Ad

Friday, 23 May 2014

Kuasa besar badminton dunia rebah

CHONG WEI FENG muncul wira selepas menyumbang mata ketiga buat skuad negara, sekali gus mengesahkan tempat ke perlawanan akhir untuk bertemu Jepun esok.

MALAYSIA tampil dalam kelas tersendiri apabila mara ke final Kejohanan Badminton Piala Thomas selepas menumbangkan Indonesia 3-0 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Siri Fort, New Delhi semalam.

Mereka akan membuat perhitungan dengan Jepun dalam final di stadium yang sama esok.

Jepun melangkah ke final selepas melakar kejutan dengan menewaskan China 3-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir semalam.

Ini merupakan kemaraan pertama skuad negara ke final sejak tahun 2002 yang menyaksikan mereka tewas kepada Indonesia pada kempen yang berlangsung di Guangzhou, China.

Aksi esok akan menjadi penampilan ke-14 Malaysia di pentas final Piala Thomas.

Daripada jumlah tersebut, Malaysia sekadar muncul juara lima kali dan tewas lapan kali.

Sejak kali terakhir menewaskan Indonesia ketika menjuarai Piala Thomas 1992 di Kuala Lumpur, seteru utama itu dilihat sebagai badi yang sentiasa menyekat laluan Malaysia.

Bagaimanapun, Malaysia sudah lama tidak bertemu dengan Indonesia pada kejohanan dwitahunan itu sejak kali terakhir tewas pada suku akhir di Jakarta pada tahun 2004.

Pada aksi separuh akhir semalam, pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei sekali lagi tidak berdepan masalah untuk mengutip mata pertama skuad negara.

Pemain berusia 31 tahun itu tampil dengan aksi cemerlang untuk menewaskan Tommy Sugiarto 21-19, 21-13 dalam masa 52 minit.

Malaysia terus berada dalam kedudukan selesa apabila gandingan Tan Boon Heong-Hoon Thien How membuat kejutan selepas menumbangkan beregu No. 1 dunia, Hendra Setiawan- Mohammad Ahsan 21-19, 8-21, 23-21.

Mata kemenangan Malaysia hadir menerusi perseorangan kedua, Chong Wei Feng yang sekali lagi menewaskan pemain yang mempunyai ranking lebih baik daripadanya, Dionysius Hayom Rumbaka 21-10, 21-17.

Biarpun tampil selaku pemain ke-27 dunia, Wei Feng tidak menunjukkan sebarang kesukaran untuk menumbangkan pencabar yang berada di ranking No. 19 dunia itu dalam tempoh 43 minit.

Untuk rekod, Malaysia menjuarai Piala Thomas pada tahun 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992.

KOSMO ONLINE 24.5.14

No comments:

Post a Comment