Ad

Tuesday, 27 May 2014

Pemain wanita jadi tumpuan BAM

Pemain wanita jadi tumpuan BAM
NEW DELHI - Harapan peminat badminton negara untuk melihat pemain wanita turut mencabar di pentas dunia, terutama dua tahun menjelang Sukan Olimpik Rio mungkin boleh direa­lisasikan selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berjanji akan memberi tumpuan kepada mereka sejurus tamat kempen Piala Thomas/Uber.

Prestasi memberangsangkan yang dipamer pemain-pemain negara di New Delhi memberi harapan kepada Malaysia bahawa acara perseora­ngan wanita, yang sudah agak lama tenggelam sejak persaraan Wong Mew Choo pada 2011, mampu dibangunkan menjadi antara penyumbang kejayaan buat negara.

Malah, lebih menarik lagi semua pemain perseorangan negara yang membarisi skuad Piala Uber kali ini berusia 23 tahun ke bawah.

Tee Jing Yi, pemain perseorangan paling senior dalam pasukan baru berusia 23 tahun dan dia menunjukkan peningkatan amat ketara sepanjang kejohanan dengan memenangi semua tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu menewaskan tiga pemain di ranking lebih baik daripadanya iaitu pemain No. 13 dunia, Takahashi dari Jepun, Line Kjaersfeldt dari Denmark dan Karin Schnaase dari Jerman.

Li Lian, 19, memberi tentangan sengit kepada pemain Denmark, Anna Thea-Madsen sebelum tumpas 21-13, 16-21, 21-19 dan memenangi perlawanan kedua ke atas pemain Jerman, Fabienne Deprez 21-18, 21-17.

Lim Chiew Sien dan Lim Yin Fun, yang masing-masing baharu berusia 20 tahun turut mempamer aksi memberangsangkan.

Pemain kelahiran Johor, Chiew Sien mengalahkan Anika Dorr dari Jerman 21-16, 21-15 dan kalah 19-21, 14-21 kepada Akane Yamaguchi dari Jepun selepas memberi tentangan sengit.

Yin Fun pula mengejutkan Sandra-Maria Jensen dari Denmark 21-15, 14-21, 21-19 tetapi tewas di tangan pemain berpengalaman Jepun, Eriko Hirose 21-23, 8-21.

“Sudah pasti kami akan memberi perhatian serius kepada perseorangan wanita. Mereka menunjukkan prestasi yang memberangsangkan pada Piala Uber dan membuktikan bahawa mereka mempunyai masa depan yang cerah untuk diketengahkan.

“Selama ini bukan kami meminggirkan acara ini, namun disebabkan standard pemain-pemain kita agak rendah dibandingkan negara lain, jadi mereka tidak mendapat jumlah kejohanan yang banyak, tetapi sudah tentu perkembangan di India bakal merubah senario tersebut.

“Lagi pun, saya sangat kagum ke­rana pemain wanita kita masih muda. Mereka mempunyai masa depan yang cerah dan sekarang adalah masa yang sesuai jika kita mahu mengetengahkan mereka di pentas antarabangsa," kata Timbalan Presiden BAM, Datuk Mohammad Norza Zakaria.

Jurulatih perseorangan wanita, Wong Tat Meng sebelum ini berkata, kurang pendedahan antarabangsa membantutkan pembangunan pemain-pemainnya.

Jing Yi, juara Terbuka Iran yang meletakkan pingat gangsa Sukan Komanwel sebagai sasaran terbaharu hanya mempunyai tujuh pertandingan setahun, manakala pemain No. 99 dunia, Li Lian mendapat enam pertandingan. Yin Fun dan Chiew Sien masing-ma­sing cuma berpeluang beraksi dalam lima kejohanan setahun.

Katanya, pemain elit memerlukan sekurang-kurangnya 12 kejohanan setahun, manakala pemain pelapis pula perlu diberi pendedahan dalam lapan hingga 10 kejohanan. - UTUSAN
RUJUKAN-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140526/su_03/Pemain-wanita-jadi-tumpuan-BAM#ixzz32uXURRDU © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment