Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA dan
SHAHRINNAHAR LATIB
sukan@utusan.com.my
Anggota polis mengawal keadaan
di luar perkarangan stadium yang sedikit kecoh setelah penyokong Pahang
membaling molotov cocktail sejurus bas yang membawa penyokong JDT meninggalkan
Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN
KUANTAN - Kejayaan Pahang
melangkah ke final Piala FA sedikit tercemar gara-gara tindakan penyokong
membaling molotov cocktail ke arah bas Johor Darul Tazim (JDT) tidak lama
selepas Tok Gajah meraikan kemenangan 1-0 di Stadium Darul Makmur, malam tadi.
Dua lelaki berumur lingkungan
30-an itu dipercayai membaling molotov cocktail ke arah bas yang membawa
penyokong JDT sejurus tamat aksi separuh akhir dua Piala FA.
Dalam perlawanan itu pemain
tengah Tok Gajah, Mohd. Faizol Hussain muncul wira Pahang apabila percubaannya
pada minit ke-81 dari luar kotak penalti menerjah ke penjuru kanan gawang
menewaskan penjaga gol JDT, Izham Tarmizi Roslan.
Jaringan tunggal Faizol itu
menggegarkan lebih 30,000 penyokong Tok Gajah, sekali gus melayakkan Pahang ke
perlawanan akhir Piala FA dengan agregat 2-1.
Kali terakhir Pahang muncul
juara piala prestij ini pada 2006 dan kali ini skuad Tok Gajah bakal beraksi
menentang sama ada Felda United ataupun Kelantan pada pentas final yang
dijadualkan berlangsung pada 7 Jun depan di Stadium Bukit Jalil.
Namun, kejadian di luar stadium
selepas tamat perlawanan mencemarkan kegembiraan peminat tuan rumah.
Bagaimanapun mujurlah, tiada
kecederaan berlaku dan polis bertindak cepat dengan menahan individu berkenaan
untuk siasatan lanjut.
Perbuatan tidak
bertanggungjawab itu bagaimanapun tidak menyebabkan kekecohan dan penyokong JDT
berjaya pulang dengan selamat.
Kedua-dua suspek kemudian
dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut.
Bermulanya separuh masa
pertama, Pahang terlebih dahulu memulakan asakan ke kubu JDT, namun beberapa
peluang yang diperolehi gagal dimanfaatkan oleh anak buah Zainal Abidin Hassan.
Skuad Harimau Selatan mendapat
peluang pada minit ke-74 namun sepakan percuma yang diambil Luciano sekadar
melencong ke kiri gawang tuan rumah.
Yang turut hadir menyaksikan
perlawanan itu, Tengku Muda Pahang yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak
Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan Tunku Mahkota
Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Pada 5 Mei lalu, kelebihan
beraksi di depan ribuan penyokong sendiri gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh
JDT apabila membenarkan Pahang memperoleh kelebihan gol di tempat lawan dalam
aksi separuh akhir pertama yang berkesudahan 1-1.
RUJUKAN-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140531/su_01/Penyokong-buat-kacau-lagi#ixzz33FhX6ScL
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment