Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my
BARISAN pemain Kelantan
bertekad untuk menampilkan aksi lebih kemas, sekali gus meledakkan gol awal
pada pertemuan separuh akhir kedua Piala FA 2014 menentang Felda United di
Stadium Shah Alam malam esok.
Ketua pasukan, Mohd. Badhri
Radzi atau Piya berkata, Kelantan sangat memerlukan jaringan awal sebagai
suntikan motivasi buat pemain-pemain pada perlawanan tersebut.
Menurutnya, jaringan itu amat
penting dalam usaha mencerahkan peluang skuad The Red Warriors mencipta sejarah
mara ke pentas final sebanyak empat kali sejak 2009.
"Menentang Felda United
bukanlah tugas mudah buat saya dan rakan-rakan sepasukan kerana mereka
mempunyai barisan pemain yang cukup kuat.
"Kami tidak boleh kalah
dalam perlawanan itu. Jadi, saya dan rakan-rakan akan berusaha mendapatkan jaringan
awal sebagai suntikan motivasi kepada pasukan," katanya ketika di hubungi
Kosmo! semalam.
Pada aksi separuh akhir pertama
7 April lalu, Kelantan seri 3-3 dengan Felda United di Stadium Sultan Muhammad
IV.
Piya memberitahu, rakan-rakan
sepasukan di posisi pertahanan perlu merantai kelibat dua pemain skuad The
Settlers iaitu Indra Putra Mahyudin dan Edward Junior Wilson kerana dua tonggak
ini cukup bahaya seandainya diberikan ruang dan peluang pada perlawanan
tersebut.
"Kami perlu jaga Indra
kerana dia faham permainan Kelantan, sentuhan dia cukup berbisa dan ia telah
dibuktikan pada aksi separuh akhir pertama lalu," ujarnya.
Piya berkata, pentas Piala FA
sangat penting buat pasukan itu dalam misi memulihkan semula kepercayaan
penyokong setelah skuad The Red Warriors mempamerkan rekod kurang cemerlang
musim ini dalam saingan Liga Super.
Katanya, Kelantan perlu menang
pada pertemuan ini kerana ia merupakan peluang terbaik untuk mengekalkan
kejuaraan piala FA.
"Selain itu, ia merupakan
medan terbaik untuk kami memburu kejuaraan musim ini kerana peluang untuk
memburu kejuaraan Liga Super kelihatan semakin tertutup," ujarnya.
Menurut Piya, skuad The Red
Warriors menerima khabar gembira apabila dua penyerangnya iaitu Francis Forkey
Doe dan Ahmad Shakir Mohd. Ali dilaporkan cergas.
"Forkey Doe dan Shakir
telah cergas untuk perlawanan dan boleh beraksi Sabtu ini, kehadiran dua pemain
ini mampu menajamkan jentera serangan Kelantan," jelasnya.
RUJUKAN-KOSMO ONLINE 30.5.14
No comments:
Post a Comment