SITI FATIHAH AWANG
28 Mei 2014
Annuar Musa Annuar Musa
PENASIHAT Persatuan Bola Sepak
Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa menegaskan tidak akan memegang sebarang
jawatan selepas tamat tempoh penggantungannya yang dijangka berakhir Oktober
ini.
Annuar dipetik laman sosial
Facebook miliknya semalam menyatakan hasrat tersebut namun turut memberitahu
akan tetap menjadi penyokong dan pemerhati bola sepak negara selepas ini.
“Ambo (saya) tidak mahu pegang
apa-apa jawatan, apa (mana-mana) peringkat sekali pun, tapi ambo nak jaga radar
dan teropong sahaja, bola tidak tinggal, tapi sebagai penyokong sahajalah,”
katanya.
Sebelum ini, pada April 2012,
Annuar digantung selama 30 bulan apabila Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) memutuskan Ahli Parlimen Ketereh itu bersalah membuat
kenyataan akhbar berbau negatif mengenai skuad bola sepak negara yang melanggar
Artikel 88, Statut FAM edisi 2010-2014 pada 12 Februari, tahun yang sama.
Penggantungan itu juga
menyaksikan Annuar turut hilang status sebagai Timbalan Presiden FAM dan
Presiden Kafa.
Sementara itu, dalam entri yang
sama juga, Annuar menyambut baik kemenangan kepimpinan baharu FAM dalam Kongres
Tahunan ke- 50 badan induk bola sepak
negara itu, baru-baru ini.
Beliau mengakui teruja dan
gembira dengan pelantikan baharu tersebut selain turut berbangga dengan
Pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah kerana memenangi kerusi
Timbalan Presiden kali ini.
Selain itu, Annuar turut
berkongsi kebanggaannya kepada Naib Presiden baharu yang juga Presiden
Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia, Datuk Takiyuddin Hassan kerana turut
berjaya mengungguli kepimpinan teratas badan tersebut sekali gus menjadikan dua
pemimpin berpengaruh itu wakil Kelantan untuk berada dalam peneraju FAM kali
ini.
“Kepada mereka (Afandi dan
Takiyuddin ), bola Kelantan dapat menumpang, malah rasanya sudah tiba masanya
kita serahkan The Red Warriors (TRW) kepada mereka.
“Walaupun Pemangku Presiden
Kafa, Datuk Rosmadi (calon Naib Presiden) dan Setiausaha Agung Kafa, Azman
Ibrahim (calon Ahli Majlis) tidak terpilih, kita tetap menanti perubahan yang
dijanjikan, sekiranya tiada perubahan, pasti FAM bergolak dengan lebih hebat,”
katanya.
Terdahulu, Kafa menawarkan tiga
‘orang kuat’ untuk menabur bakti dalam kepimpinan tertinggi bola sepak negara
itu melalui Kongres Tahunan itu.
SINAR HARIAN ONLINE 28.5.14
No comments:
Post a Comment