Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
FADHLI (kiri) semakin
bersemangat untuk membantu Johor DT mara ke pentas final Piala FA musim ini.
PEMAIN pertahanan Johor Darul
Takzim (Johor DT), Fadhli Shas mengakui bahawa dia semakin bersemangat untuk
membantu skuad Harimau Selatan itu mara ke pentas final Piala FA musim ini.
Selain itu, Fadhli juga berazam
untuk melangsaikan 'hutang' dengan Pahang pada aksi separuh akhir kedua Piala
FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.
Kedua-dua pasukan itu terikat
1-1 pada aksi pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 5 Mei lalu.
Fadhli berkata, dia terdesak
untuk melayakkan diri ke pentas final kejohanan itu buat pertama kali dalam
kariernya.
Tonggak pertahanan Harimau
Malaya itu juga mengakui, pasukan tersebut telah bersiap sedia untuk membantu
skuad kendalian Bojan Hodak mara ke pentas final Piala FA.
"Berdasarkan prestasi
semasa, persembahan Johor DT agak konsisten.
"Kami harus yakin tetapi
saya percaya, motivasi kami bertambah selepas kejayaan Johor DT menewaskan Selangor
(1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam) pada Sabtu lalu.
"Kami tidak memandang
rendah cabaran Pahang dan kami juga sedar, mereka memiliki kelebihan beraksi di
laman sendiri.
"Bagaimanapun, Johor DT
sangat serius untuk layak dan sudah tentu saya akan berusaha mara ke pentas
final buat pertama kalinya dalam karier saya," katanya ketika dihubungi
Kosmo! semalam.
Dalam perkembangan sama, Fadhli
turut mengakui kehilangan tiga tonggak utama Pahang iaitu Mohd. Razman Roslan,
Azidan Sarudin dan Mohd. Saiful Nizam Miswan akan memberikan sedikit kelebihan
kepada pasukan itu.
Razman digantung satu
perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika tewas 1-4 kepada Terengganu
pada aksi Liga Super di venue yang sama Sabtu lalu.
Saiful dan Azidan pula
menjalani penggantungan selepas kedua-dua pemain ini mengutip kad kuning ketiga
ketika beraksi pada separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.
"Pahang hilang ramai
tonggak utama pada pusingan separuh akhir kedua Piala FA. Saya berharap ia akan
memberikan kelebihan kepada Johor DT.
"Saya percaya dengan
perancangan yang baik daripada jurulatih (Hodak), kami akan berjuang untuk
layak ke pentas final Piala FA tahun ini," katanya.
RUJUKAN-KOSMO ONLINE 30.5.14
No comments:
Post a Comment