TIANJIN 29 Mei - Syarikat
Malaysia XianDa Group merancang melabur RMB15 bilion (RM8 bilion) bagi membuka
loji nyahgaram sifar cecair bersepadu pertama di dunia di sini.
Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak berkata, loji yang pertama sumpamanya di dunia itu berupaya
menghasilkan satu juta tan air bersih dan 600,000 tan air suling sehari.
Beliau berkata, projek tersebut
yang digerakkan oleh Malaysia adalah salah satu pelaburan paling menarik
syarikat Malaysia di negara ini.
"Projek ini sangat
menakjubkan kerana digerakkan oleh rakyat Malaysia, disokong oleh para pelabur
Malaysia malah menggunakan teknologi Malaysia," katanya dalam ucapan
semasa majlis pecah tanah projek pembuatan garam dan penyahgaraman air laut XianDa,
di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan
oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Yang turut hadir ialah
Setiausaha Tianjin Municipality Party, Sun Chunlan; Menteri Pertahanan yang
juga Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein;
Pengerusi Enersave Group, Mah Sau Cheong dan Pengerusi Lembaga Enersave
Cawangan Tianjin, Victor Wee.
Najib memulakan lawatan rasmi
enam hari ke China kelmarin sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik
Malaysia-China.
Beliau bagaimanapun pulang ke
tanah air pada malam Rabu untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum
Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Perdana Menteri kembali semula
ke Beijing hari ini bagi menyambung lawatannya.
Menurut Perdana Menteri, projek
berkenaan mampu menghasilkan garam yang mencukupi di samping mengubah kawasan
dataran garam seluas 200 kilometer persegi kepada tanah yang lebih produktif.
Pada masa sama kata beliau,
ekosistem di Bohai Bay juga dapat dipelihara.
Najib turut memuji pihak
berkuasa Tianjin City yang berpandangan jauh serta mempunyai wawasan bagi
membolehkan projek berkenaan menjadi satu kenyataan.
"Projek pembinaan loji ini
adalah bukti Malaysia boleh menawarkan kepada China satu bentuk pembangunan
perindustrian yang lestari dan mesra alam," katanya.
Beliau juga memuji kerajaan
China yang menganugerahkan status perintis dalam pembangunan ekonomi marin
kepada Tianjin.
Selain itu katanya, pemilihan
XianDa sebagai satu daripada tiga projek utama menunjukkan bagaimana sumber air
laut boleh dirawat untuk memberi manfaat kepada ekonomi tempatan.
"Saya yakin perkongsian
antara pihak berkuasa Tianjin dan XianDa akan menjadi model yang kita boleh
contohi," katanya. - UTUSAN
RUJUKAN
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140530/dn_07/Syarikat-Malaysia-bina-loji-nyahgaram-pertama-di-dunia#ixzz339Iw3OPK
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment