Norzie Mohd. Khasbi
Chong Wei Feng meraikan
kejayaannya menumpaskan Dionysius Rumbaka dalam perlawanan perseorangan kedua,
sekali gus membawa Malaysia ke perlawanan akhir Piala Thomas di New Delhi
semalam.- Ihsan The Star
NEW DELHI - Malaysia hadir di
New Delhi bersama pasukan yang dianggap paling lemah, namun pemain-pemain
negara membuktikan semangat juang tinggi berjaya mengatasi segala keraguan
dengan melangkah ke final Piala Thomas buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun
selepas menundukkan juara 13 kali, Indonesia 3-0 malam tadi.
Malah, beberapa jam sebelum
perlawanan, keyakinan bahawa peluang untuk merampas kejuaraan Piala Thomas buat
kali pertama selepas 22 tahun cukup cerah setelah melihat Jepun mengejutkan
gergasi dunia, China 3-0 turut menjadi motivasi tambahan buat pasukan negara.
Datuk Lee Chong Wei, Tan Boon
Heong-Hoon Thien How dan Chong Wei Feng, semuanya memberi aksi terpuji biarpun
terpaksa mengharungi perlawanan mendebarkan sebelum melakar kemenangan.
Chong Wei dipaksa berhempas
pulas di set pertama sebelum menjinakkan Tommy Sugiartro 21-19, 21-13 untuk
menghadiahkan mata semangat buat pasukan negara.
Selepas gagal menghadiahkan
mata dalam pertemuan menentang Denmark di suku akhir, gandingan senior, Boon
Heong-Thien How kembali menunjukkan taring dengan mengejutkan juara dunia dan
pasangan No. 1 dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 8-21, 23-21.
Daripada sekadar pemain
simpanan pada penampilan sulung Piala Thomas di Wuhan, dua tahun lalu, Wei Feng
sekali lagi menjadi wira dengan menghadiahkan mata kemenangan Malaysia selepas
menumpaskan Dionysius Rumbaka 21-10, 21-17.
Bagi Chong Wei dan Wei Feng,
mereka adalah tonggak penting yang membawa kepada kejayaan Malaysia ke
perlawanan akhir apabila memenangi semua lima perlawanan setakat ini.
"Memang amat teruja
apabila berjaya melangkah ke final sekali lagi. Saya tidak merasai pengalaman
perlawanan akhir terakhir Malaysia dan gembira melihat pemain-pemain muda ini
berjaya menunjukkan semangat juang yang tinggi.
"Selepas tiba di sini,
ramai yang memandang rendah kemampuan Malaysia, apatah lagi kami dikatakan
hadir sebagai pasukan paling lemah, namun hari ini kami membuktikan mereka
silap dengan berjaya melangkah ke final.
"Saya tidak pernah anggap
peluang Malaysia untuk merampas kejuaraan adalah cerah selepas Jepun menewaskan
China dalam separuh akhir pada sebelah petang, pada saya berdepan Jepun juga
bukan mudah dan mereka adalah lawan yang kental.
"Yang paling penting buat
semua pasukan adalah fokus kepada permainan sendiri. Kami sudah menyahut
cabaran persatuan yang mahu pasukan melangkah ke final, sekarang terpulang
kepada kami untuk mencari keputusan lebih baik," kata Chong Wei.
Jika rekod pertemuan Malaysia
dan Jepun menjadi ukuran, pasukan negara memegang kelebihan 3-1 ke atas negara
Matahari Terbit itu.
Namun Jepun, yang menunjukkan
peningkatan sangat ketara di bawah bimbingan Park Joo Bong mengejutkan pasukan
negara pada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Kuala Lumpur pada 2010.
Kali terakhir Malaysia layak ke
perlawanan akhir adalah di Guangzhou 2002, di mana kita tewas 2-3 kepada
Indonesia manakala kejohanan 1992 di Kuala Lumpur adalah kali terakhir pasukan
negara muncul juara. - UTUSAN
RUJUKAN
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140524/su_01/Ke-final-selepas-12-tahun#ixzz32a1EH1It
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment