Daripada NORZIE MOHD. KHASBI
BAM seharusnya telah memiliki
pengganti Lee Chong Wei kerana usianya semakin meningkat dan mungkin tidak
bermain selepas Olimpik Rio.
NEW DELHI - Tiada siapa pada
mulanya memberi harapan kepada Malaysia untuk membawa pulang Piala Thomas di
India kerana pasukan negara hadir selaku skuad paling lemah, namun selepas
berjaya melangkah ke final dengan menundukkan beberapa pasukan gergasi seperti
Indonesia, Denmark dan Korea Selatan harapan itu tiba-tiba naik memuncak.
Daripada pasukan yang tidak
diberi perhatian, skuad Piala Thomas mencetus fenomena di tanah air sehinggakan
sebuah stesen televisyen 'dipaksa' mengadakan siaran langsung pertemuan
menentang Jepun kelmarin.
Di Facebook dan Twitter pula,
perlawanan itu menenggelamkan beberapa perkara penting lain yang berlangsung
pada hari yang sama.
Selepas 22 tahun tidak merasa
nikmat bergelar juara, rakyat Malaysia tiba-tiba terbayangkan Piala Thomas
dalam dakapan sebelum akhirnya semua impian mereka dihancurkan oleh Jepun -
sebuah pasukan yang sebelum ini hanya dipandang sebelah mata - dalam final
yang penuh drama, sengit dan berakhir dengan keputusan skuad negara kalah 2-3.
Kekalahan itu menghancurkan
hati berjuta rakyat Malaysia, walaupun sebahagian daripada mereka pada awalnya
mungkin tidak mengambil peduli terhadap perkembangan badminton negara.
Ternyata, skuad yang diketuai
oleh jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei itu berjaya meninggalkan kesan
besar kepada rakyat negara ini. Biarpun gagal pulang bersama kejuaraan yang
sememangnya tidak disasarkan, persembahan dan keyakinan yang ditunjukkan mereka
sepanjang hampir dua minggu di New Delhi benar-benar mencuri tumpuan.
Chong Wei Feng dan dua
kombinasi pecahan, Goh V ShemTan Wee Kiong serta Tan Boon Heong-Hoon Thien How
paling menjadi sebutan, manakala Liew Daren yang dikritik kerana mempamer aksi
tidak bermaya di awal persaingan, akhirnya memulihkan maruah selepas berusaha
sedaya mungkin sebelum akhirnya tumpas 12-21, 21-18, 17-21 kepada lawan yang
berada di ranking 25, Takuma Ueda dalam perlawanan penentuan sebelum akhirnya
kalah.
Fenomena Piala Thomas yang
melanda Malaysia seharusnya membuka mata Persatuan Badminton Malaysia (BAM), biarpun
Sukan Olimpik di Rio dua tahun dari sekarang menjadi tumpuan utama, kepentingan
trofi berpasukan dunia itu juga tidak boleh diketepikan.
Jika mereka benar-benar serius
untuk membawa pulang gelaran, perancangan lebih tersusun sepatutnya sudah
dimulakan dari sekarang.
Bayangkan kalau dengan hanya
mengadakan kem latihan 10 hari saja pasukan negara sudah berjaya menjejakkan
kaki ke final dan menewaskan Indonesia, Denmark dan Korea Selatan, keputusan
mungkin akan menjadi lebih baik sekiranya mereka melakukan persiapan lebih
serius serta insentif.
Selain Chong Wei, pemain-pemain
lain seperti Wei Feng, V Shem-Wee Kiong serta Boon Heong-Thien How juga mampu
menjadi penyumbang utama mata, dan perkembangan ini sebenarnya menjanjikan
harapan kepada Malaysia apabila kejohanan ini kembali dua tahun lagi.
Seandainya Chong Wei memilih
untuk tidak beraksi pada 2016, Wei Feng dan Daren harus dipersiapkan untuk
menggalas tanggungjawab perseorangan utama.
Pemain muda seperti Goh Soon
Huat, Misbun Ramdan Misbun, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Zulfadli Zulkifli
pula perlu bersedia memainkan peranan seperti Kento Momota dan Ueda untuk
pasukan Jepun, Soo Hwang Jong dalam skuad Korea Selatan dan Viktor Axelsen
untuk Denmark.
Kalau melihat kepada barisan
sedia ada, mungkin peluang untuk membawa pulang kejuaraan pada 2016 masih
dianggap mustahil, tetapi tempoh dua tahun dari sekarang masih panjang.
Seandainya pemain-pemain muda berjaya dibangunkan serta dipersiapkan dengan
baik, tidak mustahil skuad itu akan lebih mantap daripada yang ada.
Sebahagian daripada mereka
sudah menimba pengalaman dan mula menunjukkan kematangan, sebahagian lagi
membuktikan mereka ada bakat tetapi belum mencapai tempoh matang, manakala
dalam kalangan pemain beregu seperti Ow Yao Hao mereka bersedia mengambil alih
tempat senior seandainya ada yang tidak menyerlah dalam tempoh dua tahun ini.
Biarpun Chong Wei, yang
menundukkan Kenichi Tago 21-12, 21-16 dalam aksi pembukaan kelmarin, masih
kekal sebagai satu-satunya peraih kejuaraan buat Malaysia, namun keupayaan
pemain lain juga sudah boleh diberi perhatian terutama menjelang Sukan Asia
dan Sukan Komanwel tahun ini. - UTUSAN
RUJUKAN
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140527/su_03/Siapa-ganti-Chong-Wei-pada-2016#ixzz32rTM7Qml
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment