Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM
luqmanhakim.rahim@kosmo.com.my
SEBAHAGIAN daripada peminat yang tidak berpuas hati tetap menunggu di hadapan kaunter jualan tiket meskipun ia sudah habis dijual di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.
SEPERTI perlawanan akhir. Itu gambaran situasi penjualan tiket perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Darul Makmur yang laris macam pisang goreng panas di Kuantan awal pagi semalam.
Dalam tempoh sejam, tiket perlawanan tersebut habis dijual kepada para peminat yang menunggu seawal pukul 7 pagi.
Namun, situasi itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong bola sepak di negeri itu yang mempersoalkan ke mana perginya tiket-tiket yang dijual oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).
Beberapa penyokong yang tidak berpuas juga bertindak di luar kawalan apabila merempuh pintu kaunter jualan tiket yang berada di hadapan stadium.
Situasi itu menyebabkan empat orang penjual tiket terpaksa dibawa menaiki kereta peronda polis (MPV) keluar daripada kaunter penjualan tiket tersebut.
“Saya datang ke sini pukul 8.30 pagi, namun masih tidak dapat beli tiket. Orang yang datang membeli pun bukan ramai sangat. Saya hairan mana perginya semua tiket yang ada.
“Saya harap pihak berwajib pantau perkara ini. Kami yang beratur dari awal pagi ini adalah penyokong tegar Pahang, patutnya bagilah tiket yang secukupnya untuk kami,” kata seorang peminat, Azmi Bakar, 32, ketika ditemui pemberita semalam.
Menurutnya, sudah sampai masanya PBNP perlu menjalankan jualan tiket secara dalam talian ataupun pas bermusim kerana memudahkan penyokong.
Bagi penyokong wanita pula, Farhana Mohd. Ali, 21, walaupun PBNP telah mewujudkan kaunter tiket wanita, tetapi masih ada lelaki yang turut beratur.
“Saya hairan sepatutnya perkara ini dipantau oleh pihak berwajib, kaunter ini untuk wanita tetapi lelaki pun masih boleh beli,” katanya.
Bagi seorang lagi penyokong tegar skuad Tok Gajah, Salina Awang, beliau begitu hampa dengan cara penjualan tiket di Stadium tersebut.
“Saya sudah menghabiskan masa berjam-jam ditambah terpaksa beratur panjang yang berkesudahan dengan tiket yang habis,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim ketika dihubungi mengakui terdapat sedikit kekecohan, namun berjaya dikawal oleh anggota keselamatan ketika penjualan tiket untuk perlawanan berlangsung.
“Hampir 12,000 tiket untuk perlawanan itu telah berjaya dijual di Stadium Darul Makmur dan 5,000 di Stadium Mini Temerloh.
Bagi peminat yang tidak dapat menyaksikan perlawanan esok di stadium, beliau memberitahu, PBNP akan memasang satu skrin besar di padang Majlis Perbandaran Kuantan 1 untuk sama-sama merasai suasana perlawanan itu.
RUJUKAN-KOSMO ONLINE 30.5.14
No comments:
Post a Comment