JURULATIH Jepun, Park Joo Bong
(tengah) menjulang Piala Thomas selepas skuad bimbingannya muncul juara ekoran
kemenangan 3-2 ke atas Malaysia pada perlawanan akhir semalam.
NEW DELHI - Jepun muncul kuasa
baharu sukan badminton dunia apabila mengejutkan Malaysia 3-2 di pentas final
Piala Thomas 2014 di Stadium Siri Fort, New Delhi, India malam tadi.
Lebih manis, ia merupakan kali
pertama Jepun mendakap trofi Piala Thomas dalam penampilan sulung mereka di
pentas final sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1949.
Jurulatih Jepun, Park Joo Bong
juga pastinya individu yang paling gembira dengan kejayaan Negara Matahari
Terbit melakar sejarah ekoran tidak pernah mendakap trofi paling berprestij
berkenaan sepanjang kariernya bersama Korea Selatan sebelum ini.
Percaturan Joo Bong menurunkan
pemain perseorangan keempat, Takuma Ueda berbanding Sho Sasaki juga ternyata
berbaloi apabila Ueda tenang menyumbang mata kemenangan Jepun selepas
menewaskan kapten negara, Liew Daren dengan keputusan rubber set 21-12, 18-21
dan 21-17.
Kekalahan itu juga menyaksikan
Malaysia terus kempunan mendakap trofi Piala Thomas selepas kali terakhir
muncul juara pada 1992 di Kuala Lumpur.
Terdahulu, pemain perseorangan
pertama negara, Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan apabila mudah menjinakkan
Kenichi Tago dengan kemenangan straight set 21-12 dan 21-16.
Hasrat pasangan 'bidan terjun'
negara, Hoo Thien How-Tan Boon Heong bagi mengejutkan pasangan No. 3 dunia,
Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa ternyata gagal biarpun berjaya mengheret
perlawanan ke rubber set sebelum tumpas 21-12, 17-21 dan 19-21.
Ketangkasan bekas juara remaja
dunia, Kento Momota juga gagal ditandingi pemain perseorangan kedua negara,
Chong Wei Feng apabila menang straight set 21-15 dan 21-17.
Impian negara kembali menyala
apabila pasangan beregu kedua, Goh V Shem-Tan Wee Kiong menyamakan kedudukan
2-2 apabila menang rubber set 19-21, 21-17 dan 21-12.
Tatkala harapan seluruh rakyat
Malaysia terjurus ke arah Daren, pemain itu gagal beraksi dengan baik apabila
tumpas mudah pada set pertama sebelum kembali bangkit pada set kedua.
Namun, Daren gagal menyerap
tekanan apabila sering membuat kesilapan mudah pada set penentuan sebelum
tewas.
Ia merupakan kekalahan ketiga
Daren pada kejohanan kali ini apabila tewas kepada pemain India, R.M.V
Gurusaidutt dan Lukas Schmidt dari Jerman di peringkat kumpulan sebelum ini.
Ketika bertemu Denmark dan
Indonesia di peringkat suku akhir dan separuh akhir sebelum ini, Daren tidak
sempat beraksi apabila Malaysia menang 3-1 dan 3-0 sebelum melangkah ke pentas
final.
RUJUKAN – KOSMO ONLINE 26.5.14
No comments:
Post a Comment