MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
23 Mei 2014
Mohd Badhri (kiri) menjalani
latihan bersama rakan sepasukannya di Stadium Sultan Muhammad IV bagi persiapan
bertemu T-Team di Kuala Terengganu, malam esok. Foto oleh KHIRU SHALEH ABDULLAH
Mohd Badhri (kiri) menjalani latihan bersama rakan sepasukannya di Stadium
Sultan Muhammad IV bagi persiapan bertemu T-Team di Kuala Terengganu, malam
esok. Foto oleh KHIRU SHALEH ABDULLAH
"TANPA penyerang import
sekali pun itu bukan masalah buat kami." Itu kata Ketua Pasukan The Red
Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi menjelang pertemuan menentang T-Team pada
saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu,
malam esok.
Ada kemungkinan buat Kelantan untuk merehatkan
Francis Forkey Doe dan Prince Tagoe, sekali lagi atas faktor gagal mencapai
tahap kecergasan namun, Mohd Badhri tidak melihat ketiadaan dua awang import
itu memberi kesan prestasi pasukannya.
Sebaliknya, Mohd Badhri atau dikenali Piya,
yakin kemampuan jentera penggempur tempatan diterajui Mohd Khairul Izuan Rosli
yang dilihat semakin berbisa sejak kebelakangan ini, mampu menghadirkan
keputusan positif apabila berdepan skuad kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah
itu.
“Saya tidak pasti sama ada jurulatih (George
Boateng) ada perancangan menurunkan dua penyerang import, Forkey Doe dan Tagoe
tetapi tanpa mereka sekalipun, kami tiada masalah berdepan T-Team.
“Tambahan pula, Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad
Shakir Md Ali semakin pulih daripada kecederaan, dan kehadiran mereka pasti
memberi banyak pilihan buat jurulatih mencongak strategi jentera serangan
pasukan kami,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Perancang tengah Kelantan itu berkata, dia
tetap menagih sumbangan penyerang kelahiran Liberia dan Ghana itu jika
kedua-duanya dalam pengendali baharu pasukannya pada pertemuan tersebut.
Mengenai sasaran Kelantan berkunjung ke Kuala
Terengganu, Mohd Badhri memberitahu, pasukannya mahu mengekalkan momentum
kemenangan dengan meraih tiga mata, namun sedar ia bukan satu tugas mudah
selepas berjaya mengalahkan Perak di tempat sendiri minggu lalu.
“Menang 3-0 (pusingan pertama) tidak bermakna
kami boleh kalahkan T-Team sekali lagi, lebih-lebih lagi kena bermain di tempat
mereka.
"Sejak dua musim lalu,
Kelantan sentiasa bermasalah mengalahkan mereka, kalau kami menang pun hanya
dengan jaringan tipis,” katanya.
Malah jeneral padang berusia 32 tahun itu mengakui,The
Titans yang kecundang 1-2 kepada Angkatan Tentera Malaysia dalam perlawanan
lalu, pasti bermotivasi tinggi.
“Kami tetap menghormati T-Team dan tidak
memandang rendah kemampuan mereka.
"Saya sedar mereka
bergelut keluar dari zon penyingkiran dan kemenangan ke atas Kelantan cukup
penting buat mereka kekal dalam saingan Liga Super depan,” katanya.
RUJUKAN-SINAR HARIAN ONLINE
23.5.14
No comments:
Post a Comment