Oleh Mohd Firdaus Hashim
Kuala Lumpur: Empat muka lama
dan seorang pemain junior yang disisihkan daripada Kejohanan Hoki Cabaran
Juara-juara 1 (CC1) di Kuantan awal bulan ini, disenaraikan kembali ke dalam
skuad 18 pemain terakhir bagi menghadapi Piala Dunia di Hague, Belanda bermula
31 Mei ini.
Kelima-lima pemain itu
membabitkan Roslan Jamaluddin, Mohd Shahrun Nabil Abdullah, Muhammad Razie
Abdul Rahim, Hafifi Hafiz Hanafi serta pemain junior Muhammad Ramadhan Rosli.Ketua
jurulatih hoki kebangsaan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berkata, khidmat Roslan
sebagai penjaga gol paling senior amat ditagih kerana dia satu-satunya pemain
yang pernah merasai aksi Piala Dunia.
“Ketika di CC1 tempoh hari,
saya terpaksa ketepikan Roslan kerana dia mengalami kecederaan. Walaupun sudah
berusia, saya masih percayakan dia masih mampu menyumbang kepada pasukan
berdasarkan pengalaman luas dimilikinya. “Begitu juga dengan Razie dan
Ramadhan, mereka juga berada dalam senarai pemain yang cedera ketika CC1. Namun
kini mereka sudah kembali pulih dan kehadiran mereka bertiga akan menguatkan
lagi pasukan. “Shahrun Nabil sebelum ini tidak disenaraikan di CC1 kerana saya
ingin mencuba taktikal baru terhadap pasukan dan memberi peluang kepada pemain
junior. “Hafifi Hafiz pula menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang latihan dan
perlawanan dan saya beri peluang kepadanya.
“Ini barisan terbaik kita
kerana pemain yang dipilih memiliki pengalaman luas di peringkat antarabangsa
dan saya percaya kombinasi pemain senior dan junior ini mampu
sekurang-kurangnya meraih kelompok 10 terbaik dunia di Belanda,” katanya ketika
ditemui pada sidang media di Pejabat MHC di Bukit Jalil, semalam. Dhaarma turut
memberitahu, empat pemain skuad junior iaitu Mohammad Izad Hakimi Jamaluddin,
Muhammad Azri Hassan, Mohd Rashid Baharom dan Muhammad Hafizuddin Othman
digugurkan daripada senarai kali ini.
Dalam pada itu, beliau turut
tak mahu kehadiran pemain berdarah campuran Malaysia-Jerman, Kevin Lim dalam
pasukan, dipertikaikan. Menurutnya, walaupun bekas pemain kebangsaan Jerman itu
tidak menyertai sesi latihan dan pemilihan bersama rakan sepasukan, kelibatnya
diyakini mampu memperkukuhkan barisan pertahanan negara di kejohanan itu nanti.
DHAARMA (kanan) selepas
pengumuman senarai pemain akan mewakili Malaysia ke Piala Dunia Hoki 2014 di
Belanda. Turut kelihatan pengurus pasukan George Koshy (dua kanan).
“Saya percaya jika Kevin
digandingkan bersama Razie dan Azlan Misron, sudah tentu benteng pertahanan
akan menjadi lebih sempurna, sekali gus mampu memberi impak buat pasukan
kebangsaan pada kempen Piala Dunia nanti,” katanya.
Skuad kebangsaan dijadual
bertolak ke Belanda esok dan bakal mengharungi tiga ujian perlawanan pemanas
badan iaitu menentang pasukan tuan rumah Belanda pada 25 Mei ini, di samping
dua kelab profesional dari Liga Hoki Belanda (27 dan 29 Mei). Pada pusingan akhir
Piala Dunia itu nanti, Malaysia diletakkan dalam kumpulan A bersama pasukan
nombor satu dunia Australia, England, Belgium, India dan Sepanyol.
Anak buah Dhaarma akan berdepan
Australia pada perlawanan pembukaan 31 Mei, Belgium (2 Jun), England (5 Jun),
India (7 Jun) dan aksi terakhir bertemu Sepanyol (9 Jun).
RUJUKAN-Artikel ini disiarkan my
METRO pada : 2014/05/22
No comments:
Post a Comment