Oleh ASLIZA MUSA
pengarang@utusan.com.my
JENAZAH Almarhum Sultan Perak,
Sultan Azlan Shah yang dibawa dari Kuala Lumpur tiba di Istana Iskandariah,
Kuala Kangsar, Perak, malam tadi. Turut kelihatan terlindung Raja Dr. Nazrin
Shah (tengah) dan Tuanku Zara Salim. - BERNAMA
IPOH 28 Mei - Sultan Perak,
Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah
Ghafarullahu-Lah mangkat pada pukul 1.30 tengah hari hari ini pada usia 86
tahun di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.
Kemangkatan baginda yang
memerintah Perak selama 30 tahun diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr.
Zambry Abd. Kadir pada pukul 3.45 petang melalui Radio Televisyen Malaysia
(RTM).
Almarhum meninggalkan Raja
Permaisuri Perak, Tuanku Bainun serta seorang putera dan tiga orang puteri.
Zambry berkata, jenazah Sultan
Azlan akan disemayamkan di Balairong Seri, Istana Iskandariah di Kuala Kangsar
esok untuk penghormatan terakhir.
Menurut beliau, bagi pembesar
negeri dan orang kenamaan, mereka boleh memberi penghormatan terakhir pada
pukul 9 pagi manakala orang ramai pula antara pukul 11 pagi hingga 2 petang.
"Bagi Ke Bawah Duli Maha
Mulia Sultan, raja-raja dan pembesar negara asing pula, tempoh penghormatan
terakhir adalah antara pukul 2 hingga 3 petang.
"Jenazah Almarhum Duli
Yang Maha Mulia Sultan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas
solat Asar, esok," katanya.
Zambry turut mengumumkan tempoh
perkabungan negeri ini selama 100 hari bermula hari ini dan bendera negeri
dikibarkan separuh tiang sepanjang tempoh tersebut manakala bendera Malaysia
pula dikibarkan separuh tiang untuk tujuh hari sahaja.
Menurutnya, sepanjang tempoh
itu, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan dibatalkan.
"Sebagai tanda
penghormatan ke atas kemangkatan Almarhum, esok diisytiharkan sebagai hari cuti
umum bagi seluruh negeri Perak.
"Seluruh rakyat jelata
negeri Perak telah kehilangan sultan yang dikasihi dan berjiwa rakyat. Saya
mewakili seluruh rakyat jelata merafak sembah takziah dan mendoakan semoga roh
Almarhum Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah Subhanahuwataala
dalam kalangan para Auliya, Syuhada dan solehin," ujarnya.
Di KUALA LUMPUR, jenazah
Almarhum dibawa keluar dari IJN ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar
menggunakan van jenazah Kementerian Pertahanan pada pukul 5.05 petang.
Turut berangkat mengiringi
jenazah Almarhum ialah Tuanku Bainun serta kerabat diraja.
Terdahulu, pada pukul 2.40
petang, Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dilihat berada di pekarangan
IJN ditemani Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.
Sultan Azlan diputerakan pada
19 April 1928, dimahkotakan sebagai Raja Muda Perak pada 1 Julai 1983 dan
dimasyhurkan sebagai Sultan Perak pada 3 Februari 1984 selepas kemangkatan
Sultan Idris Shah.
Almarhum baginda yang pernah
memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara memperoleh pendidikan awal di
Government English School, Batu Gajah yang kini dikenali sebagai Sekolah
Menengah Kebangsaan Sultan Yussuf, Batu Gajah.
Baginda kemudiannya meneruskan
pelajaran peringkat menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum
menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di University of Nottingham,
United Kingdom.
Pada tahun 1953, baginda
mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan seterusnya sah menjadi ahli di
dalam The English Bar oleh The Honorable Society of Lincoln"s lnn pada 23
November 1954.
Baginda merupakan Yang
di-Pertuan Agong yang kesembilan, dilantik pada 26 April 1989 hingga 25 April
1994.
Semasa hayat Almarhum, Sultan
Azlan aktif dalam sukan hoki dan memegang pelbagai jawatan penting antaranya Presiden
Persatuan Hoki Malaysia (PHM), Presiden Hoki Asia dan Naib Presiden Persekutuan
Hoki Antarabangsa (FIH).
RUJUKAN-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140529/dn_01/Sultan-Azlan-Shah-mangkat#ixzz333Uz5a6e
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment