Ad

Thursday, 29 May 2014

Penantian Kelantan berakhir



KHAIRUL Azmi menjadi atlet pertama merangkul pingat emas buat Kelantan menerusi acara memanah di Pauh semalam.

KELANTAN mula berada dalam senarai kontinjen yang meraih pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2014 di Perlis.

Selepas menanti hampir seminggu, kontinjen Kelantan akhirnya berjaya menyambar kilauan emas sulung Sukma 2014 menerusi acara memanah di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh semalam.

Watak utama sudah pasti milik Mohamad Khairul Azmi Hashim yang berjaya memenangi emas dalam acara 90 meter (m) compound lelaki.

Pingat perak dan gangsa diraih atlet Johor, Muhamad Zulqarnain Mohd. Zaid yang merekodkan 322 mata dan pemanah Terengganu, Ahmad Aliff Fadhulullah Alwi (320 mata).

Khairul Azmi juga boleh berbangga kerana selain meraih pingat emas, dia turut mencipta rekod temasya Sukma yang baharu dengan catatan 329 mata - lapan mata melebihi rekod yang dicatatkan pada Sukma 2010 di Melaka.

Khairul Azmi memberitahu, kejayaan meraih emas itu menambahkan semangat serta motivasinya untuk memburu dua lagi pingat emas iaitu bagi acara 30m dan 70m compound.

"Saya tidak berdepan dengan sebarang tekanan selain hanya memberikan tumpuan untuk meraih pingat emas," kata atlet berusia 21 tahun dari Tanah Merah, Kelantan itu.

"Pada Sukma di Perlis, saya meletakkan sasaran untuk meraih tiga pingat emas dalam acara memanah dan ini merupakan (emas) pertama. Jadi saya berharap dapat melakukan perkara sama dalam acara 70m serta 30m compound.

"Pada masa sama, saya juga berharap kejayaan ini akan menyuntik semangat buat rakan-rakan sepasukan untuk menambah lagi pungutan pingat emas buat kontinjen Kelantan," katanya.

Sementara itu, atlet Negeri Sembilan, Nur Afisa Abd. Halil turut mencuri tumpuan apabila meraih pingat emas dalam acara 70m recurve wanita selain turut mencatatkan rekod baharu Sukma dengan catatan 309 mata bagi mengatasi rekod temasya 2012 iaitu 305 mata.

Menurutnya, dia meletakkan sasaran untuk meraih emas dalam acara tersebut walaupun menyedari bakal menerima tentangan sengit daripada barisan pencabarnya.

"Saya tidak banyak menghadapi masalah ... cuma saya terpaksa menahan rasa gementar yang boleh mengganggu tumpuan saya pada di final," kata yang beraksi dalam empat acara pada Sukma kali ini.

Pingat perak acara 70m recurve wanita diraih atlet Pulau Pinang, Loke Shin Hui yang mencetak 307 mata manakala gangsa dimenangi pemanah Kelantan, Azuanis Abdullah (305 mata).

Dalam pada itu, pemanah Terengganu, Nurul Iryani Muda memenangi pingat emas dalam acara 70m compound wanita manakala pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik atlet Sabah, Camilly Cynthia Louis serta Roniza Syafiqah Ronnie Ong.

RUJUKAN-KOSMO ONLINE 30.5.14

No comments:

Post a Comment