala Malaysia kini akan menentang pemenang di antara penyandang juara, Kelantan atau Felda United yang berentap pada satu lagi separuh akhir esok. –

RUJUKAN-UTUSANONLINEArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140530/su_11/Pahang-mara-ke-final-Piala-FA#ixzz33EBhdOlH  © Utusan Melayu (M) Bhd

PERLAWANAN SUKU AKHIR PIALA FA 2014

oleh- AHMAD BIN YAAKOB

Separuh Akhir Perlawanan Kedua
30 Mei 2014 (Jumaat)
 Pahang            1-0    Johor Darul Takzim FC           8.45mlm, Stadium Darul Makmur
 m-81' Faizol Hussein

Pahang layak ke final selepas menewaskan JDT 1-0 dengan agg 2-1

PERLAWANAN SUKU AKHIR PIALA FA 2014


Separuh Akhir Perlawanan Kedua
30 Mei 2014 (Jumaat)
33        Pahang            mln      Johor Darul Takzim FC           8.45mlm, Stadium Darul Makmur
31 Mei 2014 (Sabtu)
34        KL Felda United FC  mln      Kelantan          8.45mlm, Stadium Shah Alam